Rabu, 8 November 2017

Dato Seri Najib Razak Meninjau Keadaan Banjir di Pulau Pinang


NAJIB RAZAK

Hari ini saya ke Pulau Pinang untuk meninjau situasi terkini dan juga melawat mangsa-mangsa banjir serta meneliti langkah-langkah jangka panjang yang perlu diambil untuk membanteras ancaman banjir di Pulau Pinang ini.

Berdasarkan taklimat yang diberikan dan pemantauan saya sendiri, kerjasama antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan adalah sangat baik, dan kesemua mereka telah bekerja sepanjang malam untuk membantu mangsa-mangsa banjir khususnya dalam kerja-kerja pemindahan serta bantuan-bantuan makanan, selimut dan keperluan yang diperlukan oleh mereka.

Daripada pegawai-pegawai Kerajaan, agensi-agensi seperti NADMA, APMM, Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Pertahanan Awam, PDRM, Jabatan Bomba, Rela hinggalah ke Pejabat Daerah, semua mereka telah melakukan yang terbaik.

Saya juga dimaklumkan bahawa GLCs seperti Khazanah melalui Yayasan Hasanah, MAS, Pharmaniaga, UEM, Axiata dan institusi lain akan turut memberi bantuan yang akan diselaraskan menggunakan GLC Disaster Response and Relief Network atau GDRRN.

NGO-NGO juga telah banyak menyumbang, dan yang terbaru saya telah minta Kelab Putera 1Malaysia kita turun untuk membantu, manakala 1M4U pun telah turun lebih awal, dan bekerjasama bersama NGO- NGO tempatan Pulau Pinang.

Dalam soal kita membantu rakyat yang ditimpa bencana seperti banjir, mana-mana negeri yang menghadapi musibah seperti yang berlaku di Pulau Pinang ini, Kerajaan Pusat akan bantu sepenuhnya.

Saya dan YAB Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi telah mengeluarkan arahan supaya segala bantuan dikerahkan dan Alhamdulillah, banyak kerja dapat kita permudahkan dan rakyat berpuas hati dengan pertolongan yang diberikan oleh Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri.

Dari segi jangka panjang pula, saya telah pun diberi taklimat di mana 13 projek besar dan kecil telah dikenal pasti, dengan jumlah dana yang diperlukan untuk melaksanakannya lebih kurang RM1 bilion. Setakat ini, Kerajaan Pusat telah pun meluluskan RM150 juta dan kita akan menimbangkan peruntukan tambahan.

Satu mesyuarat akan diadakan untuk kita menentukan bagaimana projek-projek tebatan banjir ini boleh kita laksanakan selanjutnya, supaya masalah ini dapat kita hindarkan pada masa-masa yang akan datang, mengambil kira bahawa hujan dan angin kencang boleh berlaku tidak semestinya mengikut kelaziman, tetapi juga dalam keadaan luar biasa, seperti yang melanda Pulau Pinang kali ini di mana air naik begitu mengejut sekali, hujan dalam sehari bersamaan dengan lebih daripada sebulan.

Malah, terdapat juga faktor angin kencang selaju 40km/j, sehinggakan feri pun terangkat menunjukkan kekuatan angin yang bertiup pada kali ini.

Saya juga ingin mengingatkan kepada rakyat dan kepada pengusaha-pengusaha tempatan supaya jangan membuang sampah ke dalam parit, monsoon drain dan sungai yang hanya akan memburukkan lagi keadaan dan menyumbang kepada banjir.

Kerajaan Negeri juga perlu beri perhatian utama dan pastikan setiap projek pembangunan mengikuti syarat yang ditetapkan sebelum diluluskan, manakala pemaju-pemaju juga perlu mematuhi segala peraturan dan tidak mementingkan keuntungan sahaja, sebaliknya mestilah mengambil kira kesan kepada alam sekitar. Kita tidak mahu akibatnya keadaan seperti ini berulang malah menjadi lebih buruk pada masa-masa akan datang.

Insya-Allah, selepas ini Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri akan berbincang bersama kerana yang kita utamakan ialah kebajikan dan keselamatan rakyat, itulah sikap Kerajaan Pusat, seperti mana bila Kelantan dilanda banjir kita pun bantu maka Pulau Pinang pun Insya-Allah kita akan bantu juga.

1) NajibRazak.com
https://www.najibrazak.com/bm/blog/meninjau-keadaan-banjir-di-pulau-pinang/


2) NR FACEBOOK
https://www.facebook.com/najibrazak/posts/10154902962020952


3) NR TWITTER
https://twitter.com/NajibRazak/status/927851759237611522