1. Tak dinafikan kerja-kerja Yusuf Azmi memang mencabar dalam membantu ramai orang yang susah. Aku puji kerja-kerja dia kecuali yang melanggar undang-undang, yang ini aku tidak setuju dan tidaklah mahu menggalakkan.
2. Aku bukan kondem semua kerja-kerja Yusuf Azmi. Ada yang bagus, dan ada juga yang tidak. Biasalah, manusia, bukan sempurna. Sebagai manusia, ok la tu.
3. Dia menyatakan ketidakpuasan hati tentang cadangan JITN-SPRM. Itu tidak mengapa, aku pun cenderung juga kepada pandangan yang sama tentang penubuhan JITN tu. Ya, aku pun kurang bersetuju.
4. Cuma dia silap apabila memasukkan nama Datuk Seri Najib iaitu pemerintah Islam kita yang sah dengan cara yang agak kurang sopan dan boleh juga dikatakan agak biadap.
5. Jika kita lihat sebelum ini, Pengarah SPRM juga membantah JITN tapi tidaklah sehingga menyebut nama Perdana Menteri. Cukup jika mahu membantah menyebut Menteri Paul Low sebagai orang yang bertanggungjawab dengan cadangan penubuhan JITN itu.
6. Mereka mahu bantah berkenaan JITN, tapi habis semua isu mereka masukkan sekali, habis pemimpin-pemimpin mereka rendah-rendahkan seperti tiada langsung jasa-jasa pemimpin, yang mana tak perlu pun mereka ulas kerana isunya adalah tentang JITN, bukan isu lain, sudah rojak jadinya.
7. Mereka 'seolah-olah' mengambil kesempatan isu JITN ini untuk memburukkan pemimpin-pemimpin, mereka masukkan semua isu lain sekali dan dalam masa yang sama tiada pun kelemahan pembangkang diceritakan di sana walaupun mereka kata mereka tegur semua tidak kira apa parti.
8. Cara mereka menegur pula tidak beradab, dengan menengking, meninggi suara, mengherdik-herdik secara terbuka yang mana boleh menyebabkan ianya digunakan oleh puak-puak Khawarij untuk menghina pemimpin, dengan mengugut-ugut kebangkitan rakyat, tidak langsung dilembutkan suaranya, tidak pula dilunakkan.
9. Bukan begitu cara menegur pemimpin. Itu cara Khawarij menegur pemimpin. Rasulullah sallallahu alaihi wa sallam bersabda:
"Barang siapa ingin menasihati seorang pemimpin maka janganlah dia menampakkan secara terang-terangan, akan tetapi hendaklah dia mengambil tangan pemimpin tersebut dan menyendiri dengannya. Jika dengan itu, dia menerima (nasihat) darinya maka itulah (yang diinginkan, -pent) dan jika tidak menerima maka dia (yang menasihati) telah melaksanakan kewajipannya." [Sahih, HR. Ahmad, Ibnu Abu Ashim dan yang lain, disahihkan oleh asy-Syaikh al-Albani dalam Zhilalul Jannah, no. 1096—1098].
Dari Anas bin Malik radhiallahu anhu, Nabi sallallahu alaihi wa sallam bersabda,
"Para pembesar sahabat di antara kami melarang kami dengan perkataan mereka, "Jangan kalian mencerca para pemimpin kalian, jangan curang terhadap mereka, dan jangan kalian membenci mereka. Bertakwalah kalian kepada Allah subhanahu wa ta'ala dan bersabarlah!." [Riwayat Ibnu Abu Ashim, no.1015, Syaikh al-Albani mengatakan sanadnya jayyid].
Al-Imam an-Nawawi rahimahullah menyatakan,
"Adapun menasihati para pemimpin kaum muslimin ertinya membantu mereka dalam kebenaran, mentaati mereka dalam kebenaran, dan memerintahkan mereka untuk itu, serta mengingatkan mereka dengan LEMAH LEMBUT dan memberitahu mereka tentang hak-hak kaum muslimin yang mereka lalaikan dan belum sampaikan kepada kaum muslimin. Termasuk nasihat kepada mereka adalah tidak melakukan pemberontakan kepada mereka serta melunakkan hati manusia agar taat kepada mereka." [Syarah Sahih Muslim, dinukil dalam al-Wardul Maqthuf, hlm. 72 dan lihat hlm. 74].
10. Dan banyak lagi riwayat-riwayat lain yang menceritakan tentang bagaimana menasihati pemimpin yang mana kesemuanya bukanlah seperti yang ditunjukkan oleh Yusuf Azmi dan sabahat beliau di dalam video yang tersebar.
11. Akhirnya kita lihat puak-puak Khawarij memburukkan Perdana Menteri dan kurang atau mungkin tiada pun nama Menteri Paul Low dipersalahkan di atas cadangan JITN tersebut dek kerana video Yusuf Azmi. Pengikut masing-masing pula berbalah disebabkan video Yusuf Azmi. Adakah ini yang dinginkan oleh Yusuf Azmi?
Kesimpulan:
12. Aku pun kurang bersetuju dengan penubuhan JITN tetapi aku tak buat video herdik-herdik pemimpin macam pemimpin tu kuli batak korang. Jangan lupa dalam negara kita masih ramai lagi manusia yang membuat kerja-kerja yang lebih menyumbang kepada masyarakat, tetapi mereka tidak pun mengherdik-herdik pemimpin. Jadi, sumbangan seseorang bukanlah tiket untuk bertindak luar batasan agama.
13. Boleh je nak tegur pemimpin. Tapi ikutlah cara Nabi. Yusuf Azmi selalu cerita pasal Umar Abdul Aziz pemimpin yang bagus. Tapi dia ada cuba jadi rakyat yang bagus ke? Belajarlah bagaimana cara menjadi rakyat yang bagus, belajarlah bagaimana Nabi mengajar rakyat menegur pemerintah. Paling tidak, doakanlah pemimpin.
Fudhail bin 'Iyadh rahimahullah berkata, "Seandainya aku mempunyai doa yang makbul maka tidak akan aku berikan kecuali untuk pemimpin." [Syarhus Sunnah, dinukil dari al-Wardul Maqthuf, hlm. 54]
Cadangan:
14. Aku tak tahu samada Yusuf Azmi memang benar mahu membangkitkan kemarahan pengikutnya agar membenci Perdana Menteri atau sebaliknya. Bagaimanapun perkara ini sudah pun berlaku.
15. Jadi, aku mencadangkan Yusuf Azmi agar dapat menenangkan pengikutnya yang rata-rata sangat aggresif membantah dengan maki hamun, dengan tiada fakta dan terlalu tertonjol akhlak dan adab yang tidak elok di media sosial, kerana perkara ini pun sebenarnya dimulakan oleh pihak dia. Masakan pokok bergoyang kalau tiada angin.
16. Sehinggakan pengikutnya terbawa-bawa menghina pemimpin terutamanya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak padahal isu yang ingin dibantah adalah JITN.
17. Tetapi itupun jika dia mahukan suasana yang harmoni di kalangan kita yang majoritinya orang Islam. Jika dia berkeras dengan pendirian dia, maka kita tahulah wataknya yang sebenar disebalik "Pejuang Rakyat" yang dilaungkan-laungkan selama ini.
Garis Panduan Komen:
18. Memandangkan aku lihat komen budak-budak Yusuf Azmi semua sangat aggresif, sampai maki hamun, komen sentimen, tiada fakta, aku terpaksa tetapkan beberapa garis panduan sebelum komen.
19. Elakkan dari komen macam budak-budak weechat, komen maki-maki, komen menghina pemerintah, komen yang teruk la senang cerita. Maybe aku terblok nanti. Komen merendahkan hadis paling tidak bagus. Akan terus diblok.
20. Cuba kekalkan komen di dalam topik. Komen luar topik aku tak layan. Maybe aku terblok juga nanti.