'Saya bersedia ke lembaga disiplin'
KUALA LUMPUR 4 Jun - Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Dr. Rais Yatim bersedia untuk dirujuk ke lembaga disiplin parti jika jawatan kuasa itu merasakan hak bersuara dan memberi pendapat adalah satu kesalahan.
Menurut Rais, sebagai ahli UMNO, beliau mempunyai hak untuk memberikan pendapat dan pandangan demi kepentingan parti.
''Pandangan yang diberikan itu adalah sebagai peringatan kerana sekarang ini terlalu ramai pemimpin 'musang berbulu ayam' dan saya tidak mahu UMNO terperangkap dan terdedah kepada bahaya tersebut,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Rais berkata, Lembaga Disiplin UMNO merupakan Jawatankuasa yang ditubuhkan untuk membincangkan soal-soal disiplin bagi ahli yang ingin merosakkan parti.
Beliau memberitahu, hak untuk bersuara dalam parti bukan merupakan tugas yang perlu diselesaikan oleh jawatankuasa tersebut.
''Lembaga disiplin lebih banyak hal lain untuk dibincangkan seperti kesalahan rasuah politik, mendustakan Perlembagaan, menjatuhkan maruah orang Melayu daripada membincangkan kesalahan hak bersuara,'' katanya.
Menurut Rais, beliau tidak merasakan bersuara dan memberi pendapat melalui akhbar itu akan memudarat dan melemahkan parti.
''Kami bukan budak-budak yang baru bermain keris,'' ujarnya.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan Ketua UMNO Bahagian Bukit Mertajam, Senator Datuk Musa Sheikh Fadzir menggesa supaya Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Rais dirujuk kepada lembaga disiplin kerana sering mempertikaikan keputusan parti dan meluahkan pandangan menerusi akhbar.