Rabu, 16 Ogos 2017

TANAH USAHA ADALAH HARAM

Published on Aug 16, 2017

16/08/2017 -- Hati-Hati Kenyataaan ‘Tanah Yang Diusahakan’:- DSD Dr Zambry Abd Kadir

Kenyataan berbunyi ‘tanah yang diusahakan’ adalah antara pendorong kepada tarikan orang ramai untuk membeli tanah-tanah yang dijual oleh pihak yang tidak bertanggungjawab iaitu peneroka haram.

Oleh itu, Menteri Besar, Datuk Seri Diraja Dr Zambry Abd Kadir mengingatkan kepada rakyat supaya membuat semakan terlebih dahulu dengan pihak yang berkaitan terutama Pejabat Tanah dan Galian (PTG) untuk sesuatu urusan jual beli tanah.

“Kita nak nasihatkan kepada pembeli supaya berhati-hati, jangan mudah terpedaya. Bagaimana (Kerajaan) nak luluskan (permohonan status) sebab tanah itu diteroka tanpa tidak sah.

“(Pembeli) Jangan terpedaya dengan jaminan kata ‘Kerajaan Negeri akan luluskan’. Saya simpati kepada mereka yang telah membeli tanah ini,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat exco di Ipoh, pada Rabu.

Dalam hal ini, kegiatan menjual tanah yang diteroka secara haram dikenal pasti berlaku apabila pembeli ingin membuat permohonan bagi status tanah tersebut.

Keadaan ini menimbulkan salah faham dan seterusnya mencemarkan imej buruk kepada pihak Kerajaan.

“Saya nak pesan supaya jangan tertipu, (pembeli) dapatkan maklum balas terlebih dahulu sebelum beli tanah.

“Saya kesian kepada mereka yang beli tanah itu, ada yang gembira sebab mereka beli tanah itu dengan dengan harga murah. Ada kes yang bayar RM500 sahaja untuk dapatkan tanah berkeluasan 2 ekar,” ulas Datuk Seri Diraja Dr Zambry.

Bagi menangani kegiatan ini, beliau meminta PTG dan pejabat daerah untuk membuat semakan terhadap semua kawasan yang terlibat dengan penerokaan haram serta juga kawasan-kawasan permohonan yang dibuat oleh pembeli yang menjadi mangsa penipuan.