Isnin, 13 Jun 2016

Isu jet dan 20 beg milik Rosmah ke Turki

KENYATAAN MEDIA
DUTA BESAR MALAYSIA KE REPUBLIK TURKI

Kedutaan Besar Malaysia di Ankara, Turki mengesahkan bahawa YABhg. Datin Paduka Seri Rosmah Mansor, isteri YAB Perdana Menteri Malaysia, telah mengadakan lawatan rasmi ke Istanbul, Turki bagi memenuhi jemputan oleh Cambridge IF Analytica sempena Global Good Governance (3G) Awards 2016.

YABhg. Datin Paduka Seri Rosmah Mansor telah tiba di Istanbul pada 25 Mei malam dan terus pulang ke Malaysia sejurus selepas Majlis 3G Awards selesai pada malam 26 Mei 2016.  Majlis tersebut dianjurkan di Istanbul sempena Global Donors Forum dan Sidang Kemuncak Kemanusiaan Sedunia (World Humanitarian Summit).

YABhg. Datin Paduka Seri Rosmah Mansor telah menyampaikan Ucaptama pada Majlis 3G Awards tersebut, di samping menerima Anugerah 3G Children Welfare Award atas kejayaan Program PERMATA dipilih secara global sebagai pemenang Anugerah tersebut.  Sebagai Penaung Program PERMATA, YABhg. Datin Paduka Seri Rosmah Mansor telah diundang oleh pihak penganjur untuk menerima Anugerah tersebut.  Penganugerahan kepada Program PERMATA merupakan satu pengiktirafan antarabangsa bagi sumbangan kepada pertumbuhan pendidikan/pembelajaran, sikologi, intelek dan fizikal kanak-kanak.

Sebelum Majlis 3G Awards 2016, YABhg. Datin Paduka Seri Rosmah Mansor telah turut mengadakan pertemuan dengan Dr. Sheikha Aisha bint Faleh bin Nasser Al-Thani, anggota Majlis Tertinggi Pendidikan Qatar dan Pengerusi Lembaga Penaung World Congress of Muslim Philanthropists (WCMP) serta barisan kepimpinan Cambridge IF Analytica.

Dato’ Amran Mohamed Zin
Duta Besar Malaysia ke Republik Turki
ANKARA

11 Jun 2016