Rabu, 4 Jun 2008

BIASISWA JPA. ELOKLAH 10 PERATUS SAJA FOR NON BUMI

GPMS Mahu Temui Najib Bincang Isu Kenaikan Biasiswa JPA

KUALA LUMPUR, 3 Jun (Bernama) -- Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) akan mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk berbincang mengenai isu kenaikan kuota biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kepada bukan Bumiputera daripada 10 peratus kepada 45 peratus.

Presidennya Datuk Reezal Merican Naina Merican berkata beliau akan mengadakan pertemuan secepat mungkin dengan Najib yang juga merupakan Ketua Penasihat GPMS.

Majlis Tertinggi GPMS termasuklah kesemua pengerusi GPMS negeri sebulat suara membantah kenaikan itu dan saya mahu tekankan di sini bantahan itu bukanlah bersifat perkauman tetapi berdasarkan tuntutan kesamarataan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat khas Majlis Tertinggi GPMS di ibu pejabat GPMS di sini hari ini.

Beliau berkata kesamarataan yang dimaksudkannya ialah peluang dalam mendapatkan pendidikan berkualiti kepada pelajar di luar bandar dan di bandar.

"Kita bercakap sekarang mengenai pelajar di luar bandar yang kebanyakannya terdiri daripada Bumiputera. Jurang dalam mendapatkan pendidikan yang berkualiti bagi penduduk di luar bandar masih kurang berbanding pelajar di bandar," katanya.

Reezal Merican berkata kesamarataan daripada segi latar belakang seseorang pelajar itu juga perlu diambil kira dan tidak hanya berdasarkan merit keputusan peperiksaan seseorang pelajar.

"Kami mahukan sosio ekonomi pelajar itu juga diambil kira kerana jurang antara bandar dan luar bandar tentunya berbeza," katanya.

Beliau berkata kenaikan peratusan biasiswa kepada bukan Bumiputera itu juga tidak melambangkan bilangan komposisi kaum di negara ini iaitu 65 peratus Bumiputera dan 35 peratus bukan Bumiputera.

Rabu lepas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata biasiswa JPA untuk program ijazah di luar negara kepada bukan Bumiputera dinaikkan kepada 45 peratus mulai tahun ini berbanding 10 peratus tahun lepas.

Katanya secara keseluruhan, sebanyak 2,000 biasiswa disediakan oleh JPA iaitu 1,100 untuk Bumiputera dan 900 untuk bukan Bumiputera.

-- BERNAMA