Ahad, 24 November 2019

Luahan Hati Raja Annuar Adnan



Aku sudah mual dengan para Ahli Parlimen atau MP-MP UMNO yang tangannya berbau taik. 

Kesialan apakah ini?  Mereka tidak serik-serik dengan perlakuan yang bodoh. 

Pernah aku lebelkan mereka ini tidak ubah seperti hyena atau dubuk, sejenis anjing yang berkelakuan rakus merampas buruan haiwan lain atau bangkai binatang. Hyena sentiasa memilih jalan mudah, haiwan ini membiarkan haiwan lain memburu dan mereka mencuri dan merampas hasil buruan haiwan lain itu. Sama seperti hyena atau dubuk dalam UMNO. Mereka ini jenis memilih jalan mudah untuk kaya dan berkuasa tanpa pedulikan mata rakyat yang memerhati. Maruah dan harga diri tidak penting bagi mereka, yang penting ‘makan free’.

Wahai MP-MP yang hina, apakah anda masih belum sedar? Ketika BN tewas dalam PRU14 yang lalu, UMNO turut tersungkur. Tidak keterlaluan jika aku katakan bahawa pada ketika itu UMNO sebenarnya sudah mati. 

Bayangkan apabila DS Najib meletakkan jawatannya sebagai Presiden UMNO, para kepimpinan UMNO yang lain menjadi hilang arah. Bohonglah jika ada yang kata UMNO masih bernyawa di ketika itu. Bohong. Ketika itu tidak langsung kita lihat ada mana-mana pemimpin UMNO yang berani berdiri dan vocal, tiada pemimpin UMNO yang berani bangun membakar semangat para ahlinya agar terus berjuang.  Yang kita lihat hanyalah perebutan kuasa sesama mereka. Dalam keadaan UMNO yang nazak, mereka rakus berebut saki baki bangkai yang ada.  Mereka juga saling menyalahi kerana masing-masing membina team sendiri. 

Ada pemimpin yang berkata kononnya mereka berjuang secara sembunyi-sembunyi. Kononnya mereka sedang berusaha menyatukan kembali semangat UMNO yang hancur berderai. Pembohong. Ianya tidak benar. 

Ketika itu para pemimpin UMNO sudah hilang arah tuju. Malahan mereka pada ketika itu dalam keadaan terketar-ketar memikirkan kaedah menyelamatkan diri masing-masing. Mereka kecut dan takut bersuara kerana risaukan tindakan dari kerajaan PH. Mereka tahu di tangan mereka juga tercalit najis dari perlakuan mereka yang lampau. 

Sesungguhnya nama UMNO tercalar kerana ‘najis-najis’ itu.  UMNO hilang maruahnya kerana perlakuan hyena atau dubuk  buas dan berkeliaran dalam UMNO.  Golongan muda tiada selera menghadap UMNO kerana melihat hyena-hyena ini semakin membuncit. 

Tahukah anda bagaimana UMNO kembali bangun? 

Ianya adalah dari aura DS Najib. Ikhlas aku katakan, sekiranya DS Najib tidak bangun dan bersuara, maka UMNO mungkin sudah pun membangkai. 

Tahukah anda dari manakah datangnya keajaiban semangat DS Najib?

Kita semua sedia maklum, sebaik sahaja BN tewas dalam PRU14, satu demi satu musibah menimpa DSN. Rumahnya dan rumah ibunya digeladah polis. Kepimpinan atasan UMNO mengarahkannya mengundurkan diri. Berpuluh pertuduhan dikenakan terhadapnya. Passport antarabangsa digantung. Anak-anak dan isteri diganggu-gugat. Akaun-akaun banknya dibekukan.  Tanya saja pada DSN, pasti banyak lagi tekanan lain yang terpaksa dihadapi. 

Tekanan lebih dirasai apabila rakan-rakan seperjuangan tidak berkunjung untuk menunjukkan tanda simpati. Malahan ada sebilangan yang dahulunya dijangkakan rakan seperjuangan rupanya musuh dalam selimut, mereka ini menghina dan mencerca DSN ketika beliau dalam keadaan tertekan. Tiada wajah-wajah mereka menemani DSN ketika perbicaraannya. Jika ada pun hanya seorang dua. 

Tapi, sebagaimana yang aku katakan tadi, bagaimana DSN masih mampu bangun?

Dengan kehendakNya, DSN diangkat, dipapah dan dipulihkan semangatnya oleh sebilangan rakyat yang bukan pejuang dalam UMNO. Mereka adalah insan-insan yang langsung tidak dikenali DSN sebelum ini. Mereka adalah sekumpulan individu dari sebuah NGO yang berani menongkah arus, yang tidak mahu melihat kekejaman yang keterlaluan terhadap DSN. Mereka adalah manusia yang tidak mengharapkan apa-apa balasan tapi masih bersedia menjadi benteng kepada DSN. Apa yang mereka mahu ialah melihat DSN kembali berdiri menyuarakan haknya. 

Aku ada perhatikan bagaimana DSN merenung satu persatu wajah insan-insan yang rela berjuang untuknya ketika itu. Pernah terkeluar dari mulutnya, “I can see the sincerity. This is something that money can’t buy. Where are these people from?”.  DSN terkejut apabila diberitahu bahawa di kalangan kami ada guru, ada doktor, ada peguam, ada journalist, ada orang seni, bankers, ahli perniagaan dan berbagai lagi. Kami nekad untuk mengangkat kembali DSN yang dijatuhkan secara tipu daya. 

Di ketika para pemimpin UMNO sibuk bertelagah sesama mereka, NGO ini berusaha menganjurkan ruang dan peluang untuk DSN berucap di beberapa lokasi di sekitar Lembah Klang.  Usaha membangkitkan semula DSN bukanlah mudah. Ada sahaja halangan dan rintangan dari pihak PH. Biasa juga program yang dirancang berubah tempat di saat akhir kerana dihalang oleh pihak berkuasa tempatan. Namun kami tidak pernah patah semangat. 

Kebangkitan DSN kami viralkan. Rakyat mula menerimanya. Ahli-ahli UMNO juga kembali bersemangat.  Nadi UMNO kembali berdegup. Rata-rata rakyat menyesali kerana menolak Najib dan UMNO. Ramai yang menghulurkan tangan memohon maaf.  

Begitu juga dengan para ahli dan barisan kepimpinan parti PAS. Mereka kini sedia berjuang bersama UMNO.  Kesempatan ini diambil oleh kedua-dua pihak untuk bersatu di dalam Penyatuan Ummah. 

Tapi malangnya dubuk tetap dubuk.  Apabila UMNO tampak kembali bertenaga dan punya masa depan, para dubuk dalam UMNO ini muncul kembali.  Tanpa segan silu dubuk-dubuk yang tampak lapar kembali menjelma dan mengganas. 

Kebelakangan ini pula kita dengari hasrat bermain pintu belakang dari beberapa ekor dubuk. Pintu ini kononnya mampu menawarkan kedudukan tahap dewa. Sama-sama untung kononnya, menyelamatkan parti bunga dengan tawaran jawatan-jawatan menteri kanan.  

Beberapa hari yang lalu kita dapati ada pula sekumpulan MP UMNO hadir ke kediaman YB Azmin dari PH di malam buta. Berbagai versi alasan kita dengar mengenai tujuan mereka ke sana. 

Kita tahu budaya dubuk dalam UMNO. Di mana mereka bau bangkai, di situ mereka berasak. Tidak kira walaupun jamuan bangkai itu dari pihak lawan. Sekali dipelawa, lidah yang panjang mereka tadahkan. Tidak kira walaupun yang mereka tahu ‘rezeki’ itu adalah perangkap. Kita tahu sebagai kerajaan, PH mampu menghamparkan apa saja tawaran atau janji asalkan telunjuk mereka dipatuhi. 

Kononnya alasan dubuk-dubuk ini adalah untuk memujuk Azmin menyertai UMNO. Inilah alasan paling bodoh yang kita pernah dengar. Apakah ahli UMNO serta PAS sedia menerima manusia semburit menyertai dan diangkat sebagai pemimpin dalam UMNO?  Alasan yang langsung tidak masuk akal. 

Ada juga dubuk memberi alasan yang kononnya mahu memohon peruntukan penambah baik kawasan parlimen masing-masing dari Azmin. Tak perlulah memperbudakkan kami. Kami tidak bodoh.  Lagi banyak anda membuka mulut makin terserlah kedubukannya. 

Bak kata DSN, nak berjumpa pun biarlah kena pada masa dan tempatnya. Bincanglah dahulu dengan pemimpin atasan UMNO, pinta restu. Katanya lagi, usah campuri urusan atau permasalahan musuh. Biarlah PH dengan masalah mereka. Tak perlu berlagak hero dan sibuk menangguk di air keruh.  Silap-silap tangguk, ular sawa yang muncul. 

Bagi aku, dubuk-dubuk ini adalah parasit dalam UMNO. Mereka adalah pengkhianat yang boleh menghancurkan UMNO yang baru kita bina dari dalam. Di tangan mereka kini bertambah-tambah bau taik. Mereka melacurkan UMNO demi nafsu tamak haloba yang tidak terkawal. Kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. 

Inilah yang aku maksudkan dengan dubuk. Mereka ini tidak langsung pedulikan apa yang telah kita usahakan.  Mereka langsung tidak menghormati Penyatuan Ummah. Mereka tidak serik-serik mahu merosakkan apa yang dibena.  Mereka tidak belajar dari sejarah. 

Kita, para NGO yang bukan orang kuat dalam UMNO berhempas pulas siang dan malam memulihkan UMNO. Siang dan malam kita membakar semangat orang-orang Melayu agar bersatu menentang kerajaan PH. Berkali-kali akaun FB kita dibekukan, tapi kita tetap terus berjuang. Kita juga sering memunculkan diri di perhimpunan jalanan sebagai tanda protes terhadap kerajaan PH yang zalim terhadap rakyat.  Kita hadir ke balai polis membuat berbagai loparan penyelewengan kerajaan PH. Kita ketepikan risiko keselamatan diri demi satu perjuangan murni. Tapi malangnya dubuk-dubuk ini hanya tahu merosakkannya. Mereka bukan sahaja tidak menghargai segala yang kita perjuangkan, sebaliknya mereka merosakkannya. 

Ada pandangan yang mengatakan kononnya para dubuk ini lebih arif berpolitik. Sudah-sudahlah. Nasihat aku pada mereka, cukup-cukuplah dengan perangai buruk kalian. Kerana sikap kalianlah maka UMNO tersungkur. Kerana kalianlah maka kerajaan jatuh ke tangan DAP. Ini pun kalian masih tidak sedar. Inipun kalian masih tidak berubah. Saya ulangi, kerana kalianlah maka anak-anak muda masih berbelah bagi menyertai UMNO. 

Apabila perbuatan kalian ditegur oleh Dato Lokman Adam, salah seorang ahli MT dalam UMNO, maka Lokman pula menjadi bahan. Rupanya banyak lagi pengikut dubuk-dubuk ini yang tersinggung. Tidak boleh ditegur rupanya dubuk-dubuk ini. 

Ingatlah. Kadangkala Allah swt panjangkan nyawa UMNO kerana mahu selamatkan kita. Allah mahu kita sedar, insaf dan beristiqamah. Malahan Allah panjangkan talian hayat dengan menyandarkan UMNO pada PAS. Jangan pula nanti PAS mencampakkan UMNO kerana mereka turut mual dengan perlakuan dubuk-dubuk dalam UMNO yang sudah karat akal fikirannya. 

Kepada para hyena atau dubuk dalam UMNO, ingatlah pesanan saya. Jangan sesekali anda memandang rendah atau ‘underestimate’ NGO-NGO yang sentiasa berjuang seperti kami. Mungkin anda tidak langsung memandang kami, tetapi kami berjaga siang dan malam memerhati dan memantau setiap yang berlaku dalam politik semasa. Kami juga tidak pernah putus bersuara bagi pihak kalian. Risikonya kami yang tanggung, hasilnya kalian yang nikmati. Tapi kami tidak kisah. 

Kami punya ribuan pengikut. Kami juga sering mendapat nasihat, pandangan dan berbincang dengan ramai golongan professional.  Kami boleh sahaja berkempen menyingkirkan anda jika kami mahu. Jadi berwaspada dan jagalah perlakuaan keterlaluan kalian.  Ingin juga saya ingatkan bahawa perhimpunan BERSIH dahulu pun didalangi oleh NGO. 

Penyatuan Ummah telah dibena dengan begitu sempurna. Akan kami jaga PU ini sebaik-baiknya kerana kami mahu kita merampas kembali Tanahair ini dari PH. Andai kalian masih tidak mahu berubah, andai kalian menjadi api dalam sekam, hanya mementingkan diri sendiri sedangkan tindakan kalian mencemari UMNO dan PU, kami tidak akan teragak-agak melaksanakan operasi pembersihan. Sesungguhnya suara rakyat suara keramat. 

Raja Annuar Adnan.