Jumaat, 24 Mac 2017

APA DAN DI MANA SALAHNYA SINDIRAN AZMIN TERHADAP NIK ABDUH?





Marah benarnya nampaknya beberapa kumpulan anak muda dalam Pas kepada Menteri Besar Selangor, Azmin Ali berikutan sindiran yang ditulisnya melalui twitter terhadap Nik Abduh Nik Aziz.


Dalam tulisannya itu, Azmin menulis "Ada tok lebai nak tawan Selangor. Kawasan sendiri pun kalah tersungkur" sebagai reaksi kepada kenyataan Nik Abduh bahawa Pas mahu menawan Selangor dalam PRU 14 yang akan datang ini.


Mereka marah dan mengecam Azmin kerana menganggap beliau telah menghina Islam dan golongan agamawan melalui istilah tok lebai yang digunakannya, sementara yang lain mengatakan Menteri Besar Selangor itu seperti mencurahkan minyak kepada hubungan Pas-PKR yang sedikit bermasalah ketika ini.


Adakah Azmin salah dan di mana salahnya beliau dalam tweetnya itu?


Jika diperhalusi dan anak-anak muda Pas dapat bersikap rasional serta matang, tiada yang salahnya dalam tulisan Azmin itu.


Pertama, beliau hanya memberi reaksi kepada kenyataan Nik Abduh mahu merampas Selangor sedangkan Pas sudah berada dan menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri ketika ini.


Jika tindakan Azmin dianggap tidak wajar, apakah keceluparan Nik Abduh itu sesuatu yang wajar?


Yang kedua, di mana yang dikatakan Azmin menghina Islam dan golongan agamawan melalui istilah tok lebai yang digunakannya?


Bukankah tok lebai adalah panggilan biasa dalam masyarakat kita dan ia sudah diterima sebagai sebutan harian yang merujuk kepada mereka yang selalu berserban dan berkopiah putih?


Jadi, apa salahnya Azmin menggunakan istilah tok lebai dalam ayatnya "Ada tok lebai nak tawan Selangor"?


Berbanding ayat tok lebai yang ditujukan kepada Nik Abduh yang memang selalu berserban dan berkopiah putih, tidakkah kenyataan Ketua Pemuda Pas itu mahu merampas Selangor, lebih jelas salahnya dari segi etika di ketika Pas dan PKR masih duduk sebumbung dalam kerajaan negeri?


Yang ketiga, apakah sebenarnya yang membuatkan golongan pemuda Pas begitu tersinggung, lalu mengecam Azmin, adakah ia disebabkan istilah tok lebai yang digunakannya atau kerana beliau  menyebut "Kawasan sendiri pun kalah tersungkur"?


Apa pula salahnya Azmin menyebut mengenai kalah tersungkurnya Nik Abduh dalam pemilihan Pas kawasan Pengkalan Chepa baru-baru ini sedangkan ia adalah fakta yang benar dan kejadian yang sahih?


Dalam hal ini, golongan pemuda Pas seharusnya sedar mereka adalah sebuah parti politik yang tidak akan sunyi daripada serangan, kecaman atau sindiran pihak lain. Menyebut istilah tok lebai dan mengungkit kekalahan seseorang bukanlah besar sangat dosanya, kalau pun ia dikira perbuatan yang berdosa.


Tidak usah melatah berlebih-lebihan dan menunjukkan ketidakmatangan dalam berpolitik.


Apalah sangat istilah tok lebai yang disebut Azmin itu berbanding pelbagai gelaran yang lebih menyakitkan seperti kafir, munafik, assabiyah, taghut, barua dan macam-macam lagi yang pernah dilemparkan oleh Pas terhadap pihak lain yang tidak disenanginya?


Apakah hanya Pas yang boleh menuduh dan menggelar orang lain dengan macam-macam gelaran serta mengungkit perihal orang lain seperti kononnya Azmin jadi Menteri Besar pun atas bantuan Pas, sementara pihak lain mesti selalu menilai suci  dan "berbau syurga" kepada mereka?


Hakikatnya inilah satu lagi buruknya bila agama dijadikan sandaran dalam jual beli berpencak di pentas politik di mana panggilan tok lebai pun dianggap menghina Islam dan golongan agamawan sedangkan mereka  tidak sedikit pun rasa bersalah menuduh orang lain sebagai kafir, munafik, assabiyah, taghut, barua dan sebagainya. 


Lebih pelik, golongan yang dulu dituduh macam-macam itulah yang kini didekati dan didampingi dengan lebih akrab oleh Pas. (ShahbudinHusin 24/03/2017).


Sent from Samsung tablet.