Selasa, 29 Ogos 2017

PEMBANGKANG DI JOHOR SEDANG MEMBERONTAK


Baru-baru ini Pakatan Harapan telah mengumumkan secara rasmi jawatankuasa Pakatan Harapan di Johor. Melihat kepada struktur ini, maka inilah muka-muka pemimpin yang hampir pasti bertanding di Johor pada PRU14 yang akan datang. 

Pelbagai perkara dilihat daripada pelbagai perspektif apabila jawatankuasa ini diumumkan. Sudah tentu bagi Pakatan Harapan mereka merasakan inilah barisan yang terkuat dalam cubaan menawan negeri Johor.

Agak memeranjatkan apabila Tan Sr Muhyiddin diumumkan sebagai Pengerusi Harapan di Johor. Ini perkara menarik untuk dibincangkan. TSMY kini merupakan Presiden PPBM. Sebuah parti yang paling cetek pengalaman dan tiada tenaga sebagai sebuah parti pembangkang berbanding parti-parti lain. 

Parti seperti PKR, DAP dan PAN antara parti yang paling lama dalam perjuangan pembangkang. Malah parti seperti PKR juga lahir hasil daripada perjuangan reformasi yang menentang rejim Tun Mahathir suatu ketika dahulu. 

Di Johor sahaja, parti seperti PKR, DAP dan PAN sudah lama menjalankan gerak kerja mereka di Johor. Senang kata, siang dan malam mereka bekerja sepenuh hati sebagai totok pembangkang. Nampak janggal apabila TSMY mewakili PPBM yang hanya mempunyai satu sahaja wakil di DUN Negeri Johor dipilih sebagai pemimpin de facto untuk menawan Johor. 

Sedangkang, parti pembangkang yang lain mempunyai kerusi yang lebih banyak dan lebih berpegalaman. Contohnya DAP mempunyai 13 wakil rakyat manakala PKR dan PAN masing-masing mempunyai 1 wakil rakyat.

Pengumuman TSMY sebagai Pengerusi Harapan Johor benar-benar menjatuhkan air muka pemimpin seperti Aminolhuda, Hassan Karim, Salahuddin Ayub yang jauh lebih layak memimpin pembangkang di Johor. Ia jelas menggambarkan bahawa pembangkang di Johor sebenarnya tidak mempunyai calon pemimpin yang boleh ditonjolkan kepada rakyat. Mereka akhirnya terpaksa menagih kudrat TSMY semata-mata mahu mendapatkan sokongan di Johor.

Oleh sebab itu, apabila TSMY diumumkan sebagai Pengerusi Harapan di Johor rata-rata pelantikkan ini seperti tidak disambut oleh sebahagian besar pemimpin pembangkang di Johor. Semak dan lihatlah di mana portal berita, tiada satu pun pemimpin menyambut penuh gembira pelantikan TSMY. Kecuali hanya satu parti yang bersorak gembira, parti DAP. 

DAP melihat kemasukkan TSMY ke dalam pembangkang sebagai satu bonus pada mereka. DAP seakan-akan sudah meraikannya awal. Pada 15 Ogos, Ahli Parlimen kontroversi Kluang melalui Roketkini mengumumkan TSMY sebagai Pengerusi Harapan Johor sedangkan struktur ini hanya diumumkan secara rasmi pada 23 Ogos yang lalu. Ia merupakan satu perancangan tersusun Dap tanpa persetujuan pemimpin pembangkang di Johor. 

Melihat TSMY dan PPBM yang membawa imej parti Melayu menjadikan tugas DAP semakin mudah untuk memanipulasi pengundi Melayu di Johor. Strategi ini jelas menunjukkan DAP tidak merasakan rakan pemimpin yang lain tidak mampu membawa impak kepada Pakatan Harapan di Johor.

Perlu diingat, pelantikan TSMY sebagai pemimpin pembangkang utama di Johor merupakan satu kesilapan yang cukup besar. Beliau bukan  individu yang mampu membawa tsunami politik di Johor. Bukan juga pemimpin yang mampu untuk menembus tembok permuafakatan yang utuh di Johor.

TSMY kembali ke semula ke Johor dengan imej dan kredibiliti yang cukup buruk sewaktu menjadi Menteri Besar Johor dahulu. Ditambah, Sultan Johor juga secara terang murka ketika beliau memimpin Johor. Beginikah kualiti dan sosok seorang pemimpin yang boleh diharapkan untuk memimpin Johor?

Sudah tentu kehadiran TSMY ke Johor menggambarkan bahawa wakil rakyat dan pemimpin pembangkang di Johor benar-benar rasa tidak dihargai di Johor. Paling tercabar dengan lantikan TSMY ini sudah tentu Salahuddin Ayub. Sejak beberapa bulan ini, beliau dilihat kerap muncul di Johor dan cuba menjadi juara dalam pelbagai isu yang cuba pembangkang mainkan di Johor. 

Hinggakan pada satu ketika, Salahuddin sendiri tanpa segan silu mencadangkan diri beliau sendiri untuk jawatan Menteri Besar Johor. Sudahnya, Salahuddin Ayub bukan sahaja tidak dilantik sebagai Pengerusi Harapan Johor malah hanya dilantik sebagai sebagai Pengarah Pilihan Raya Harapan Johor.

Salahuddin Ayub juga seharusnya sedar. Beliau seolah-olah sedang dimalukan di Johor. Bukan oleh parti lawan, tetapi oleh parti-parti dalam Pakatan Harapan sendiri. Sebagai Timbalan Presiden PAN Pusat, maruahnya sedang dirobek. Malah Aminolhuda Hassan yang juga seteru Salahuddin Ayub mendapat jawatan yang lebih tinggi sebagai Timbalan Pengerusi Harapan Johor.

Akhirnya jelas. Lantikkan TSMY sebenanrya membawa badai kepada pembangkang di Johor. Beliau dan DAP sebenanrnya sedang memalukan pimpinan pembangkang di Johor ayas segala usaha dan keringat mereka.

Jangan pernah lupa, Pengerusi Harapan Johor ini ialah totok UMNO. Ditoreh tangannya TSMY, nescaya darah UMNO yang keluar. Bukan rakyat yang cakap. TSMY yang cakap.

Fikri Allaudin
Aktivis Persatuan Pemikir Muda Johor