Sabtu, 20 Ogos 2016

Formula Umno Kekal Relevan

Bendahari UMNO, Datuk Seri Salleh Said Keruak menggariskan tiga perkara yang perlu diamalkan oleh kepimpinan UMNO di semua peringkat untuk memastikan UMNO terus kekal mendapat sokongan rakyat dan sentiasa berada di hati rakyat.

Katanya, ketiga-tiga perkara ini biarpun bukan sesuatu yang luar biasa, namun sekiranya ketiga-tiga perkara ini menjadi pegangan dan amalan ahli-ahli, khususnya diperingkat kepimpinan cawangan, bahagian dan juga pusat, insyaAllah rakyat akan terus memberikan kepercayaan kepada UMNO untuk terus menerajui negara ini.

"Setiap kali saya berucap di mana-mana tempat sekali pun, saya sentiasa ingatkan kepada ahli dan kepimpinan UMNO tentang tiga petua yang kita mesti amalkan agar UMNO terus mendapat tempat di hati rakyat. Tiga perkara ini mesti ada pada pemimpin dan ahli UMNO jika mahu mengambil hati rakyat.

"Perkara pertama, jangan sombong. Kadang-kadang orang UMNO ini, kalau tidak ada jawatan sikap mereka peramah dan tidak sombong. Tapi bila dah ada jawatan sudah mulai sombong. Dulu rajin menjawab sms, rajin menjawab whatsapp, tapi bila sudah ada pangkat sedikit sudah mulai lupa dan malas mahu memberi respon.

"Petua yang kedua, kita jangan berlagak. Jangan sekali-kali kita berlagak. Kadang-kadang ada sesetengah dari kita merasakan apabila kita memegang jawatan, seolah-olah kita boleh buat sesuka hati kita. Kita tidak peduli apa orang lain fikir tentang perbuatan dan sikap kita.

"Petua yang ketiga, kita jangan kedekut, jangan lokek. Ertinya,  jangan kita lokek memberikan buah fikiran. Jangan kita lokek untuk memberikan khidmat untuk membantu parti baik di peringkat cawangan mahupun bahagian. Kita mesti bersyukur kerana kita mendapat jawatan disebabkan UMNO kini adalah tunjang pemerintahan di negara kita ini.

"Justeru itu saya nasihatkan semua ahli dan kepimpinan UMNO agar jangan lupa kepada tiga perkara ini. Jangan sombong, jangan berlagak dan jangan kedekut dalam menabur khidmat kepada parti dan juga kepada rakyat yang berada di sekeliling kita," jelas beliau dalam ucapannya di program perasmian serentak persidangan sayap Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO Bahagian Cheras.

IMG_9013

Tambah beliau yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia , cara dan pendekatan politik hari ini sudah berubah, justeru itu ahli dan kepimpinan UMNO juga perlu mengubah pendekatan politik mereka agar UMNO terus kekal relevan sepanjang masa.

"Dalam dunia politik sekarang cara dan pendekatan sudah berbeza. Kita kena pastikan yang pertamanya, kita mesti memenangi hati rakyat dengan tiga perkara  yang saya sebutkan tadi. Setelah kita menangi hati rakyat, maka kita menangi perutnya. Ini bermaksud kita wujudkan pembangunan, kita sediakan peluang-peluang pekerjaan, peluang perniagaan di mana ianya perlu diagihkan dengan sebaik-baiknya.

"Selepas itu, yang ketiga barulah kita memenangi pemikiran mereka. Menangi ideologi politik mereka. Dan sekiranya perkara-perkara ini kita amalkan bersungguh-sungguh, saya yakin UMNO akan menjadi sebuah parti yang terus relevan. Ini kerana kekuatan UMNO bergantung kepada pemimpinnya di semua peringkat.

"Kalau pemimpinnya mengamalkan satu pendekatan yang dihormati dan diterima oleh rakyat, maka kita tidak akan ada masalah, kerana kita semua bersetuju bahawa UMNO adalah sebuah parti yang mampu untuk membela kita orang Melayu sehingga hari ini," ujarnya.

Jelasnya, biarpun UMNO itu ada kelemahan dan kekurangannya, tetapi UMNO setakat hari ini mampu untuk menyelesaikan sebarang permasalahan jika mahu dibandingkan dengan parti-parti lawan.

"Kita tengok sahajalah gelagat parti-parti pembangkang hari ini. Mereka hari ini bergaduh sesama sendiri. Berebut siapa nak jadi ketua pembangkang, berebut kerusi untuk bertanding. Ini kerana mereka hanya berpolitik untuk mengejar jawatan, kejar kerusi dan kejar kuasa.

"Saya yakin rakyat sukar untuk memberikan harapan kepada parti-parti pembangkang berdasarkan senario politik mereka yang kucar kacir hari ini untuk mentadbir negara. Jadi jelas di sini, UMNO mempunyai kelebihan. UMNO sudah terbukti kemampuannya dalam mentadbir negara.

"Apa yang penting bagi kita hari ini adalah, untuk menentukan pendekatan kita kepada rakyat harus berubah mengikut trend pada masa kini dan pada masa akan datang. Rakyat sekarang tidak seperti dahulu. Mereka sentiasa memerhatikan gelagat kita, apatah lagi dengan wujudnya media sosial yang menjadi medium penting dalam penyampaian maklumat hari ini.

" InsyaAllah jika perkara yang saya sebutkan itu mampu diamalkan oleh kepimpinan di semua peringkat, UMNO akan terus kekal relevan dan akan diberikan kepercayaan oleh rakyat untuk terus mentadbir negara ini," katanya.-MediaUMNO




Sent from Samsung tablet.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan