Isnin, 30 Oktober 2017

MAHKAMAH TOLAK PERMOHONAN ANWAR

MAHKAMAH Persekutuan hari ini menolak permohonan bekas ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sedang menjalani hukuman penjara untuk hadir prosiding pendengaran permohonannya bagi kebenaran untuk merayu berhubung hak mengundi pada pilihan raya kecil kerusi Parlimen Permatang Pauh pada Mei 2015.

Panel 3 hakim dipengerusikan Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin semasa menolak permohonan Anwar itu, memutuskan tiada keterangan pada ketika ini menunjukkan kehadirannya diperlukan dalam permohonannya bagi kebenaran untuk merayu.

“Kami mendapati pemohon seorang banduan dan tertakluk kepada Seksyen 30 (1) Akta Penjara 1995,” katanya dan menurutnya tiada keperluan untuk mahkamah melaksanakan budi bicaranya untuk membenarkan Anwar hadir pada pendengaran itu.

Seksyen 30 (1) menetapkan apabila kehadiran seorang banduan diperlukan di mahkamah mengikut kuasa sivil atau jenayah, mahkamah mungkin mengeluarkan perintah dalam bentuk tulisan dialamatkan kepada pegawai bertugas, memerlukan kehadiran banduan di tempat dan masa ditetapkan dalam perintah.

Dua lagi hakim bersidang dalam panel itu ialah Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Hasan Lah dan Tan Sri Jeffrey Tan Kok Wha.

Anwar, 69, sedang menjalani hukuman penjara 5 tahun di Penjara Sungai Buloh bagi kesalahan meliwat, memohon untuk menghadiri pendengaran permohonannya bagi kebenaran merayu di Mahkamah Persekutuan yang ditetapkan pada 15 Disember.

Peguam mewakili Anwar, Datuk Seri Gopal Sri Ram berhujah anak guamnya itu mempunyai hak di sisi perlembagaan untuk hadir pada mana-mana prosiding litigasi di mana dirinya adalah pihak.

Beliau berkata Anwar mengekalkan hak sivil litigasinya walaupun beliau berada dalam penjara dan patut diberikan akses memberi arahan kepada peguam belanya semasa perkara itu didengar.

Peguam Kanan Persekutuan Datuk Amarjeet Singh berkata hak Anwar untuk hadir di mahkamah bergantung kepada budi bicara mahkamah untuk memutuskan sama ada kehadiran banduan diperlukan di mahkamah.

Beliau berkata dalam kes ini, permohonan Anwar bagi kebenaran untuk merayu akan didengar sepenuhnya berdasarkan dokumen yang tidak memerlukan kehadirannya.

Beliau berkata permohonan itu memerlukan perintah untuk hadir (OTP) dikeluarkan untuk membolehkan Anwar menghadiri pendengaran permohonan bagi kebenaran untuk merayu dan keputusan pendaftar mahkamah menolaknya adalah betul.

Pada 13 Jun tahun ini, Anwar kalah dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan yang mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonannya bagi pengisytiharan bahawa beliau berhak mengundi dalam pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh pada 7 Mei 2015.

Pada 15 Julai tahun lepas, Mahkamah Tinggi memutuskan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak mempunyai bidang kuasa membawa Anwar ke pusat pengundian untuk mengundi dalam mana-mana pilihan raya.

Ia memutuskan seorang banduan yang telah berdaftar sebagai pemilih sebelum disabitkan mempunyai hak untuk mengundi tetapi SPR tidak mempunyai bidang kuasa membawanya ke pusat pengundian untuk mengundi dalam mana-mana pilihan raya.

Mahkamah Tinggi memutuskan banduan terbabit perlu memohon kepada ketua pengarah Jabatan Penjara untuk mengambil langkah perlu bagi membenarkan seseorang banduan mengundi.

#TolakPolitikTipuRakyat
#TolakPakatanHarapan
#BN4Ever