Khamis, 1 November 2018

ICERD dan 153

PETALING JAYA: Bekas ketua hakim negara berkata mengesahkan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) mungkin memberi kesan kepada orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak.
Tun Abdul Hamid Mohamad dalam rencana hari ini berkata Perkara 1 ICERD secara ringkas mengatakan memberi keistimewaan kepada sesuatu kumpulan berdasarkan kaum adalah diskriminasi.
Beliau mengambil maklum Fasal 4 Perkara 1 ICERD membenarkan diskriminasi yang dijalankan bagi suatu tempoh yang terhad, namun Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan (PP) tidak memenuhi syarat-syaratnya.
"Tanpa menghujahkan alasan-alasan lain, Perkara 153 tidak akan terkecuali kerana ia bukan bagi suatu tempoh yang terhad. Ia tidak menyebut bahawa ia tidak akan 'diteruskan setelah tujuan yang ia diambil telah dicapai'," katanya memetik fasal tersebut.


Demikian itu, Hamid berkata jika ICERD disahkan dengan serta merta sesuatu pihak boleh mencabar kesahan Perkara 153 atas alasan ia bercanggah dengan konvensyen itu.
"Selain itu…pihak yang tidak mahu adanya Perkara 153 akan menghujahkan bahawa tujuannya telah tercapai dan masa selama lebih daripada 60 tahun sudah cukup panjang dan ia tidak sepatutnya dibiarkan berterusan," katanya.
Hamid seterusnya berkata Fasal 1 Perkara 2 ICERD secara ringkas mengatakan kerajaan hendaklah, antara lain, berusaha untuk menghapuskan diskriminasi kaum dengan segera termasuk meminda, membatal dan memansuhkan undang-undang yang mengekalkan diskriminasi kaum.
"Dalam kata-kata lain, Perkara 153 perlu dimansuhkan dan segala dasar yang mengutamakan orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak, mestilah dihentikan," katanya.

Apa kesannya?
Hamid seterusnya berkata jika Malaysia mengesahkan ICERD maka kerajaan kena melaksanakan komitmennya, termasuk mengubah dasar-dasar berkaitan orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak.
"Misalnya UiTM mestilah dibuka kepada semua, tidak boleh dikhaskan kepada pelajar Melayu dan anak-anak negeri Sabah dan Sarawak sahaja; pengambilan pegawai awam tidak boleh mengikut kuota lagi; demikian juga pemberian biasiswa, lesen dan kontrak, tidak boleh diberi keutamaan kepada orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak lagi," katanya.
Beliau juga menepis hujah ICERD boleh disahkan dengan pengecualian kepada keistimewaan Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak.
"Pengecualian seperti itu tidak boleh dilakukan sebab ia bercanggah dengan tujuan asas konvensyen itu, iaitu menghapuskan diskriminasi kaum.
"Jika Perkara 153 akan kekal, untuk apa konvesyen itu hendak disahkan sedangkan itulah tujuan ia hendak disahkan?" katanya

link asal : 

Sign & Sebarkan