Sabtu, 5 Oktober 2019

DAKWAAN SAARANI TIDAK BERASAS, MODAL SETIAP KALI MENJELANG SIDANG DUN - YB Hasnul Zulkarnain

Saya ingin merujuk kepada kenyataan akhbar YB Hasnul Zulkarnain Abd Munaim, 

Exco Penerangan Kerajaan Negeri Perak pada 4 Oktober 2019 yang bertajuk *DAKWAAN SAARANI TIDAK BERASAS, MODAL SETIAP KALI MENJELANG SIDANG DUN.*

Dalam kenyataan itu beliau menuduh Ketua Pembangkang DUN Perak YB Dato Saarani Mohamad “gagal” memainkan peranan beliau sebagai pembangkang yang bertanggungjawab sebaliknya hanya bermain politik.

Saya ingin menasihatkan YB Hasnul supaya membaca semula Hanssard DUN Perak. Setiap kali sidang Dato Saarani membangkit isu tentang kesejahteraan serta kebajikan rakyat. Sebagai contoh isu pemotongan peruntukkan untuk golongan petani, nelayan dan penternak, isu peruntukan kawasan luar bandar yang dianaktirikan oleh Kerajaan Negeri serta isu kos hidup yang semakin meningkat.

Janganlah cuba mengalih-pandang isu kebobrokan serta pergaduhan dalaman sesama dan antara parti dalam Pakatan Harapan dengan membuat tuduhan cetek terhadap Ketua Pembangkang.

Ketika isu rakyat — kebajikan dan kesejahteraan — tidak dapat diselesaikan dan kehidupan masyarakat terhimpit oleh peningkatan kos hidup semakin meningkat, pemimpin kerajaan Perak masih lagi dalam carca marba serta bercakaran sesama sendiri.

Bacalah YB Hasnul, isu pergeseran antara exco dan YAB Menteri Besar bukan dimulakan oleh Dato Saarani atau Adun pembangkang tetapi oleh seorang Ahli Exco sendiri. Kami telah membuktikan dan mendedahkan exco berkenaan. Namun kelemahan Menteri Besar yang partinya hanya ada tiga kerusi (termasuk adik iparnya yang masih belum berparti) tidak dapat menundukkan exco berkenaan yang partinya ada 18 kerusi.

Krisis kepimpinan DAP pula didedahkan oleh Adun DAP sendiri YB CK Leong yang mempersoalkan kepimpinan parti itu.

Ketidakadilan perlantikan ahli majlis serta MPKK pula dibangkitkan oleh Pengerusi PKR Perak sdra Farhash Wafa Salvador, yang menuduh YAB Menteri Besar. 

Permainan politik ini tidak sekali-kali ditunjangi oleh Dato Saarani atau Adun pembangkang malah ia dimulakan oleh Exco Kerajaan dan Adun Pakatan Harapan sendiri. Janganlah menuduh Dato Saarani bermain politik dan membelakangi masalah rakyat. Kami memainkan peranan sebagai penyemak dan pengimbang serta menyuarakan permasalahan rakyat. Sekali lagi bacalah Hanssard DUN atau ikuti program-program kami yang terus membela serta berbakti kepada rakyat.

Saya juga ingin menasihatkan YB Hasnul jangan cuba melaga-lagakan antara Dato Saarani dan bekas Menteri Besar YB Dato Seri DiRaja Dr Zambry Abd Kadir. Gandingan antara YB Dato Saarani dan YB Dato Seri DiRaja Dr Zambry serta Pesuruhjaya PAS Perak YB Razman Zakaria adalah dalam tahap terbaik. Sebarang tuduhan serta dakwaan sembrono begini akan digelakkan oleh rakyat sebagaimana rakyat mentertawakan YB Hasnul ketika meletakkan piala di tempat yang paling tidak sesuai atau meraikan kemenangan pasukan bolasepak Perak “berseorangan”. 

Saya sebaliknya menggesa  supaya YB Hasnul menasihati YB Asmuni Awi dan YB Dato Seri Nizar Jamaluddin supaya belajar dari YB Dato Saarani, YB Dato Seri DiRaja Dr Zambry dan YB Razman bagaimana mentadbir parti dengan baik supaya tidak kucar kacir.

Tadbirlah PAN dengan bijak sebelum cuba melaga-lagakan kepimpinan parti lain supaya tidak berlaku proses mesyuarat dan pemilihan diadakan semula kerana pilihan ahli parti tidak selaras dengan kehendak “golongan tertentu”.

Memetik kata Tjokroaminoto salah seorang pengasas Sarekat Islam dan pejuang kemerdekaan Indonesia yang awal dalam sejarah moden negara itu yang menyebut untuk menjadi pemimpin yang hebat dua perkara perlu dilakukan hijrah dan iqra. Berhijrahlah dari kesempitan fikiran yang penuh rasa benci kepada kasih sayang dan dari kedangkalan akal menjadi sedikit cerdik. Bacalah supaya ada ilmu sebelum membuat tuduhan melulu. Baca Hanssard sebelum membuat tuduhan bahawa Adun Kota Tampan serta barisan pembangkang tidak membangkitkan soal rakyat tetapi hanya bermain politik.

YB Ahmad Saidi Mohamad Daud
Ahli Dewan Negeri Changkat Jering