PMB bayar subsidi minyak 1 Julai
KUALA LUMPUR - Pos Malaysia Bhd (PMB) semalam mengumumkan bahawa mereka telah dilantik oleh kerajaan sebagai ejen untuk membayar subsidi bahan api kepada pemilik kenderaan persendirian yang layak di seluruh negara.
Mereka boleh menuntut subsidi itu di kesemua 686 pejabat pos di seluruh negara berkuat kuasa 1 Julai 2008, kata PMB dalam satu kenyataan.
Seperti yang diumumkan oleh kerajaan, kenderaan yang mempunyai cukai jalan sah dari 1 April 2008 hingga 31 Mac 2009 layak mendapat subsidi tahunan itu.
Pemilik kenderaan sehingga 2,000cc serta trak pikap dan jip sehingga 2,500cc akan menerima RM625 bagi setiap kenderaan.
Pemilik motosikal sehingga 250cc akan menerima RM150.
PMB berkata, pemilik kenderaan yang datang sendiri membuat tuntutan di pejabat pos akan dibayar secara tunai.
Mereka yang melantik pihak ketiga untuk membuat tuntutan subsidi, akan menerima wang pos yang akan dibayar kepada alamat pemilik kenderaan seperti yang dikemukakan kepada PMB semasa membuat tuntutan, katanya.
Maklumat lanjut mengenai prosedur dan dokumen berkaitan untuk tuntutan itu akan diumumkan tidak lama lagi.
"PMB yang memiliki rangkaian di seluruh negara, sudah bersedia untuk memberi perkhidmatan kepada pelanggan dalam mengendalikan pembayaran subsidi itu dengan mudah dan tepat pada masanya," kata Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Abu Huraira abd Yazid. - Bernama