Khamis, 5 Jun 2008

TAJOL ROSLI KEMBALI


Tajol perjelas sebab diam

Oleh Shamsul Kamal Amarudin

Bekas MB beri alasan malu dengan kekalahan BN di Perak

SUNGAI SIPUT: Datuk Seri Mohd Tajol Rosli Ghazali, berkata beliau mendiamkan diri lebih dua bulan selepas pilihan raya umum Mac lalu kerana amat malu dengan kekalahan Barisan Nasional (BN) di Perak.

"Kenapa saya diam? Sebab saya cukup malu... ketika Perikatan kalah di Perak pada pilihan raya 1969, bapa saya (Tan Sri Ghazali Jawi) ditugaskan merampas semula kedudukan itu dan berjaya melakukannya sebelum dilantik Menteri Besar.

"Tetapi, kini Perak terlepas daripada BN di bawah kepemimpinan saya. Jadi, apa saja saya cakap nanti (selepas kalah), orang akan memperlekehkannya," katanya pada Majlis Kesyukuran BN Sungai Siput dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lintang, Datuk Ahamad Fakeh Adam di sini, semalam.

Namun, katanya, beliau tidak boleh terus berdiam diri kerana tidak mahu dianggap dayus dengan membiarkan rakyat negeri ini berada di bawah pemerintahan Pakatan Rakyat (PR) terutama selepas kerajaan negeri baru asyik membuat tohmahan terhadap kerajaan terdahulu yang dipimpinnya.

Beliau berkata, kerajaan sekarang sepatutnya mengambil pendekatan bekerjasama termasuk dengan pimpinan terdahulu dan Kerajaan Pusat selain bersikap adil terhadap semua rakyat demi pembangunan Perak, bukannya menganaktirikan mereka yang menyokong BN.

Katanya, BN dan Umno negeri tidak menghadapi masalah untuk menghormati kerajaan baru sekiranya menunjukkan sikap baik terhadap mereka.

"Jika mereka mahu bermain api, jangan menyesal jika api menjadi marak dan lebih menyakitkan daripada api kecil yang terbakar di tangan. Jangan mendirikan rumah kaca jika takut dibaling batu," katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa semua ahli Umno dan BN agar bekerja keras dan bertindak lebih bijak bagi mengembalikan semula pemerintahan kerajaan negeri di bawah parti itu agar rakyat tidak terus diperbodohkan oleh permainan politik serta putar belit PR yang dianggapnya sebagai `Pakatan Rapuh'.

Katanya, sikap putar belit terutama Pas dan DAP boleh dilihat dengan perubahan pendirian dan sikap mereka ketika menjadi pembangkang berbanding selepas memperoleh sedikit kuasa.

Beliau berkata, pada pilihan raya umum 1999, Pas menyindir Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang ketika itu ditugaskan mengetuai jawatankuasa membanteras wabak Japanese Encephalitis (JE) dan virus Nipah di ladang babi dengan mengatakan `orang Badwi di Arab menjaga unta, Badwi di Malaysia menjaga babi.'

"Tetapi, Allah maha kaya. Sekarang apabila mendapat kuasa, Pas pula menyokong ternakan babi di Selangor yang diperintah PR. Jadi, siapa sebenarnya menjaga babi?" katanya.

Beliau berkata, DAP pula membuat tohmahan berunsur perkauman dengan mengatakan pemimpin Gerakan, Datuk Chang Ko Youn, sudah `masuk Melayu' kerana memakai songkok ketika angkat sumpah jawatan Exco kerajaan negeri di Istana Iskandariah selepas Pilihan Raya Umum 2004.

"Tetapi, apabila pemimpin DAP memakai songkok untuk mengangkat sumpah jawatan Exco baru-baru ini mereka bukan sudah masuk Melayu ke...inilah putar belit yang dimainkan DAP.

"Mereka harus faham bahawa pepatah Inggeris ada mengatakan kita boleh menipu sesetengah orang pada sesuatu masa, tetapi kita tidak boleh menipu semua orang sepanjang masa," katanya.