Khamis, 14 Mac 2013

HENTI BAYAR KERANA LANGGAR SYARAT - TUN M.



Bayaran penyerahan wilayah tahunan sebanyak RM5,300 kepada individu yang mendakwa sebagai keturunan Kesultanan Sulu perlu dihentikan kerana mereka telah melanggar syarat.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, pembayaran tersebut diberikan sebagai memegang perjanjian yang telah di persetujui antara kedua-dua pihak.

"Syaratnya ialah tidak kacau kita, tetapi sekarang mereka kacau. Mereka bertindak ganas, tak cukup bunuh orang, dia cincang dan pecahkan kepala. Apa jenis manusia ini yang kata Islam.

"Sekarang kita bayar harga lama dan tak boleh minta harga baru, lagipun bukan dia yang memajukan Sabah," katanya dalam sidang akhbar selepas Bicara Tani Dalam Konvensyen Usahawan Tani 1Malaysia 2013, di sini hari ini.

Konvensyen itu turut dihadiri isteri beliau, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali serta Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar.

Semalam, Pengerusi DAP, Karpal Singh berkata, kerajaan harus segera menghentikan bayaran itu kerana keturunan kesultanan Sulu tidak mempunyai locus standi bagi menerima bayaran berkenaan.