Rabu, 2 Ogos 2017

Ekonomi kita teruk?

Penulisan dibawah diambil dari Harakah yang ditulis oleh bekas wartawan utusan Subky Latif yang menjadi ahli Pas dan mendapat gelaran ustaz. Baru baru ini telah menerima anugerah khas daripada Pas sewaktu majlis perasmian muktamar Pas di Kedah awal Mac lalu.

Pemikirannya muktahir ini ibarat sepohon pokok tua yang menunggu hari untuk tumbang ke dalam sungai untuk hanyut ke Kuala sungai dan terdampar sepi di tepian pantai.

Apa yang cuba dimainkan oleh beliau ialah ekonomi negara semakin teruk dan mengapa rakyat mendiamkan diri.

Sebagai wartawan beliau sudah tentu tahu unjuran ekonomi semakin berkembang dan bertambah baik.

Sekarang murid durian dan harganya timbang kilo.  Harga tolak atau harga borong sekilo ialah RM12.00 hingga RM20.00. Pun begitu permintaan terhadap buah durian sangat tinggi tidak ada peniaga durian yang melelong durian, bermakna buah durian laris.

Seiring dengan durian, petai juga turut menyerikan gerai durian dengan harga yang boleh kira mahal juga. Harga jualan ialah 4keping RM5.00. pun tak ada yang buruk atau tak ada yang tak laku.

Peniaga petai mampu meraih pendapatan 70 hingga 150 ringgit setelah ditolak modal.

Pasar malam sentiasa sesak walaupun baru sebulan lebih kita menyambut raya. 

Di dalam media sosial status yang dimuat naik tidak pula mengeluh atau merungut tentang tekanan hidup. Ia dapat dilihat 15 hari selepas raya, pasaraya, outlet, orang membeli macam biasa, restoran dan warung sentiasa dikunjungi pelanggan, tidak ada restoran yang tutup atau bankrap. 

Jadi macam mana nak suruh rakyat bising dan bangkit memberontak. Semua hidup dengan aman damai, hidup senang lenang dengan ekonomi yang kukuh dan semak bertambah kuat dan penuh keyakinan. 

Yang gelisah ialah pembangkang yang gagal memburukkan kerajaan.  

Berikut adalah penulisan Subky Latif.  







Cr. Kalam Musafir

Ekonomi teruk, ngapa rakyat diam saja?
SUBKY LATIF  28 JULY 2017
 

TELAH datang seorang bertanya, ekonomi kita teruk mengapa orang ramai berdiam saja?
      
Yang bertanya itu adalah orang awam yang tidak diketahui peka dan ambil peduli tentang politik. Ditanyanya saya kononnya saya orang yang tahu politik.
      
Saya tahu ramai orang resah dengan suasana politik dan kedudukan ekonomi negara keseluruhannya dan kehidupan rakyat yang amat terhimpit.
      
Tetapi kumpulan yang menguasai kuasa dan politik diam seribu bahasa. Kumpulan yang sedikit ini yang menguasai pengaruh atas majoriti yang besar tidak menyatakan resahnya atas petaka yang berlaku, sebaliknya membela kuasa dan pengaruh yang membiarkan keperitan ekonomi itu.
       
Mengapa semuanya senyap atas yang berlaku? Tidak bising dan bangkit seperti orang-orang yang menuntut kemerdekaan dulu.
       
Orang dulu bangkit dan menuntut kemerdekaan kerana mereka berjiwa merdeka dan mereka bukan hamba. Sekalipun antaranya buta huruf, mereka tahu mereka adalah tuan kepada wilayahnya dan mereka tidak mahu terus menjadi hamba penjajah.
       
Orang yang berjiwa merdeka 60 tahun kebanyakannya sudah mati dan mereka meninggalkan anak-anak yang mati jiwa merdekanya. Orang-orang yang mati jiwanya adalah orang yang tidak merdeka dan yang tidak merdeka lazimnya adalah hamba.
       
Kaum Quraisy jahiliyah adalah kaum yang merdeka yang menguasai Mekah. Bangsa Quraisy yang berkuasa itu memiliki hamba. Satu rumah pembesar Quriasy punya lebih daripada seorang hamba. Yang jadi hamba itu orang Quraisy juga. 
      
Kalau pembesar Quraisy memilik hamba antaranya Qurisay  juga, maka tidak ganjil bagi penguasai Malaysia merdeka menjadikan rakyat Malaysia yang diperintahnya sebagai hambanya.
      
Orang Malaysia itu tidaklah dilahirnya sebagai hamba, tetapi sistem yang dikuasai oleh penguasa berjaya menggunakan demokrasi yang diamalnya menjadi anak-anak selepas merdeka hamba kepada penguasanya sendiri.
       
Demokrasi sepatutnya melepaskan rakyat daripada belenggu perhambaan, tetapi  demokrasi standard dunia ketiga menjadikan rakyatnya hamba kepada penguasa dan bukan  rakyat kepada negara yang merdeka.
       
Sama seperti Mesir purba di bawah Firaun. Siapa kata pemerintahan Firaun bukan wilayah yang mereka daripada kuasa asing. Tetapi rakyatnya, Qibti sebagai majoriti adalah hamba yang bukan kelas hamba kepada Firaun, bukan  rakyatnya. Rakyat yang juga hamba tadi adalah pula hamba daripada kelas hamba iaitu Bani Israel.
      
Sekalipun Bani Israel makan daripada sisa makanan tuannya Qibti, tetapi tuannya juga adalah hamba kepada Firaun yang terpaksa terima apa juga yang Firaun kata, termasuk menerima Firaun sebagai tuhan. Mereka tahu Firaun itu zalim. Jika tidak diakui dia sebagai tuhan, maka mereka akan dimatikan.
      
Kerana sistemnya adalah menjadikan rakyat sebagai hamba, apa jua yang Firaun buat tetap mereka pertahan. Samalah seperti China di bawah Mao Zedung. Rakyat yang seperti hamba seolah-olah menerima senang susah, ada rezeki atau tidak semua kerana Mao.
       
Kalau perhambaan itu tidak semasa Firaun saja tetapi ada pada zaman hidup kita di Tanah Besar, maka apa yang menghalang ia ada di mana-mana termasuk di wilayah kita.
      
Semua  tahu kehidupan  masing-masing sesak. Firaun menggunakan tenaga hamba membangunkan Piramid dan China purba menggunakan hamba membangunkan Tembok Besar. Klik pemerintah menggunakan duit rakyat membangun projek-projak mega hingga rakyat papa kedana dan di ambang papa kedana.
      
Kendatipun semua sesak dengan himpitan ekonomi yang mendengkam, tetapi suka, diam dan menderita. Semuanya bisu gara-gara rakyat berstatus hamba. – HARAKAHDAILY 28/7/2017