Selasa, 13 Jun 2017

500 pesawah dibantu oleh kerajaan pusat



Sejumlah 500 pesawah daerah Tanjong karang yang terjejas akibat serangan penyakit hawar daun bakteria (BLB) musim 2/2016 pada tanaman mereka, menarik nafas lega apabila menerima sumbangan wang tunai daripada kerajaan pusat.

Sumbangan berkenaan disampaikan Anggota Parlimen Tanjong Karang yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar dalam majlis berbuka puasa semalam.

Mereka adalah sebahagian daripada keseluruhan 8,953 pesawah di dua lokasi lain di Barat Laut Selangor yang terjejas teruk oleh penyakit tanaman itu pada November tahun lepas.

Serangan penyakit BLB telah menyebabkan lebih 8,000 hektar sawah di Sungai Besar, Sabak Bernam serta Tanjong Karang rosak dan menyebabkan pengeluaran hasil padi semakin merudum.

Noh ketika ditemui menyifatkan sumbangan berkenaan bukan sebagai ganti rugi tetapi ia adalah tanda simpati kerajaan pusat dalam meringankan beban pesawah terjejas memandangkan sambutan Aidilfitri bakal tiba dua minggu lagi.

"Pemberian ini membuktikan bahawa kerajaan pusat sentiasa berusaha mewujudkan peruntukan untuk membantu para pesawah," katanya kepada pemberita di sini, malam ini.

Menurut Noh, bagi tiga lokasi sawah yang terjejas itu, kerajaan pusat memperuntukkan sebanyak RM4.6 juta bagi membantu golongan berkenaan dan ia disalurkan secara berperingkat.