Selasa, 3 Jun 2008

Pakatan Rakyat Yang Tak Mesra Rakyat

Negeri Bawah Pakatan Rakyat Tunjuk Sikap Agresif, Kata Muhammad

KUALA LUMPUR, 3 Jun (Bernama) -- Negeri-negeri yang dikuasai oleh parti pembangkang selepas pilihan raya umum 8 Mac lepas menunjukkan sikap agresif dengan menukar pegawai dan menghalau agensi kerajaan keluar dari bangunan yang ditadbir mereka, Dewan Negara hari ini diberitahu.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Senator Tan Sri Muhammad Muhammad Taib berkata ia berlaku di Selangor di mana operasi Radio Selangor FM di bawah Jabatan Penyiaran dihalau keluar dari bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor.

"Begitu juga mereka menukar pegawai di masjid-masjid, tukar ketua kampung.

Kerajaan persekutuan memberi peruntukan kepada nazir masjid dan juga guru agama. Jadi kita kata perkara ini tak adil.

"Wakil Rakyat Barisan Nasional juga tidak dibenar merasmikan majlis anjuran Jabatan Agama Islam Selangor. Balai Raya juga tidak dibenarkan pakai. Kalau kita tak beri anak mereka sekolah di Sekolah Kebangsaan pula macam mana," katanya semasa menggulung perbahasan titah ucapan Yang di-Pertuan Agong, bagi kementeriannya.

Katanya, oleh sebab itu penubuhan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKP) di keempat-empat negeri berkenaan adalah wajar bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan projek-projek pembangunan kerajaan persekutuan di peringkat kampung.

"Harus tak ada sekatan, tak ada kebuntuan untuk sampai ke peringkat kampung. Jalan yang paling sesuai ialah melalui pejabat pembangunan negeri seterusnya ke kampung. Kita tak hendak perkara ini tersekat. Nanti maklumat tak sampai dari bawah ke atas dan begitu juga sebaliknya," katanya.

Beliau berkata katanya apa yang berlaku di mana Ketua Kampung meletak jawatan di Selangor, Kedah, Pulau Pinang dan Perak adalah kerana mereka diura-urakan mahu diberhentikan.

Oleh kerana mereka ini sudah berkhidmat dengan lama dan cemerlang jadi kerajaan pusat mengekalkan mereka ini terus berkhidmat, katanya.

-- BERNAMA