Sabtu, 7 Jun 2008

PKR KENA PAM AIR SENDIRI LAH

Tiada air percuma di Selangor - Syabas

SHAH ALAM - Impian penduduk Selangor untuk menikmati air percuma 20 meter padu (m3) pertama seperti dijanjikan kerajaan Pakatan Rakyat bermula bulan ini mungkin tidak kesampaian.

Ini kerana Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) bertegas tetap akan mengeluarkan bil air kepada para pengguna seperti biasa tanpa ada sebarang penurunan atau pemotongan subsidi.

Ketua Pegawai Eksekutif Syabas, Datuk Ruslan Hassan berkata, lagi pun, sehingga kini Syabas belum menerima sebarang kelulusan dari Kerajaan Pusat mengenai perubahan kadar tarif baru yang telah diwartakan.

"Sebarang tindakan yang bakal diambil bukan sahaja perlu mendapat kelulusan kerajaan negeri malah kelulusan dari Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi.

"Sehingga kini, perbincangan hanya terhad antara Kerajaan Selangor manakala dengan Kerajaan Pusat masih belum dijalankan," katanya pada satu kenyataan di sini semalam.

Kenyataan itu mengulas laporan sebuah akhbar pada 2 Jun lalu mengenai Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyatakan rebat air akan di laksanakan bulan ini berserta perubahan pada bil airnya.