Isnin, 4 Februari 2019

YB Dato Mahfuz Omar dan Pusingan U tentang AES

NAJIB Razak mempersendakan Naib Presiden Amanah, Mahfuz Omar apabila membuat pusingan "U" menerima sistem penguatkuasaan automatik (AES) yang sebelumnya Pakatan Harapan (PH) ingin mansuhkan.

Menunjukkan klip video Mahfuz mengkritik kerajaan Barisan Nasional (BN) terdahulu kerana memperkenalkan AES, bekas perdana menteri itu berkata dalam catatan

Facebooknya yang pemimpin Amanah sebelum ini melabel kerajaan BN sebagai "bodoh dan zalim" berhubung sistem penguatkuasaan itu.

"Berpeluh-peluh pahlawan berani mati mansuh AES ini marah kerajaan pada masa silam itu. Kata kerajaan bodoh. Kerajaan zalim. Tak prihatin rakyat.


"Namun sekarang, jawapannya berbeza dan dia tidak tahu malu mengenainya," kata Najib dalam tulisannya.

Dua hari lalu, Najib juga menegur Mahfuz selepas kerajaan PH memutuskan menambah 11 kamera AES lagi.

Najib mempersoalkan mengapa ahli Parlimen Pokok Sena itu tidak membantah keputusan berkenaan seperti biasa semasa pentadbiran BN.

Timbalan menteri sumber manusia itu enggan memberi komen bagi kritikan Najib, dan memanggil Najib sebagai "Raja Lawak".

Najib juga menjelaskan syarikat kroni yang Mahfuz sebelum ini dakwa mendapat manfaat daripada keputusan kerajaan BN untuk melaksanakan AES ialah Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

"Projek AES sebenarnya dimulakan dan dipilih sebelum saya menjadi PM. Apabila saya menjadi PM, kerajaan kita meminta LTAT untuk mengambil alih projek itu supaya LTAT boleh dapat sedikit pendapatan untuk veteran-veteran.

"Tetapi kerajaan PH hari ini telah mengambil semula projek itu dari LTAT dan semua wang yang diterima daripada saman kini akan masuk ke Kementerian Kewangan," katanya. – 4 Februari, 2019.