Ahad, 20 November 2016
Jika Tiada Kuning Maka Tiadalah Merah
Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa menegaskan bahawa parti itu sama sekali menolak aktiviti yang bertentangan dengan undang-undang, apatah lagi apabila dikaitkan dengan kumpulan Baju Merah.
“Saya tidak nafikan orang UMNO dan ada pemimpin UMNO termasuk Jamal (Datuk Seri Jamal Md Yunos- penggerak Baju Merah) ingin melaksanakannya tetapi tidak secara rasmi datang daripada parti (UMNO),”jelasnya.
Kenyataan itu merujuk kepada satu teks mesej yang viral di laman sosial dengan memaparkan senarai ahli UMNO yang dihantar bagi menyertai perhimpunan Baju Merah pada siang tadi di ibu negara.
Namun kata Tan Sri Annuar, pembentukan kumpulan Baju Merah itu tidak akan wujud sekiranya tidak diadakan demonstrasi Bersih 5.0 yang turut sama diadakan di lokasi dan tarikh yang sama.
“Bersih bukan NGO, ia dianjurkan oleh DAP dan parti-parti pembangkang jadi kenapa nak jadi isu kalau ada orang UMNO menyertainya (Perhimpunan Merah)? Ini tidak relevan.
“Setiap tindakan (Bersih) ada reaksi balas (Baju Merah). Kalau tidak ada Bersih tiada Baju Merah kalau tidak ada Maria Chin tidak ada Jamal.
“Jangan andaikan dalam negara ini sesetengah orang buat apa sahaja dan orang UMNO duduk diam, Orang UMNO ada perasaan dan ada keberaniannya,”katanya lagi.
Walau bagaimana pun, Tan Sri Annuar mengingat kan ahli UMNO supaya tidak melanggar undang-undang namun sekiranya itu berlaku mereka juga tidak terlepas daripada dikenakan tindakan.
Beliau ditemui pemberita selepas berucap di siri Jelajah Penerangan Pimpinan Bersama Akar Umbi Negeri Perak di Dewan RTC Gopeng pada Sabtu petang.
Dalam berdepan cabaran seperti ini, Tan Sri Annuar berkata ia sebenarnya menjadikan UMNO lebih kuat dan bersiap siaga .
"UMNO bukan terdiri daripada kelompok golongan elit, tetapi rakyat yang kukuh, dan lipatan sejarah seawal Dato Onn Jaafar membuktikan kita boleh mengatasi perkara ini, lihat pada kapalnya, bukan pada nakhodanya,"ulasnya pada sesi sidang media.