Sabtu, 20 Januari 2018

Zimbabwe pun tolak pemimpin pencen - PM Najib

NABAWAN: Tindakan pembangkang mengangkat ‘orang bersara’ menjadi perdana menteri dilihat tidak lagi relevan pada mana-mana negara dan idea itu juga tidak akan diterima, walaupun di negara seperti Zimbabwe.

Sambil menyelar pembangkang yang hanya berbohong, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak anggap tindakan itu sebagai terdesak sehingga sanggup menamakan pesara berusia 93 tahun.

“Pembangkang hanya boleh main 'buyuk' dan bohong sahaja, mereka bohong kerana hendak kuasa sahaja, ada orang bersara berumur 93 tahun tapi mahu jadi perdana menteri, Zimbabwe pun tidak hendak pakai, tak kanlah Malaysia nak pakai,” katanya ketika  berucap di Majlis Pemimpin Bersama Rakyat Parlimen Pensiangan di Dataran Pekan Nabawan, hari ini.

Keamanan dan kestabilan politik yang dipacu oleh kerajaan pemerintah iaitu kerajaan Barisan Nasional (BN) perlu dipertahankan dan harus melihat 30 tahun akan datang demi generasi muda.

Hadir sama, Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman, Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Pensiangan, Tan Sri Joseph Kurup.

Beliau hadir pada jam 9.30 pagi tadi disambut kira-kira 30,000 penduduk di Nabawan bagi menyaksikan pemimpin nombor satu negara itu.

Beliau turut mengumumkan peruntukan berjumlah RM3 juta bagi membina Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di kawasan Parlimen Pensiangan dalam tempoh terdekat ini.

Dalam lawatan kerjanya di Nabawan, Najib turut berkesempatan merasmikan Klinik Kesihatan Nabawan yang membabitkan kos sebanyak RM28.8 juta dan boleh digunakan hari ini.

Klinik terbabit turut dilengkapi dengan pelbagai kemudahan rawatan dan mempunyai seramai 87 kakitangan termasuk dua doktor pakar dan 10 pegawai perubatan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan