Isnin, 8 Mei 2017

Burung Botak Upeh Di Taman Tasik Taiping


Burung Botak Upeh

Botak Upeh mengambil masa yang lama untuk menelan seekor ikan keli 


Burung botak upeh atau Milky Stork ialah satu daripada tiga jenis burung botak yang ada di Malaysia. Dua spesies burung botak lain ialah burung botak besar dan burung botak kecil. Taburan burung botak upeh bermula dari Vietnam, Kampuchea dan Indonesia. Populasi burung ini dikatakan masih banyak di Sumatera, manakala hampir pupus di Malaysia, Vietnam dan Kampuchea.

Di Malaysia, botak upeh hanya dapat ditemukan di sekitar Pulau Kalumpang di dalam Suaka Burung Kuala Gula, Kerian, Perak. Bilangan botak upeh dianggarkan tidak melebihi dua puluh ekor. Spesies ini dikategorikan dalam Jadual Satu dalam Buku Merah Kesatuan Antarabangsa bagi pemuliharaan (IUCN).

Burung botak upeh mempunyai bulu yang putih melepak. Ada sedikit warna hitam pada bahagian hujung bulu kepaknya. Paruhnya besar dan tebal, berwarna kuning dan runcing pada bahagian hujungnya. Ada sedikit warna merah jambu pada bahagian dahi dan pangkal paruh burung ini. Kaki botak upeh pula panjang dan berwarna merah jambu.

Botak upeh mempunyai habitat yang terhad, iaitu hanya mendiami kawasan hutan paya bakau berlumpur. Burung botak upeh memilih habitat ini kerana ada banyak makanan yang dapat dimakannya.