Khamis, 1 Jun 2017

Lim Kit Siang Kena Jawab Di Mana Dia Dilahirkan, Siapa Sahkan Kelahiran?


Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP) mahu pemimpin DAP, Lim Kit Siang jawab tempat di mana beliau dilahirkan secara terperinci supaya seluruh rakyat Malaysia tahu asal usul pemimpin pembangkang yang semakin tua itu.

Presiden PMSP, Ramesh Rao dalam satu kenyataan media hari ini berkata PMSP mempersoalkan tempat kelahiran Kit Siang kerana isterinya dikatakan tidak langsung pandai bertutur dalam Bahasa Malaysia dengan baik.

Oleh itu, amat wajar dipersoalkan di mana sebenarnya tempat kelahiran Kit Siang kerana jika lahir di Malaysia, mustahil perkara ini boleh berlaku melibatkan isterinya.

"Lim Kit Siang ini lahir di mana sebenarnya? Di Batu Pahat, Johor, siapa yang sahkan kelahiran beliau?" kata Ramesh dalam kenyataan itu.

Menurut beliau, selama ini rakyat Malaysia tidak pernah ambil tahu sejarah hidup pemimpin DAP ini yang mengikut kata penyokong DAP dan pembangkang adalah seorang yang hebat dan lantang di Parlimen.

Ramesh berkata ia adalah satu langkah yang tepat untuk rakyat negara ini tahu sejarah dan latar belakang Kit Siang sebagai contoh tempat lahir beliau sama ada di rumah atau di mana.

"Kalau lahir di Malaysia, Kit Siang sendiri pun di dalam Parlimen bukan fasih sangat berbahasa Melayu ketika berbahas dan kadang-kadang ada yang kita tak faham.

"Jadi kami minta Kit Siang jawab di mana dia dilahirkan supaya kita tahu," kata Ramesh.

Menurut beliau, hasil carian di internet di laman Wikipedia menunjukkan Kit Siang dilahirkan di daerah Batu Pahat, Johor pada 20 Februari 1941.

Bagaimanapun, ada persoalan dalam laman Wikipedia apabila di bahagian susur masa menunjukkan pada tahun 1957, ia ditulis "tiba di Malaysia" tetapi tidak dimaklumkan dari mana?

"Jadi, sebelum tahun 1957, di mana Kit Siang berada? Itu sebab kita mahu dia jawab di mana dilahirkan dan siapa yang sahkan kelahirannya," kata Ramesh. 

11.09am
1 Jun 2017