Rabu, 22 Januari 2014

Dilema guru PBS dan SPPBS


PBS atau lebih dikenali dengan Pentaksiran Berasaskan Sekolah merupakan satu pentaksiran yang menyeluruh dan holistik. Ini kerana ia memberi penekanan dari aspek JERI iaitu Jasmani, Emosi, Rohani dan Intelek selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Ia juga mentaksir dan menilai bidang akademik dan bukan akademik. Ini berbanding kepada pentaksiran sedia ada yang lebih memberi penumpuan kepada pencapaian akademik melalui peperiksaan.

PBS akan mentaksir proses dan produk secara formatif dan sumatif iaitu mengamalkan konsep “assessment for learning” dan “assessment of learning” manakala fokus utama pentaksiran sedia ada lebih kepada pencapaian murid di akhir pembelajaran.

PBS dikendalikan oleh pihak sekolah dan dilaksanakan secara terancang mengikut prosedur yang telah digariskan oleh lembaga peperiksaan manakala pentaksirannya dilaksanakan oleh guru-guru mata pelajaran secara berterusan dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

PBS ini mempunyai beberapa tujuan yang baik iaitu untuk menilai potensi pelajar, memantau pertumbuhan dan meningkatkan potensi murid, dan membuat laporan bermakna tentang pembelajaran individu.

Konsep PBS ini bukanlah sesuatu bentuk pembaharuan dalam sistem pendidikan di negara kita kerana pentaksirannya adalah seakan-akan sama dengan apa yang telah dilaksanakan oleh para guru di sekolah selama ini iaitu dengan memberikan kerja rumah, kuiz, soal-jawab, projek dan lain-lain.

Menurut Kementerian Pendidikan Malaysia, PBS yang dicadangkan ini merupakan penambahbaikan kepada PBS yang telah sedia dilaksana dengan memperkenalkan pentaksiran merujuk standard dan aplikasi Sistem Pengurusan Pentaksiran Berasaskan Sekolah atau lebih dikenali dengan SPPBS.

Pun begitu, SPPBS ini sudah hangat diperkatakan sejak kebelakangan ini bukan sahaja dalam kalangan guru dan pendidik malahan juga masyarakat di Malaysia. Sudah tentu rungutan sebegini akan membingitkan telinga pihak-pihak yang tidak memahami betapa kesusahan sebenar yang dialami para pendidik masa kini.

Kalau kita fikir sejenak, biasanya para guru cukup gembira dengan pelbagai percutian am di negara kita. Ini kerana mereka mempunyai masa untuk merehatkan mental dan fizikal dan meluangkan banyak masa bersama keluarga dan anak-anak. Akan tetapi, kali ini suasana tersebut menjadi suram kerana ramai dalam kalangan mereka yang tertekan dengan sistem baru yang digunakan oleh kementerian iaitu SPPBS ini.

Benar, sistem ini diperkenalkan oleh kementerian setelah beberapa kali perbincangan diadakan.

Benar, sistem ini dilaksanakan setelah mengkaji dan mengambil kira kebaikannya kepada guru, murid dan sistem pendidikan negara.

Benar, sistem ini mempunyai objektif yang baik dalam mentransformasi sistem pendidikan di negara kita bagi menghasilkan modal insan yang bertaraf dunia.

Tetapi, apakah pihak kementerian telah mengambil kira bahawa sistem ini benar-benar diterima oleh para guru? Persoalan sebegini seharusnya diteliti dan dikaji terlebih dahulu sebelum diputuskan.

Saya merasakan majoriti daripada guru-guru di Malaysia sangat tidak bersetuju dengan sistem yang diperkenalkan sekarang sehingga wujudnya pelbagai rungutan dan kritikan di media sosial seperti page di facebook “kami mahu SPPBS dimansuhkan”.

Malah ada juga sesetengah pihak yang ingin mengadakan perhimpunan aman dalam waktu yang terdekat ini bagi membantah sistem ini daripada terus diguna pakai.

Apakah kurangnya dengan sistem ini? Apakah yang menyebabkan para guru sangat tidak bersetuju dengan sistem ini? Di manakah lemahnya? Lemahnya sudah pasti bukan pada tujuannya yang baik tetapi pada penggunaan sitem memasukkan datanya. Sistem pengkalan data PBS lemah menyebabkan guru perlu memasukkan data pada waktu malam.

Akibatnya, pada waktu pagi guru mengatuk menyebabkan mutu mengajar menjadi lemah. Manakala murid pula tidak mendapat pembelajaran yang sempurna dan sepatutnya. Ini kerana waktu guru dihabiskan pada tugas perkeranian, bukan pada tugasnya yang sebenar.

Bukan itu sahaja, guru juga perlu mengurus fail pelajar yang mungkin mencecah ribuan dan puluhan unit almari untuk penyimpanan fail berkenaan serta memasukkan ratusan band dan data ke dalam sistem secara online.

Bayangkan bagaimana jika internet sukar didapati di kawasan pendalaman dan kampung-kampung?

Bayangkan bagaimana ratusan ribu guru ingin memasukkan data dalam satu server yang sama?

Bayangkan bagaimana susah dan tertekannya guru jika internet bermasalah?

Bayangkan bagaimanakah perasan para guru jika data yang telah dimasukkan tiba-tiba hilang?

Maka, banyak persoalan yang akan timbul dan berlegar di ruang minda para guru.

Siapakah yang membangunkan sistem ini? bagaimana mungkin kerajaan boleh melaksanakan sistem ini dikala sistem ini masih belum mesra pengguna? Bilakah mutu sistem ini akan dipertingkatkan?

Dan pelbagai persoalan lagi. Ini yang menimbulkan kemarahan para guru dan melahirkan rasa kekecewaan dan ketidakpuasan hati kepada pihak kementerian.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa sistem ini telah berjaya di Negara lain tetapi apa yang dikatakan oleh ramai guru bahawa sistem ini tidak mesra pengguna kerana sistemnya selalu ''hanged'' sehingga menyebabkan guru tertekan dan terkejar-kejar. Ada guru yang terpaksa bangun pada jam 3 pagi semata-mata untuk memasukkan data.

Sistem Pengurusan PBS mungkin sesuai di negara lain, tetapi belum tentu sesuai di negara kita.

Jadi, saya berharap agar isu sebegini harus ditangani dengan segera oleh pihak yang terlibat. Jika kerajaan mahu meneruskan juga penggunaan sistem ini, maka kerajaan seharusnya membaiki dan meningkatkan mutu sistemnya supaya para guru tidak lagi tertekan dan terbeban kerana mereka juga insan seperti kita.

Tugas mendidik adalah satu tugas yang mulia. Jasa dan pengorbanan seseorang guru itu sukar untuk dibalas walau dengan segunung intan.

Tanpa guru siapalah kita kerana gurulah yang mengajar kita mengenali erti kehidupan. Justeru jangan bebankan para guru dengan tugas-tugas yang tidak sepatutnya.

MOHD SOLIHIN CHE ROZALI
PELAJAR INSTITUT PENDIDIKAN
UNIVERSITI ISLAM ANTARABANGSA MALAYSIA

Sinar Harian