Kenyataan Penasihat DAP, Lim Kit Siang, semalam kononnya Pakatan Harapan, walaupun tanpa bantuan PAS, akan menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 dengan memperolehi 113 kerusi Parlimen di Semenanjung Malaysia.
Pakatan Harapan jugs akan turut mengalahkan Barisan Nasional di Pulau Pinang (37-3), Selangor (50-6), Perak (39-20), Johor (36-20) dan Negeri Sembilan (19-17).
Dap mendakwa PAS akan gagal mendapat walau satu kerusi pun di semua lima negeri.
Ia adalah diasaskan di atas dakwaan kononnya 5% pengundi bukan Melayu, selain 10% pengundi Melayu, menukar sokongan dari Barisan Nasional ke Pakatan Harapan.
Sangat pelik bagaimana Lim Kit Siang boleh membuat projeksi sangat positif mengenai kemampuan Pakatan Harapan meningkatkan sokongan pengundi bukan Melayu.
Sedangkan beliau sendiri, pada 11 Ogos lalu, mengakui bahawa sokongan pengundi bukan Melayu terhadap Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar pada 18 Jun 2016 menurun sebanyak kira-kira 10%.
Tidak dapat difikirkan oleh akal yang waras apakah faktor-faktor kukuh yang boleh melonjakkan kembali sokongan pengundi bukan Melayu terhadap Pakatan Harapan ini, apatah lagi bila bermacam masalah menimpa DAP, termasuk tuduhan rasuah ke atas pemimpinnya, sejak berlalunya Pilihan Raya Kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar.
Lebih kelakar lagi ialah kenyataan Lim Kit Siang mengenai peningkatan sokongan pengundi bukan Melayu terhadap Pakatan Harapan ini jelas bercanggah dengan kenyataan Strategis DAP yang juga Pengarah Pendidikan Politik Kebangsaan DAP, Liew Chin Tong, di dalam laporan akhbar The Edge Malaysia keluaran 19-25 Jun 2017 bertajuk "Run-Up to GE 14" ("Menjelang PRU 14) yang menyebut bahawa tahap sokongan pengundi bukan Melayu, khususnya pengundi Cina, terhadap Pakatan Harapan sekarang menurun pada tahap 65% berbanding 85% di dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 kerana faktor "kepenatan" ("fatigue").
Bahawa Lim Kit Siang boleh membuat kenyataan yang jelas bercanggah dengan kenyataan Liew Chin Tong adalah bukti nyata betapa berkecamuk dan huru haranya DAP sekarang.
Dr Kamarul Zaman Yusoff
16 Ogos 2017