Sabtu, 22 April 2017

SPRM Perlu Gandakan Keselamatan Adam Rosly, Elak Kejadian Teo Beng Hock Berulang



Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP) berharap Ketua Angkatan Muda PKR Ampang, Datuk Adam Rosly diberikan keselamatan yang cukup oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk beliau sepanjang siasatan berlangsung.

Presidennya, Ramesh Rao dalam satu kenyataan hari ini berkata ia bagi mengelakkan kes seperti yang berlaku ke atas mendiang Teo Beng Hock berulang sekali lagi.

Beng Hock ialah Pegawai Khas kepada Exco Kerajaan Negeri Selangor, Ean Yong Hian Wan dan merupakan saksi dalam siasatan SPRM berhubung penyalahgunaan peruntukan negeri Selangor.

Pada 16 Julai 2009, dia ditemui mati di bahagian koridor tingkat lima bangunan Plaza Masalam di Shah Alam, Selangor akibat jatuh dari tingkat 14 bangunan berkenaan. 

Ramesh berkata dalam siasatan itu, difahamkan Adam bakal mendedahkan banyak maklumat berkaitan rasuah dalam PKR di negeri Selangor dan ia adalah penting untuk keselamatan Adam sentiasa diberikan perhatian serius.

"Adam Rosly bakal bocorkan banyak rahsia rasuah PKR Selangor, justeru SPRM perlu gandakan keselamatan untuk beliau.

"Kita tidak mahu peristiwa Teo Beng Hock berulang lagi," katanya dalam kenyataan berkenaan.

Ramesh berkata ketika ini, beberapa pemimpin dalam Pakatan Harapan (PH) nampak berdiam diri dan enggan mengulas panjang lebar berkenaan kes Adam kerana bimbang penglibatan mereka dalam rasuah juga mungkin terbongkar.

Beliau hairan mengapa apabila melibatkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, biarpun belum dapat dibuktikan di mahkamah tetapi pembangkang mengulas panjang lebar membuat cerita palsu berkenaan sesuatu isu menuduh Najib. 

"Kita sudah ada Lim Guan Eng, Rafizi dan kini Adam terbukti ada kes dalam rasuah dan kes mereka besar-besar kenapa pemimpin pembangkang diam, ulas lah panjang lebar dan kritik kepimpinan mereka ini dalam parti.

"Kenapa hanya membuat cerita fitnah dan jahat ke atas Perdana Menteri sahaja walaupun tiada bukti, berceramah di sana sini berkenaan Najib dengan berniat jahat," katanya.

Ramesh berkata ia adalah kerana masing-masing mahu menjaga pengaruh masing-masing dalam politik supaya agenda politik di negara ini tercapai untuk berkuasa biar dengan apa cara sekalipun termasuk menggunakan cara yang salah.

4.38 petang
21 April 2017