Selasa, 31 Oktober 2017

Clare Brown dari Sarawak Report lawan Hadi Awang ( Terkini )



EDITOR Sarawak Report Clare Rewcastle-Brown menamakan bekas Presiden Majlis Peguam Ambiga Sreenevasan sebagai pemberi maklumat berhubung dakwaan pemimpin utama PAS menerima wang dari Perdana Menteri Najib Razak.

Menurut kenyataan pembelaan terhadap tuntutan balas yang diberikan kepada The Malaysian Insight, Rewcastle-Brown berkata beliau ada bercakap dengan Ambiga yang juga bekas Pengerusi Bersih itu mengenai Najib, 1MDB dan PAS pada Julai 2016.

"Ambiga beritahu kepada defendan, yang menurutnya sumber itu sebagai boleh dipercayai, jumlah yang diberikan itu sekitar RM90 juta," kata Rewcastle-Brown dalam dokumen mahkamah bertarikh 11 Oktober itu.

Dokumen pembelaan beliau telah difailkan kepada mahkamah berhubung saman fitnah Presiden PAS Abdul Hadi Awang itu terhadapnya pada April lalu.


Hadi mendakwa beliau difitnah dalam rencana Sarawak Report bertajuk "As Najib denies all over 1MDB let's not forget his many other criminal connections" bertarikh 6 Ogos, 2016.

Rencana itu mendakwa wang itu bertujuan untuk menyogok PAS untuk menyebelahi Barisan Nasional.

Rewcastle-Brown berkata sebahagian perbualannya dengan Ambiga itu bertujuan baik, selain sebagai komentar politik yang berkaitan kepentingan awam.

Tambahnya, kenyataannya itu bukan bersifat peribadi dan tidak ditujukan kepada Hadi mahupun sesiapa.



Saman itu juga turut menuduh Najib menyalurkan lebih RM200 juta kepada bekas Timbalan Presiden PAS Nasharudin Mat Isa sejak 2014 dengan tujuan mendanai sekumpulan dalam PAS.


Editor Sarawak Report itu berkata: "Dana rahsia itu diberikan secara berterusan sepanjang 2015, termasuklah untuk Perhimpunan Agung yang berlangsung pada Jun 2015."


Beliau menambah dana itu termasuklah dengan mengadakan acara seperti fastaqim pertama pada Oktober 2015 dan acara-acara lain sehinggalah Persidangan Kesatuan Islam Antarabangsa pada Julai 2017.


Pembelaannya juga turut menamakan beberapa pemimpin PAS, yang menurutnya telah membeli kenderaan, hartanah atau menambah isteri baharu. Beliau turut menunjukkan senarai panjang jenis kenderaan yang dibeli oleh mereka.


Dalam tuntutan balasnya, Rewcastle-Brown berkata pihak yang menuduh telah dibantu atau membiayai dua blog, termasuk Malaysia Today yang diselenggara oleh Raja Petra Kamarudin dengan memuat naik rencana bertujuan menyerangnya.


"Serangan itu telah menyebabkan defendan (Rewcastle-Brown) mengalami tekanan yang tinggi, keresahan dan kebimbangan yang membuatkan beliau menuntut ganti rugi."


Rewcastle-Brown juga memohon perintah injunksi untuk menghalang Hadi daripada mengganggunya. – 30 Oktober, 2017.


NOTA LUTUT.


Ternyata lah bahawa tuduhan liar terhadap Pas menerima rasuah 90 juta ringgit daripada Umno adalah untuk meninggalkan pakatan.

Clare juga secara tak langsung telah mendedahkan bahawa beliau telah bergantung kepada  sumber maklumat aktivis pembangkang.  Aktivitis pula adalah  bekas orang penting dalam Majlis Peguam Malaysia.

Ini bermakna maklumat dan sumber yang diguna pakai  oleh Mahathir dan sekutu beliau dalam membuat pelbagai tuduhan terhadap perdana menteri sama sekali tak boleh dipercayai.

Malaysian Insight, Malaysiakini dan pelbagai portal berita yang lain pun janganlah kita terima bulat-bulat. 

wartawan portal yang pro pembangkang kebanyakan tidak dibenarkan menulis berita,  kehadiran mereka ke sesuatu lokasi hanyalah untuk mendapatkan maklumat, kemudian mereka membaca semula laporan mereka kepada editor menggunakan telefon. hanya editor sahaja yang akan mengolah berita yang sesuai dengan kehendak boss mereka. Kebanyakan nya akan diputar belit mengikut kepentingan mereka.

Jadi,  maklumat palsu memberikan kita berita palsu.