Ahad, 22 September 2019

Muafakat Nasional UMNO-PAS, ini ulasan Tun Hamid



KEMUNCAK perpaduan orang Melayu adalah dalam tahun 1946. Pada masa itu orang Melayu bersatu padu menentang Malayan Union. Selepas itu orang Melayu bersatu menentang ancaman pengganas Komunis; orang Melayu juga bersatu mempejuangkan kemerdekaan dan orang Melayu bersatu semasa menghadapi peristiwa 13 Mei.

Pada masa yang sama, dalam politik kepartian, orang Melayu mula berpecah, berpecah dan berpecah.

Sebaik sahaja perjuangan menentang Malayan Union berjaya dan UMNO ditubuh, UMNO berpecah apabila Dato’ Onn Jaafar meletak jawatan dan menubuh Independent Malaya Party dan kemudiannya Parti Negara. Nasib baik kedua-dua parti tidak kekal lama.

Dalam tahun 1951, setelah kalah kepada Tunku Abdul Rahman Putra dalam pemilihan Presiden UMNO, Tuan Haji Ahmad Fuad Hassan pula menubuhkan Pas yang memberi kesan perpecahan kapada orang Melayu yang terbesar dalam sejarah, hingga sekarang.

Dalam tahun 1963, UMNO berpecah lagi apabila Abdul Aziz Ishak menubuh National Convention Party yang mati tidak berkubur.

Dalam tahun 1988, UMNO berpecah lagi apabila Tengku Razaleigh menubuhkan Semangat 46. Walau bagaimana pun, ia dibubarkan lapan tahun kemudian, setelah ia, anehnya, berjaya menyerahkan pemerintahan negeri Kelantan kepada PAS yang kekal hingga sekarang.

Dalam tahun 1999, UMNO berpecah lagi apabila Dato Seri Anwar Ibrahim disingkir dan menubuhkan PKR.

Dalam tahun 2016, tiba pula giliran Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menubuhkan parti baru, Bersatu. Bersatu bekerjasama dengan PKR, DAP dan Amanah dan berjaya menjatuhkan pemerintahan BN yang di terajui UMNO itu.

Mengenai PAS pula, dalam tahun 1977 Pas berpecah dengan penubuhan Berjasa oleh Dato’ Mohd. Nasir dan Hamim oleh Dato’ Mohd. Asri dalam tahun 1983. Baik bagi PAS, manakala Berjasa bertahan satu penggal, Hamim langsung tidak  mendapat sambutan. Anehnya, Dato’ Asri mati sebagai seorang ahli UMNO.

Dalam tahun 2015, PAS berpecah lagi apabila kumpulan Mat Sabu menubuh Amanah.

Ini belum mengambil kira parti-parti kecil seperti KITA dan Ikatan dan parti baru, PUTRA.

Sementara itu, UMNO yang telah reput dari dalam kerana pemimpin-pemimpinnya menghadapi persepsi rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang teruk, masih terlalu angkuh dengan kekuatannya. (Saya menggunakan perkataan “persepsi” sebab mahkamah belum mesabitkan pertuduhan terhadap mereka). PAS juga angkuh dengan kekuatannya. Kedua-duanya terus menentang satu sama lain dalam PRU 14 menyebabkan PH menang dengan bantuan undi bukan Melayu di hampir 30 kawasan Parlimen.

Maka, pada malam 9 Mei, 2018, UMNO terduduk dengan kekalahan pertama dalam tempoh enam dekad. Mulanya PAS teruja dengan kejayaannnya. Tetapi, tidak lama kemudian ia baru sedar mengenai kerugian sebenar. Maka barulah kedua-duanya mula berfikir untuk mencari jalan menjalinkan kerjasama. Alhamdulillah, selepas tiga pilihan raya kecil, kesan positifnya telah mula dapat dilihat.

Dalam tempoh tidak sampai setahun PH memerintah, kita lihat hak dan kepentingan orang Melayu dihakis; agama Islam dan Rasul Allah ﷺ dihina; angkatan tentera diperlekehkan; tuntutan-tuntutan orang bukan Melayu, semakin melampau; Raja-Raja, bendera negara dan lagu kebangsaan dihina; pelaksanaan undang-undang berat sebelah; keadaan ekonomi semakin teruk; ketenteraman negara semakin terancam; hubungan antara kaum semakin tegang; pegawai-pegawai awam dan institusi-institusi Islam dalam kegelisahan; kelakuan dan kata-kata yang biadab bertambah; bantahan demi bantahan dibuat mengenai apa sahaja yang berkaitan atau yang mereka kaitkan dengan orang Melayu dan agama Islam; dan satu demi satu bantuan yang memanfaatkan orang Melayu ditarik balik.

Mempertahankan hak orang Melayu dikatakan rasis sedangkan mereka yang mahukan hak orang Melayu, tidak rasis. Menyebut perkataan “Melayu”  dan “Islam” pun dituduh rasis sedangkan mereka yang mengutuk orang Melayu dan menghina agama Islam tidak rasis. Perbandingan agama ditentang atas alasan menggugat ketenteraman negara sedangkan menghina Islam dan Rasulullah ﷺ adalah kebebasan bersuara. Ha-hal agama Islam yang terpakai kepada orang Islam sahaja pun mereka masuk campur dan mahu kita mengikut kehendak mereka.

Perkara 152 menjamin “tiada seorang pun boleh dilarang atau dihalang daripada menggunakan (selain bagi maksud rasmi), atau daripada mengajarkan atau belajar, apa-apa bahasa lain.”

Kerajaan BN bukan hanya sekadar tidak melarang dan menghalang. Malah, kerajaan membina sekolah-sekolah Cina dan Tamil. Itu pun mereka tidak puas hati lagi. Orang Cina mahu mewujudkan sistem pelajaran yang berasingan daripada sistem pendidikan kebangsaan.

Tunjukkan kepada saya sebuah negara di dunia ini yang membenarkan rakyatnya berbuat demikian, apatah lagi membina sekolah-sekolah vernakular. Di Singapura pun tidak ada  sekolah Cina pada hal Singapura diperintah oleh orang Cina.

Kerajaan PH nampak seolah-olah tidak indah, malah mengalah dan mengalah. Perdana Menteri nampak seolah-olah sudah tidak dapat mengawal menteri-menterinya sendiri. DAP telah berjaya meletakkan orang-orangnya di tempat-tempat yang strategik dalam Kerajaan Persekutuan dan bertindak seolah-olah di luar kawalan Perdana Menteri.

DAP juga telah berjaya menguasai atau mempengaruhi kerajaan-kerajaan negeri, kerajaan-kerjaan tempatan, badan-badan berkanun dan syarikat-syarikat milik kerajaan dengan menempatkan orang-orangnya.

Menteri-menteri Melayu nampak seperti boneka DAP, tidak cerdik, tiada berpendirian dan senantiasa bersedia mempertahankan apa sahaja yang dikatakan dan dilakukan oleh rakan-rakan bukan Islam mereka, termasuk dalam hal-hal agama Islam.

Maka, demi kepentingan Melayu, Islam dan negara, kerajaan PH perlu ditumbangkan. Menjatuhkan DS Najib adalah satu perkara. Menyerahkan kuasa politik orang Melayu kepada orang bukan Melayu adalah harga yang terlalu mahal untuk dibayar untuk menjatuhkan DS Najib. Lagi pula, DS Najib telah jatuh, mengapa kita harus terus membayar harganya? Yang untung ialah orang bukan Melayu.

Pada masa yang sama, saya tidak nampak bahawa parti-parti Melayu dalam PH akan meninggalkan PH atau berpisah dengan DAP. Maka orang Melayu tidak ada pilihan lain melainkan menjatuhkan PH dalam PRU 15. Untuk itu, pertama sekali orang Melayu perlu bersatu. UMNO dan PAS adalah dua buah parti Melayu yang terbesar. Kedua-duanya perlu bekerjama dalam pilihan raya yang akan datang. Paling kurang, kedua-duanya hendaklah mengelak daripada pertandingan tiga penjuru dengan PH khususnya di Pantai Barat Semenanjung.

Apabila saya mula bercakap mengenai kerjasama UMNO dan PAS dalam tahun 2014,  seorang bekas Menteri BN berkata ia terlalu idealistic. Selepas BN kalah dalam PRU 14, beliau melompat masuk Bersatu. Hari ini, sesuatu yang terlalu idealistic itu telah menjadi kenyataan.

Siapa pernah terbayang bahawa UMNO dan PAS boleh bekerjasama seperti yang telah berlaku dalam tiga pilihan raya kecil Cameron Highlands, Semenyih dan Rantau? Siapa pernah terbayang bahawa UMNO dan PAS boleh bersetuju menandatangani satu piagam kerjasama antara keduanya? Ia telah berlaku pada 14 September 2019. Kehendak Allah siapa tahu?

Yang menariknya, ada orang kampung yang berkata mereka tidak pernah merasa kehidupan mereka lebih bahagia daripada sekarang. Sekarang mereka sepakat, tidak berpuak-puak lagi. Kenduri dan kematian dihadiri bersama oleh orang UMNO dan PAS. Tidak seperti dahulu.

Memanglah setelah terhantuk baru mengadah. Tetapi, tidak ada gunanya menangisi apa yang sudah berlalu. Syukurlah, orang Melayu telah sedar semula dan sanggup mengenepikan perbezaan yang diada-adakan, mencari titik persamaan dan membina kerjasama untuk mendapat balik pemerintahan kerajaan pusat daripada PH.

Saya menghadiri HPU 914 di PWTC pada 14 September 2019. Saya nampak kedua-dua pihak, UMNO dan PAS, memang bersunggu-sungguh dan ikhlas untuk melupakan permusuhan di masa dahulu dan bekerjasama demi agama, bangsa dan negara. Itu satu perubahan yang sangat ketara dan baik bagi bangsa Melayu dan umat Islam di Malaysia.

Sekarang, mari kita lihat isi kandungan piagam ini.

“Maka dengan ini UMNO dan Pas menginsafi kewajipan-kewajipan untuk:

MENJUNJUNG DAN MEMPERTAHANKAN keluhuran Perlembagaan Persekutuan, yang menjamin pembentukan Negara, Islam sebagai agama  Persekutuan, Kedaulatan Raja-Raja Melayu, Kedudukan Istimewa Orang Melayu dan Bumiputra serta kepentingan sah kaum-kaum lain, Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan serta Menjamin Kepentingan Masyarakat Majmuk Terpelihara;

MEMPERKUKUHKAN Muafakat Nasional melalui amalan musyawarah yang melibatkan pelbagai latar agama kaum dan budaya demi kepentingan negara;

MEMPERKASAKAN agenda Islam, Melayu dan Bumiputra serta tuntas dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan demi membangunkan watan yang sejahtera.

MEMBENTUK KERJASAMA  dengan mengembangkan naratif (Islam dan bangsa Melayu) tanpa menafikan kepelbagaian agama, kaum dan budaya sebagai paksi kepada kesestabilan politik, keharmonian kaum dan kesejahteraan negara;

MENGIKHTIARKAN secara kolektif satu citra dan tawaran baru untuk negara dalam meningkatkan tadbir urus yang baik, dasar pembangunan yang inklusif dan sejahtera serta pengagihan yang menyuburkan keadilan sosial merentasi batas warna kulit dan anutan .”

Saya merasa bertuah kerana walaupun dalam keadaaan uzur dan kesakitan, saya dapat juga menghadiri sebahagian besar daripada perhimpunan itu. (Saya terpaksa meninggalkan majlis itu sebelum piagam itu ditandatangani disebabkan kebas di bahagian bawah badan saya yang tidak tertahan kerana duduk di atas kerusi roda lebih daripada tiga jam.)

Biar apa pun, saya dapat melihat bahawa kedua-dua belah pihak memang ikhlas dan bersungguh-sungguh dalam usaha perpaduan itu. Kita lihat dalam U-tube begaimana hadirin tidak dapat menahan sebak dan air mata. Mereka termasuklah Presiden Pas, DS Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa yang tidak dapat memulakan bacaan piagam itu apabila tiba gilirannya untuk berbuat demikian.

Secara peribadi, saya merasakan hari itu adalah suatu hari yang sangat penting dalam hidup saya. Orang yang mendaftarkan saya untuk masuk ke sekolah Inggeris ialah guru darjah saya, yang kebetulan, pada masa itu (1954) adalah Setiausaha Agung PAS yang pertama. Tindakannya itu telah membuka jalan kepada saya untuk belajar undang-undang dan seterusnya menadi Ketua Hakim Negara.

Semasa dalam Tingkatan 4, bersama-sama abang ipar saya, kami menubuh cawangan PAS yang kedua di Pulau Pinang. Semasa di universiti, saya menulis satu rencana mengenai penyatuan semula UMNO dan PAS dan memberitahu guru saya itu. Beliau menyokong usaha saya itu. Malangnya beliau meninggal dunia tidak lama selepas itu, dan rencana itu terbengkalai.

Dalam tahun 1981, semasa saya menjadi Penasihat Undang-Undang Negeri Kelantan di bawan bawah Kerajaan BN, saya menyediakan Rang Undang-Undang (RUU) Acara Jenayah Syariah dan RUU Acara Mal untuk diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Kelantan dan digunakan di Mahkamah Syariah di Kelantan. Oleh sebab ketua pembangkang daripada PAS adalah kenalan saya semasa beliau berkhidmat dalam Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan, beliau datang ke pejabat saya dan meminta penjelasan daripada saya mengenainya.

Setelah saya menerangkan kepada beliau, beliau memberi jamijan kepada saya bahawa pembangkang (PAS) akan menyokongnya. Kedua-dua undang-undang itu diluluskan dengan sebulat suara. Memandang kebelakang, saya percaya itu adalah muafakat yang pertama, tanpa diketahui oleh UMNO. Ini berlaku 35 tahun sebelum UMNO bersetuju menyokong pindaan kepada Akta 355, yang saya juga terlibat.

Setelah saya bersara dan melihat kedudukan orang Melayu/Islam semakin teruk, pada 22-04-2014, saya menulis satu rencana bertajuk “Perpecahan Melayu Punca Tuntutan Melampau Bukan Melayu”. Rencana itu ditulis di Bilik Cempaka, Wad 28, Hospital Kuala Lumpur. Ia disiarkan oleh Utusan Malaysia dan menjadi viral.

Perlu diingati, pada masa itu PAS berada dalam Pakatan Rakyat.

Semenjak itu, banyaklah ucapan dan rencana saya mengenai perlunya UMNO dan PAS bekerjasama demi untuk mempertahankan kerajaan Persekutuan daripada jatuh kepada pembangkang yang didominasi oleh DAP. Antaranya adalah ucapan Tokoh Maal Hijrah 2015. Kesemuanya boleh didapati dalam laman-laman web saya dan buku saya “Buat Kerja”.

Akibatnya, saya telah dikecam sebagai rasis, bigot dan macam-macam lagi oleh DAP, MCA, Gerakan, NGO-NGO dan individu-individu bukan Melayu dengan kata-kata yang amat biadab yang disiarkan oleh Malaysiakini dan lain-lain. Semua itu saya rakamkan dalam rencana saya bertajuk “Jawapan Saya Kepada Pengkritik-pengkritik Saya” yang boleh didapati dalam laman-laman web saya itu.

Maka, pada 14 September 2019, paling kurang, saya boleh senyum. Dan terima kasih kepada penganjur yang sudi menjemput saya dan menyewa ambulans untuk membawa saya ke PWTC.

Kembali kepada Piagam Muafakat Nasional. Saya tidak perlu mengulasnya. Apa yang dinyatakan adalah jelas.

Kita mesti ingat bahawa piagam ini adalah garis panduan bagi kerjasama antara UMNO dan PAS dan juga parti-parti lain yang sudi menyertainaya kelak. Kerjasama itu hendaklah dilaksanakan dalam lingkungan dan untuk tujuan garis panduan itu. Wujudnya piagam itu tidak bererti kerjasama akan berjaya. Yang menentukan kejayaan atau kegagalannya, ialah apa yang dilakukan oleh parti-parti yang menyertainya.

Saya percaya jika kerjasama itu dilaksanakan dengan baik, ia akan memberi tamparan  hebat kepada PH, terutama sekali kepada Bersatu, Amanah dan PKR. Saya percaya akan berlaku tsunami patah balik (reverse tsunami) kepada muafakat perpaduan umah. Saya juga percaya majoriti pengundi-pengundi 18 hingga 21 tahun yang sebilangan besarnya adalah Melayu, tidak akan menyokong PH. Tindakan PH menurunkan umur kelayakan mengundi berdasarkan undian golongan muda dalam PRU 14, mungkin akan memakan diri.

PAS boleh dikatakan menandatangani piagam ini dengan kedudukan yang bersih dan kuat. Penyokong PAS akan mengikut arahan ketuanya. Pengundi-pengundi yang bukan ahli atau penyokong Pas tidak mempunyai sebab untuk tidak puas hati dengan adanya pemimpin-pemimpin tertentu sehingga mereka tidak mahu memberi undi mereka kepada muafakat itu.

Tetapi, kita tidak boleh berkata demikian mengenai UMNO. Banyak orang yang bersetuju menyokong muafakat itu, tetapi keberatan berbuat demikian kerana adanya pemimpin-pemimpin UMNO yang mereka tidak sukai, di dalamnya. Mereka merasakan bahawa dengan adanya pemimpin-pemimpin itu, UMNO tidak berubah. UMNO masih dikuasai oleh pemimpin-pemimpin lama yang dikaitkan dengan rasuah dan penyalahgunaan kuasa dan sedang menghadapi berbuluh-puluh pertuduhan. Mereka tidak mahu pemimpin-pemimpin itu berkuasa semula.

Ini pemimpin-pemimpin UMNO perlu peka dan berani membuat perubahan.

Hanya dengan menandatangani piagam ini tidak akan menjamin kemenangan dalam PRU 15. Rakyat mahukan pemimpin-pemimpin dan kerajaan yang bersih.

Maka, adalah menjadi tanggungjawab pemimpin-pemimpin dalam muafakat ini untuk membersihkan diri, membersihkan hati dan membersihkan parti, masing-masing. Hanya dengan itu, barulah kepercayaan rakyat akan dapat diperolehi semula.

- https://www.ismaweb.net/2019/09/16/muafakat-nasional-umno-pas-ini-ulasan-tun-hamid/