1. Kemenangan besar Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Datu menggambarkan kuasa politik kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tetap kukuh.
2. Bloomberg melaporkan, senario itu juga membayangkan pakatan pembangkang bakal berdepan cabaran yang getir untuk menewaskan BN pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
3. Kemenangan itu merupakan khabar gembira untuk Najib ketika beliau sedang mempertimbangkan tarikh sesuai untuk mengadakan PRU-14, lapor Bloomberg menerusi portalnya, www.bloomberg.com.
4. Menurut Bloomberg, pakatan pembangkang mula berpecah sejak Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipenjarakan atas kesalahan meliwat dan sehingga kini, mereka masih gagal mencapai permuafakatan.
5. Kemenangan besar BN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak tahun lalu turut memperlihatkan kegagalan pakatan pembangkang mempengaruhi rakyat negeri itu dengan isu 1Malaysia Development Bhd. (1MDB).
6. Menurut Bloomberg lagi, walaupun ketika itu mereka bersatu untuk menumbangkan BN, DAP dan PKR bertindak kurang bijak dengan bertanding sesama sendiri di beberapa kerusi justeru menyumbang kepada kekalahan mereka.
7. Sebaliknya, BN menjanjikan agenda yang lebih jelas kepada pengundi termasuk menyalurkan bantuan kepada golongan miskin dan merangka pelbagai projek pembangunan, termasuk pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo dengan kos sebanyak RM28.9 bilion.
8. Komitmen bekas Ketua Menteri Sarawak, Allahyarham Tan Sri Adenan Satem memperjuangkan isu-isu yang dekat dengan hati pengundi Sarawak, termasuk autonomi yang lebih besar bagi negeri itu telah melonjakkan sokongan terhadap BN.
9. Bloomberg turut melaporkan pandangan penganalisis dari Merdeka Center, Ibrahim Suffian bahawa ketiadaan ketua pembangkang yang berwibawa merupakan salah satu faktor yang menguatkan sokongan terhadap BN.