Sabtu, 5 Oktober 2019

Penganjur Kongres Maruah Melayu Beri Alasan Tidak Munasabah



Sejak saya mengeluarkan kenyataan mempersoalkan kewajaran beberapa IPTA menganjurkan Kongres Maruah Melayu, beberapa Naib Canselor terpanggil mengeluarkan pelbagai kenyataan mempertahankan tindakan mereka.

Penafian bahawa mereka bukan tunggangan parti politik tidak perlu saya ulas. Orang Melayu dan rakyat Malaysia bukan naif dan anti akal. Mereka tahu menilai yang batil dan yang benar.

Jika benar penganjur kongres ini bukan tunggangan ahli politik, kenapa YB Dato' Seri Anwar Ibrahim, bakal Perdana Menteri Malaysia yang ke-8 tidak dijemput?

Beliau bukan pemimpin biasa-biasa. Beliau membidani kelahiran gerakan reformasi di Malaysia dan merupakan tokoh Melayu yang progresif. Malah, beliau adalah Perdana Menteri menunggu yang harus mengetahui dengan jelas kebimbangan dan isu orang Melayu. 

Jika beliau yang sedang menunggu peralihan kuasa ini pun dianggap bukan sebahagian dari pemegang taruh kepentingan bangsa Melayu, siapa lagi yang lebih layak?

Telahan saya, barangkali Bersatu telah memperkudakan IPTA agar tidak menjemput Dato' Seri Anwar Ibrahim kerana antara tujuan tidak langsung kongres ini adalah untuk menggagalkan pelan peralihan kuasa kepada beliau. 

Alasan menyatakan bahawa kongres ini terbuka kepada semua orang Melayu justeru tidak memerlukan beliau dihantar jemputan khusus adalah sangat dangkal dan terdesak.

Kemudian keluar pula kenyataan Prof Zainal Kling sebagai penganjur bahawa Dato' Seri Anwar Ibrahim tidak dijemput kerana beliau mewakili PKR, sebuah parti yang terdiri dari pelbagai bangsa dan bukannya orang Melayu sahaja. 

Saya sama sekali tidak menyangka jawapan sebegini boleh terpacul dari mereka yang menggelar diri sebagai cendekiawan Melayu.

Yang pasti, kesemua IPTA terlibat akan dihakimi wibawa mereka pada 6 Oktober ini. Seluruh Malaysia akan melihat bentuk wacana yang akan mereka persembahkan dan kecerdasan apakah yang akan mereka kemukakan demi maruah bangsa Melayu.

Kepada Menteri Pendidikan dan semua Naib Canselor yang terlibat, ingatlah, apa yang anda lakukan ini sangat memperjudikan kewibawaan dan nama baik Universiti Awam. 

Namun, kami tidak akan menghukum melulu. UMNO akan menghantar wakil untuk melihat apa sebenarnya pengisian dan Kongres Maruah Melayu ini. Jika anda gagal memaparkan pemikiran, idea dan naratif lebih konkrit untuk kebolehsaingan bangsa Melayu dalam kongres yang sangat bersifat politik ini, saya yakin IPTA kita bakal terjerumus jatuh ke tahap keyakinan paling rendah dalam masyarakat. 

*Mohamed Khaled Nordin(MKN)*
*Naib Presiden UMNO*