SUNGAI SIPUT, 14 Ogos -- Lebuhraya Koridor Guthrie, satu lagi laluan ke Shah Alam dan Klang dari arah utara, akan dibuka sepenuhnya kepada lalu lintas mulai 12.01 tengah hari esok.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri S. Samy Vellu berkata kutipan tol bagi lebuh raya itu akan berkuatkuasa serentak dengan pembukaannya.
Struktur kadar tol lebuh raya itu ialah RM1 bagi Kelas 1 dan 5 iaitu bagi kereta, van dan bas, RM2 (Kelas 2) bagi lori kecil, RM3 (Kelas 3) bagi lori besar dan 50 sen (Kelas 4) bagi teksi.
"Lebuh raya sepanjang 25 kilometer itu akan mempunyai tiga plaza tol iaitu Plaza Tol Bukit Subang, Elmina dan Lagong," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis dialog program pendidikan Eduaid anjuran MIC di sini hari Ahad.
Sebahagian daripada lebuh raya itu iaitu Seksyen 1 dan 2 telah dibuka kepada pengguna pada 19 April lepas.
Pembukaan esok membabitkan jajaran Seksyen 3 dan 4 iaitu dari Sungai Buloh ke Persimpangan Bertingkat Lebuhraya Utara Selatan, katanya.
"Sepatutnya akan diadakan acara rasmi pembukaan lebuh raya itu oleh saya esok tetapi dibatalkan kerana masalah jerebu," katanya.
Samy Vellu berkata lebuh raya itu akan memberi laluan pilihan kepada orang ramai dari arah utara untuk ke Shah Alam, Klang dan Pelabuhan Klang serta meneruskan perjalanan ke arah selatan.
"Ia juga akan mengurangkan masalah kesesakan yang sering berlaku di Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) iaitu antara laluan Kuala Lumpur-Rawang dan sebaliknya terutama pada musim cuti hujung minggu dan cuti am," kata beliau.
Lebuh raya berkenaan dibina dengan kos RM815.63 juta manakala RM63.7 juta lagi adalah bagi kos pembinaan persimpangan ke Lebuhraya Utara Selatan.
Projek itu itu dibina sepenuhnya oleh syarikat konsesi Guthrie Corridor Expressway Sdn Bhd, anak syarikat Kumpulan Guthrie Berhad, kata Samy Vellu.
"Lebuh raya ini telah dibina dengan ciri-ciri keselamatan dan keselesaan yang boleh dicontohi oleh projek-projek lebuh raya lain seperti penyediaan rizab khas selebar 3 meter untuk kegunaan ekslusif utiliti dan lorong khas motosikal selebar 3 meter di kedua-dua arah," tambahnya.
-- BERNAMA