Rumusan Berita Selasa 29 Ogos 2017
NASIONAL
- KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini, menyenaraikan 44 lagi syarikat dan laman web ke dalam senarai Amaran Pengguna Kewangan. Senarai Amaran Pengguna Kewangan itu merujuk kepada syarikat dan laman web yang tidak dibenar atau dilulus mengikut undang-undang serta peraturan berkaitan yang ditadbir BNM.
- KUALA LUMPUR: Projek Sungai Nadi Kehidupan (RoL) dan Kolam Biru, bakal mengangkat status ibu negara setaraf dengan bandar raya terkemuka lain di dunia, kata Datuk Seri Najib Razak. Perdana Menteri berkata, projek yang tersenarai dalam Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) di Sungai Klang itu, dikenal pasti mampu memberi impak besar kepada daya maju dan tarikan kepada bandar Kuala Lumpur.
- KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak malam ini mengucapkan tahniah kepada atlet negara selepas Malaysia berjaya mendapat pingat emas ke-111, sekali gus menepati sasaran Sukan SEA 2017. Perdana Menteri berkata, pencapaian itu sekali gus mengesahkan Malaysia sebagai juara keseluruhan sukan Asia Tenggara tahun ini.
- SEPANG: Malaysia berharap pelaksanaan projek rintis proses imbasan awal bagi jemaah haji Malaysia di Lapangan Terbang Antara bangsa Kuala Lumpur (KLIA) turut membabitkan jemaah umrah pada masa depan.Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata program rintis itu memudahkan jemaah haji dari negara ini kerana diberikan laluan khas sebaik tiba di Lapangan Terbang Antara bangsa King Abdulaziz, Jeddah, Arab Saudi berikutan pemeriksaan dokumen perjalanan sudah dibuat awal di KLIA.
- IPOH: Kementerian Kesihatan akan melaksanakan projek perintis memasukkan sistem rekod imunisasi bayi dan kanak-kanak melalui MyKad bagi menukar sistem lama yang menyimpan rekod kesihatan bayi menggunakan buku. Timbalan Menterinya, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya, berkata sistem baharu itu akan dimulakan di Putrajaya dalam masa terdekat pada tahun ini.
- PUTRAJAYA: Keputusan tindakan undang-undang ke atas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, akan ditentukan dalam mesyuarat kepimpinan tertinggi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 4 September ini. Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad, berkata tempoh 48 jam yang diberi pada 25 Ogos lalu meminta Guan Eng memohon maaf kerana menyifatkan penahanan Exco kerajaan negeri, Phee Boon Poh, sebagai 'penahanan haram' sudah pun tamat tanpa sebarang maklum balas.
- KUALA LUMPUR: Perkhidmatan komuter Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) yang terganggu sejak Isnin lalu kembali beroperasi seperti biasa pagi tadi. KTMB dalam satu kenyataan, berkata perkhidmatan komuter terganggu pada 21 Ogos lalu hingga semalam berikutan insiden gerabak kargo yang tergelincir antara stesen KL Sentral dan Kepong.
- KUALA LUMPUR: Mengekalkan keamanan di rantau ini adalah antara lima cabaran utama perlu dihadapi ASEAN dalam tempoh 50 tahun akan datang, titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah. Titah baginda, selepas lima dekad, adalah mudah untuk melupakan apa yang menyatukan ASEAN dan ia bukan disebabkan oleh ekonomi dan sosial walaupun kedua-duanya juga penting, tetapi adalah keamanan dan kestabilan.
- PUTRAJAYA: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) menerima pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai pemilik koleksi terbanyak genetik hidupan liar. Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata melalui Perbankan Sumber Genetik Hidupan Liar (WGRB) di bawah Jabatan PERHILITAN, pihaknya akan mengenal pasti pelbagai jenis hidupan liar bagi membantu pengurusan sampel berkenaan.
- MAKKAH: Tren Al Mashaaer Al Mugaddassah Metro - Southern Line (MMMSL) berada pada tahap kesiapsiagaan tertinggi bagi memulakan operasinya, esok khusus bagi membantu pergerakan jemaah haji menjelang kemuncak Hari Wukuf, 31 Ogos ini. Keseluruhannya, lima formasi pergerakan disusun oleh Prasarana Integrated Management & Engineering Services (PRIME) selaku operator tren haji berkenaan, khusus bagi membantu memastikan 350,000 jemaah haji, khususnya dari negara teluk (GCC) dan Asia Selatan melaksanakan rukun itu.
POLITIK
- TEMERLOH: Komponen Barisan Nasional (BN), MIC, mahu kerusi Parlimen Cameron Highlands kekal ditandingi parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14). Presidennya, Datuk Seri Dr Subramaniam, mendakwa Parlimen Cameron Highlands adalah kerusi tradisi MIC sejak dahulu dan bercadang meneruskannya, selain turut berhasrat bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabai dalam Parlimen Bentong.
- SERI KEMBANGAN: Ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) masih meletakkan kepercayaan mereka terhadap pemimpin parti untuk membuat keputusan, kata Timbalan Presidennya, Datuk Seri Azmin Ali. Katanya, Rafizi menyuarakan sentimennya sendiri dengan mengatakan tindakan beliau mahu berunding dengan PAS mengenai pembahagian kerusi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) mengakibatkan perpecahan dalam PKR.
- KUALA LUMPUR : Ahli akar umbi Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini tampil meminta kepemimpinan parti itu mengadakan kongres khas bagi membuat keputusan menghentikan sepenuhnya kerjasama dengan PAS atau sebaliknya. Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Harapan Pakatan yang juga Ketua Cabang PKR Rembau, Yusuf Tapa, berkata mereka berhak untuk meminta kepemimpinan parti memanggil kongres terbabit.
- KOTA BHARU: Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kelantan, Dr Mohd Hafidz Rizal Amran, dipecat daripada jawatan berkenaan berkuatkuasa hari ini. Dr Mohd Hafidz berkata, pemecatannya itu hanya diketahui menerusi aplikasi WhatsApp yang dihantar oleh Ketua AMK Pusat, Nik Nazmi Nik Ahmad, pada jam 9 pagi ini.
EKONOMI
- KUALA LUMPUR: Eco World Development Group Bhd (EcoWorld) akan melancarkan tiga lagi projek baharu di Ijok, Pulau Pinang dan Semenyih pada suku keempatnya sebagai pecutan akhir mencapai sasaran jualan RM4 bilion tahun ini. Presiden dan Ketua Eksekutifnya, Datuk Chang Khim Wah, berkata beliau yakin sasaran jualan itu dapat dicapai walaupun prestasi jualan bagi tujuh bulan pertama sehingga 31 Mei lalu adalah sebanyak RM1.705 bilion.
- KUALA LUMPUR: Laporan tahunan 2016 syarikat AirAsia X Bhd berjaya merangkul dua hadiah utama atau emas Anugerah Laporan Tahunan Antarabangsa (ARC) ke-31. Dalam satu kenyataan hari ini, syarikat penerbangan tambang rendah jarak jauh itu meraih anugerah emas bagi dua kategori - Laporan Tahunan Bukan Tradisional Terbaik (Penerbangan) serta Produksi dan Penerbitan (Penerbangan).
- KUALA LUMPUR: Syarikat pegangan pelaburan Dagang NeXchange Bhd (DNeX) menandatangani memorandum persefahaman dengan Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) bagi membantu syarikat di bawah dewan berkenaan mempromosikan perkhidmatan dan produk halal melalui platform dagangannya, GoHalal. DNeX berkata, melalui GoHalal, yang adalah pasaran elektronik industri halal, syarikat dan peniaga akan mempunyai akses kepada pasaran global bercirikan gaya hidup Muslim yang bernilai AS$2.5 trilion dan sekarang ini, dewan itu mempunyai lebih daripada 2,000 anggota.
AGAMA
- Seperti kata muqarabin bernama Safian as-Sauri, "Jika ditanyakan kepada ahli kubur mengenai mereka, jawab ahli kubur: Kami ini mati pada hari yang kami rasa esok masih ada."
LUAR NEGARA
- BEIJING: Dua maut, manakala 25 lagi dilaporkan hilang dalam insiden tanah runtuh yang meranapkan kira-kira 34 buah rumah di barat daya China, hari ini. Pihak berkuasa bandar memberitahu agensi akhbar rasmi Xinhua, petugas penyelamat menarik enam mangsa keluar dari runtuhan, termasuk dua yang maut di Bijie yang terletak dalam wilayah Guizhou.
- JEDDAH: Kira-kira dua juta jemaah dari seluruh dunia berada di Tanah Suci Makkah untuk mengerjakan ibadat haji tahun ini. Tahun ini juga menyaksikan penyertaan semula jemaah Iran selepas redanya krisis politik antara negara itu dan Arab Saudi serta ancaman kumpulan militan Daesh di Iraq dan Syria.
- HOUSTON: Taufan Harvey mencetuskan banjir meluas di Houston, semalam sehingga menyebabkan banyak kediaman dan lebuh raya ditenggelami air, ketika penduduk mencari perlindungan dengan ramalan hujan luar jangkaan untuk tempoh beberapa hari lagi. Harvey membadai lewat Jumaat lalu sebagai taufan paling kuat melanda Texas dalam tempoh 50 tahun dan sudah meragut dua korban, setakat ini.
SUKAN
- NILAI: Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar membuat kesimpulan kontinjen Malaysia sudah muncul juara keseluruhan pada edisi ke-29 Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur. Malaysia mencapai sasaran 111 pingat emas malam tadi apabila juara keirin dunia Azizulhasni Awang meraih emas acara pecut berbasikal trek di Velodrom Nasional Malaysia.
- KUALA LUMPUR: "Ini hadiah yang paling tidak dapat saya lupakan dari Allah." Demikian ungkapan pertama penerjun negara Ahmad Amsyar Azman yang memenangi pingat emas acara 1 meter papan anjal individu lelaki pada ulang tahun kelahiran ke-25, hari ini.
- KUALA LUMPUR: Skuad hoki padang wanita terpaksa menunggu sehingga minit ke-46 sebelum memecah tembok pertahanan Thailand dalam laluan mereka memenangi pingat emas Sukan SEA 2017 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi. Ia adalah emas ketujuh dalam temasya dwitahunan itu.
- GLASGOW: Pemain Denmark, Viktor Axelsen memenuhi impiannya apabila menumbangkan pemain legenda, Lin Dan dalam dua set untuk merangkul kejuaraan perseorangan lelaki di Kejohanan Badminton Dunia di Glasgow. Pada usia 33 tahun, Lin Dan memburu gelaran keenamnya tetapi hajatnya disekat dalam kekalahan 22-20, 21-16 di tangan Axelsen yang 10 tahun lebih muda.
- MADRID: Real Madrid di selamatkan oleh jaringan lewat permainan Marco Asensio untuk mengelak kekalahan mengejut di tangan Valencia dan sekadar seri 2-2 di Santiago Bernabeu. Asensio terlebih dulu membuka jaringan untuk tuan rumah hanya 10 minit selepas sepak mula, tetapi Carlos Soler menyamakan kedudukan hanya beberapa minit kemudian.