Khamis, 13 April 2017

Polis Perlu Siasat Parti Yang Berunding Dengan Amerika Untuk Jatuhkan Kerajaan


Sebuah badan bukan kerajaan (NGO) menggesa pihak polis untuk menjalankan siasatan untuk mengenalpasti jika ada parti politik yang membuat rundingan dengan kerajaan asing untuk menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP) Ramesh Rao berkata kenyataan dari Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa ada parti di negara ini menjalankan rundingan dengan pihak Amerika Syarikat (AS) untuk menggulingkan kerajaan.

"Polis perlu siasat kenyataan Hadi Awang, parti politik mana yang berunding dengan AS untuk jatuhkan kerajaan BN," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Abdul Hadi dalam kenyataannya pada 11 April berkata salahkah PAS berunding dengan UMNO untuk melaksanakan syariat Islam berbanding dengan DAP yang berunding dengan negara asing untuk mengubah politik Malaysia.

"Dalam perbahasan Parlimen Bajet yang lalu (pun) saya sudah bawa (RUU Akta) 355 ini. DAP mempertikaikan PAS berunding dengan UMNO, saya kata (tanya) tak bolehkah PAS berunding dengan UMNO kerana untuk melaksanakan syariat.

"Kerajaan Pulau Pinang boleh berunding untuk bahas pasal jambatan Pulau Pinang, DAP boleh bincang untuk projek Pulau Pinang. Kita tidak boleh nak bincang untuk melaksanakan syariah. Tidak boleh (bincang dengan UMNO).

"Sedangkan dia berunding dengan Amerika… dengan negara asing pun dia berunding …dengan kedutaan asing pun dia berunding. Berunding dengan negara asing untuk mengubahkan politik Malaysia.

"Kita tidak sampai tahap itu..nak suruh negara asing campurtangan negara ini. Kita berunding dengan UMNO sahaja sama-sama Melayu, Islam, itu salah? Dia berunding dengan Amerika tak apa, berunding dengan negara asing tak apa.

"Politik Malaysia biar orang Malaysialah yang buat perubahan. Tidak perlu jemput Amerika mari, tak perlu jemput negara asing mari.. Ini saya dedah di sini, kalau ada pemberita siar, biar orang tahu," katanya.

Menurut Ramesh, pihak berkuasa perlu meneliti dan menyiasat perkara ini kerana sudah diketahui ada parti yang memang berunding dengan kerajaan asing dengan tujuan yang tidak baik.

"Polis perlu menyiasat perkara ini kerana jika ia menular ia boleh membahayakan kedaulatan negara kerana campur tangan pihak asing," kata Ramesh.

Beliau tidak menolak kemungkinan, isu berkaitan 1MDB yang dijadikan modal oleh bekas Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad mungkin terhasil daripada rundingan-rundingan sebegini dengan niat membawa masalah politik ke dalam negara.

13 April 2017
11.06 pagi


Sent from Samsung tablet.