Sabtu, 23 Februari 2019

Inkues Kematian Muhammad Adib

BANGI, 17 Jamadilakhir 1440H, Jumaat – 

"Sejak awal lagi kita sudah jangka apa akan berlaku kalau dibuat inkues. Mereka akan cuba merubah naratif kematian Muhammad Adib," kata Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Haji Aminuddin Yahaya.

Beliau berkata demikian merujuk keterangan doktor kanan sebuah hospital swasta yang merawat Allahyarham semalam, menyatakan kecederaan yang dialami anggota bomba itu mungkin bukan diakibatkan oleh serangan.

Perunding Kardiotorasik Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC), Dr Anand Sachithanandan bagaimanapun berkata, antara beberapa kecederaan di bahagian sebelah kanan dada itu, berkemungkinan akibat kemalangan, jatuh dari tempat tinggi, libasan atau rempuhan.

Dr Anand menjawab ketika ditanya Timbalan Pendakwaraya (TPR) Zhafran Rahim Hamzah, yang juga pegawai yang menjalankan inkues berhubung kematian Muhammad Adib Mohamad Kassim.

Haji Aminuddin yang juga Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) kecewa, dan menjangkakan kes ini akan ditutup begitu saja dan berakhir dengan keputusan bahawa Adib tidak dibunuh.

"Sejak awal lagi kita sudah jangka. Kenyataan doktor ini membenarkan telahan kita sebelum ini. Apakah Adib dan keluarga beliau akan mendapat keadilan yang sebenarnya? Saya ragu," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Namun Haji Aminuddin berkata, pihaknya dan seluruh rakyat Malaysia masih tetap berharap agar kematian Adib akan mendapat pembelaan.

"Kita hanya mampu mendoakan moga Adib bahagia di sisi Allah dan keluarganya bersabar menghadapi ujian yang berat ini," katanya.

Muhammad Adib, yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Subang Jaya, parah selepas diserang dan dipukul sekumpulan perusuh dalam kejadian kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember di Institut Jantung Negara (IJN) selepas 21 hari bertarung nyawa.

Pada 27 Disember lalu, media melaporkan Peguam Negara akan mengarahkan majistret untuk membuat inkues bagi menentukan sebab kematian Muhammad Adib.