Isnin, 11 September 2017

KDNK MALAYSIA – SELANGOR MEMANG PENYUMBANG TERTINGGI



Seronok tengok Azmin Ali, MB kesayangan kita semua yang teruja dengan laporan Jabatan Perangkaan Malaysia yang meletakkan Selangor sebagai penyumbang utama Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi tahun 2016. Menurut Azmin, laporan ini menjadi bukti keberkesanan tadbir urus kerajaannya yang baik dan bebas ketirisan.

Dalam keseronokannya itu, Azmin mungkin terlupa bahawa Selangor sememangnya telah menjadi penyumbang utama KDNK negara sejak sekian lama, malah lebih lama daripada usia kerajaan negeri PKR Selangor sendiri. Mungkin Azmin dan pasukannya boleh rujuk laporan-laporan sepuluh atau dua puluh ke belakang.

Justeru, jika kita menggunakan hujahnya itu, maka bolehlah disimpulkan bahawa tadbir urus yang baik dan bebas ketirisan juga telah lama diamalkan oleh kerajaan negeri sebelum ini seperti yang dibuktikan melalui laporan KDNK negara saban tahun.

Untuk makluman, Malaysia mengukur KDNK melalui tiga kaedah iaitu perbelanjaan, jenis aktiviti ekonomi dan pendapatan. Kaedah perbelanjaan dihitung  dengan menambah jumlah penggunaan, pelaburan, perbelanjaan kerajaan dan eksport bersih.

Eksport bersih pula ialah ukuran pengeluaran barangan dan perkhidmatan yang dipasang dan dikeluarkan di Malaysia dan dijual di luar negara dan ditolak import.

Penggunaan ialah apa yang dibelanjakan oleh orang ramai ke atas barangan seperti makanan, petrol untuk kereta dan pakaian, serta perkhidmatan seperti dandanan rambut, rawatan doktor, menghantar WhatsApp menggunakan telefon pintar dan menonton wayang di pawagam.

Mengecilkan skop perbincangan dengan melihat Selangor sahaja, sudah jelas fakta bahawa Selangor sebagai sebuah negeri industri yang dibina dan dijayakan oleh kerajaan terdahulu menjadi penyumbang utama kepada eksport bersih negara hasil kerancakan sektor perkilangan yang turut dibantu oleh kemudahan Pelabuhan Klang yang diiktiraf sebagai antara pelabuhan paling sibuk di dunia.

Selangor juga memiliki lapangan terbang bertaraf dunia yang turut menjadi pintu masuk dan keluar kepada aktiviti import eksport negara selain menjadi laluan utama untuk para pelabur memulakan aktiviti perniagaan mereka di sini. Adakah semua ini dibina oleh Azmin Ali atau kerajaan PKR Selangor yang baru sahaja mengambil alih pentadbiran negeri ini?

Semua kemudahan ini malangnya tidak dimiliki oleh negeri lain. Bayangkan jika Kelantan atau Perlis mempunyai kemudahan-kemudahan yang setara. Adakah kedua-dua negeri ini akan terus ditinggalkan oleh Selangor secara ekonomi?

Pendek kata,  Azmin ini ibarat penyewa yang menyewa sebuah banglo mewah dengan segala jenis kelengkapan perabot sudah tersedia dengan baik. Apa yang perlu dilakukan oleh Azmin hanyalah memastikan poketnya cukup wang untuk menguruskan banglo tersebut dan segala isinya.

Kita sama sekali tidak menafikan bahawa tadbir urus yang baik adalah sangat penting bagi mana-mana kerajaan negeri atau pusat untuk memajukan ekonomi dan meningkatkan sumber pendapatan tetapi ia bukan kerja yang bersifat serta merta. Sesiapa pun tidak boleh menafikan hakikat bahawa Selangor hari ini maju dan berjaya kerana formula ekonomi dan tadbir urus yang baik yang dipraktikkan oleh kerajaan terdahulu yang telah melaksanakan tanggungjawab dengan baik sehinggakan Azmin Ali tidak perlu lagi berbelanja besar untuk membina kemudahan-kemudahan asas. Sebab itu jugalah pendapatan kerajaannya setiap tahun positif.

Justeru diingatkan sekali lagi kepada Azmin dan para penyokongnya, usahlah mendabik dada terlalu lama dengan rekod dan laporan yang bersifat angka kerana pada bila-bila masa ia boleh berubah dan diatasi.

Rakyat Selangor mahu lihat agenda pembangunan negeri Selangor versi PKR sekurang-kurangnya untuk tempoh 50 tahun akan datang. Malangnya, sehingga kini tiada. Kerajaan negeri hari ini lebih banyak menggula-gulakan rakyat dengan perancangan jangka pendek dan populis semata-mata sedangkan rasuah dan ketirisan tetap berlaku walaupun sering dicanangkan sebaliknya.

Malah sudah ada cakap-cakap yang mengatakan tadbir urus ketika era Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar jauh lebih baik berbanding Azmin Ali sekarang. Jika hal ini berterusan, kami percaya lambat laun Selangor pasti akan diatasi oleh negeri lain khususnya Johor yang sedang pesat merintis masa depannya sendiri tanpa bergantung kepada bantuan kerajaan pusat semata-mata. 

-_*D.E Leaks_*

Berita lanjut di :


#deleaks
#infoSelangor
#teamviralSelangot

๐Ÿ“ฑ *Facebook Darul Ehsan Leaks*

๐Ÿ“ฑ *Twitter Darul Ehsan Leaks*

๐Ÿ“ฑ *Instagram* 

๐ŸŒ *Laman Web Darul Ehsan Leaks*

๐Ÿ“Œ *Kepada yang ingin mendapatkan info Selangor, sila hantar nama anda ke nombor +60145154521 melalui aplikasi WhatsApp dan simpan (save) nombor tersebut di telefon pintar anda*