Rabu, 6 September 2017

TUDUHAN RAFIZI RAMLI MENGENAI KUTIPAN CUKAI HANYA SATU LAGI ‘SOTONG GORENG’ (TEMBERANG) UNTUK MENGELIRUKAN

1. Melalui satu pertelingkahan dengan rakan dari parti yang sama, YB Rafizi Ramli didakwa menipu mengenai angka dan akan berterusan berbuat demikian.

Saya bersetuju dengan ahli majlis kepimpinan tertinggi PKR ini.

2. Terdapat sedikit keyakinan bahawa YB Rafizi adalah pakar dalam menggunakan angka bagi mengelirukan namun semakin kerap kesimpulannya tidak boleh dipercayai dan hanya direka untuk menghasut tanpa memberitahu perkara yang benar.

3. Semalam, Rafizi membuat pemerhatian kononnya kutipan cukai di Malaysia telah melepasi pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dengan menyebut pada 2010, kutipan cukai adalah RM60.3 bilion dan RM112.3 bilion bagi tahun ini.

4. Rafizi mendakwa kutipan cukai telah bercambah pada kadar 11 peratus setahun, lebih cepat dari pertumbuhan 5 peratus KDNK. Beliau mendakwa ini tidak baik berbanding pertumbuhan purata kutipan cukai Australia iaitu pada 5.3 peratus bagi tempoh yang sama.

5. Bagaimanapun, Rafizi tidak menyebut pertumbuhan KDNK Australia adalah 2.7 peratus bagi tempoh itu, bermakna kutipan cukai di negara itu lebih tinggi dari pertumbuhan ekonomi, satu fakta yang cukup untuk membinasakan persoalan Rafizi itu.

6. Contoh bagi Australia itu menunjukkan kutipan cukai lebih tinggi berbanding pertumbuhan ekonomi bukan sesuatu yang luar biasa.

7. Terdapat 3 senario di mana kutipan cukai melangkaui pertumbuhan ekonomi.

8. Senario pertama ialah peningkatan keuntungan perniagaan, kenaikan taraf pendapatan dan pertambahan pembayar cukai.

9. Agak kurang menyakinkan banyak syarikat menjana peningkatan keuntungan sejak kutipan cukai dimulakan pada 2010.

Sebagai contoh, dua syarikat terbesar di Malaysia adalah Tenaga Nasional Berhad dan Maybank. Keuntungan TNB sebelum cukai adalah dari RM1.5 bilion pada 2009 kepada RM8.1 bilion pada 2016 manakala keuntungan sebelum cukai Maybank meningkat dari RM1.7 bilion kepada RM8.5 bilion bagi tempoh yang sama.

10. Taraf pendapatan rakyat Malaysia juga meningkat secara ketara bagi tempoh sama dan ini turut menyumbang kepada kutipan cukai lebih tinggi.
Jabatan Statistik turut menyatakan pendapatan median bulanan isirumah di Malaysia telah meningkat dari RM2,841 pada 2009 kepada RM4,585 bagi tahun 2014.

11. Sebagai tambahan, peningkatan taraf pendapatan turut menyaksikan golongan yang sebelum ini meraih pendapatan di bawah paras minimum melepasi paras itu dan menjadi pembayar cukai.

12. Senario kedua ialah peningkatan kepada pematuhan percukaian. Tidak dapat dinafikan masalah dihadapi Malaysia pada masa lalu ialah lari cukai dan ekonomi melibatkan perniagaan pasaran gelap.

Penguatkuasaan yang lebih tegas serta perlaksanaan sistem GST menggalakkan lebih banyak syarikat yang sebelum ini tidak berdaftar dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk mendaftar serta membayar cukai mereka dan melaporkan angka jualan dengan lebih jujur.

13. Senario terakhir adalah cukai pendapatan dan korporat telah meningkat. Bagaimanapun, ia adalah sebaliknya.

14. Disebalik tuduhan palsu Rafizi kononnya kerajaan tidak mengurangkan cukai ketika memperkenalkan GST, Rafizi sepatutnya tahu sejak Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak menjadi Menteri Kewangan pada 2008, kadar cukai korporat yang tinggi telah turun daripada 27 peratus pada 2007 kepada 24 peratus manakala cukai bagi Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) kini adalah hanya 18 peratus.

15. Cukai pendapatan bagi mereka yang memperolehi pendapatan RM100,000 setahun dan di bawah kumpulan pembayar cukai turut turun daripada 28 peratus kepada 21 peratus bagi tempoh yang sama.

16. Ketika GST dilaksanakan pada 2015, perubahan kepada sistem percukaian turut bermakna 300,000 keluarga memperolehi pendapatan RM4,000 sebulan tidak lagi perlu membayar sebarang cukai pendapatan.

17. Malaysia bukanlah sebuah negara yang dianggap sebagai mengenakan cukai yang tinggi terhadap rakyatnya. Cukai berbanding kepada KDNK Malaysia hanyalah 14.5 peratus berbanding 17 peratus bagi Thailand; 25.8 peratus bagi Australia; 26.8 peratus bagi Korea Selatan dan 34.4 peratus untuk United Kingdom.

18. Malah, pendapatan kerajaan berdasarkan kepada peratusan ekonomi bagi memperlihatkan pendapatan kerajaan daripada ekonomi telah menurun dari 20 peratus pada 2010 kepada 17.7 peratus pada 2016.

19. YB Rafizi telah kalah secara berganda dalam kes mahkamah akibat fitnah sejak dua tahun ini dan kredibilitinya amat diragui. Bagaimanapun, temberang sotong goreng terkininya terhadap angka kutipan cukai bagi mengelirukan orang ramai sebenarnya turut memalukan dirinya sendiri.

20. Ini kerana, YB Rafizi sebenarnya telah menyerlahkan kejayaan kerajaan Barisan Nasional dalam pertumbuhan ekonomi negara, meningkatkan taraf pendapatan, membasmi mereka yang mengelak cukai dan menangani masalah ekonomi pasaran gelap.

Eric See-To.
Timbalan Pengarah
Komunikasi Strategik Barisan Nasional