05 Jun, 2008 15:58 PM |
Demonstrasi Bantah Kenaikan Harga Minyak
KUALA LUMPUR, 5 Jun (Bernama) -- Sekumpulan penyokong DAP pada Khamis mengadakan demonstrasi secara aman di Jalan Pasar Pudu bagi membantah kenaikan harga minyak yang diumumkan semalam.
Kumpulan itu disertai wakil-wakil rakyat DAP terdiri Anggota Parlimen Cheras, Tan Kok Wai, Anggota Parlimen Kepong, Dr Tan Seng Giaw, Anggota Parlimen Seputeh, Theresa Kok, Anggota Parlimen Segambut, Lim Lip Eng, dan Anggota Parlimen Bukit Bintang, Fung Kui Lun dan anggota Dewan Undangan Negeri Selangor kawasan Teratai, Janice Lee.
Mereka berkumpul sejak 11 pagi sebelum berarak menuju ke kawasan penjaja sambil diawasi anggota Unit Tindakan Simpanan Persekutuan (FRU).
Tan berkata beliau tidak setuju subsidi minyak dikurangkan kerana kenaikan harga minyak membebankan golongan berpendapatan rendah.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Mohd Zulkarnain Abdul Rahman berkata kumpulan itu bersurai pada 12.30 tengah hari dan tiada tangkapan dibuat.
-- BERNAMA