Sistem Pengajian Pondok bukanlah perkara baru di negara ini dan negara jiran seperti Indonesia, Thailand dan lain-lain. Sistem pengajian pondok telah wujud sebelum perjanjian Inggeris Belanda lagi iaitu 1824.
Pondok bermaksud rumah tumpangan manakala di Indonesia dikenali dengan nama pesantren. Kamus dewan menyebut madrasah dan asrama tempat pengajian ilmu agama.
Sistem ini bermula apabila ada tokoh agama ingin mengembangkan ilmu nya lalu menjemput sesiapa sahaja yang ingin menuntut ilmu ke rumahnya secara percuma, lama kelamaan penuntut mula membina pondok pondok penginapan kecil di sekeliling rumah tok guru. Pondok dibina sendiri oleh penuntut dengan kos yang sangat kecil.
Tidak dapat dinafikan bahawa pengajian pondok berjaya melahirkan ramai pemimpin kecil dan besar yang bergelar tok guru, tok imam, ustaz, pensyarah, mufti dan ramai juga yang bergelar doktor falsafah dan doktor perubatan.
Dari pondok juga lahir lah tokoh tokoh agama dan pemimpin politik yang tersohor, tak kurang juga melahirkan rebelion yang boleh mengancam keselamatan negara dengan perjuangan jihad mereka menegaskan perjuangan sesuatu pemikiran yang dianuti mereka. Pengajian pondok memfokuskan kepada ilmu agama sahaja dan tidak kepada bidang bidang atau disiplin yang lain.
Pengajian pondok biasa bermula sebelum subuh dan berakhir lewat malam. Dalam pondok juga tidak ada tilam dan bantal, penuntut hanya tidur atas tikar mengkuang dan ada yang berbantalkan kelapa atau kayu beralaskan kain.
Pada awalnya sistem pondok khusus untuk kaum lelaki sahaja dan tempoh pengajian mengambil masa sehingga 10 tahun sebelum penuntut kembali ke tempat asal untuk menjadi ustaz atau menyambung itu hingga ke India, Pakistan dan benua Arab .
Hari ini pengajian pondok sudah mengalami evolusi dan perubahan besar. Pondok yang dahulu dibina jauh di kawasan terpencil terpisah daripada pengaruh luar kini beralih ke kawasan bandar. Jika dahulu pondok dibina dengan buluh, kayu dan atap nipah kini pondok ada bertaraf hotel 3 bintang. Jika dahulu tiada yuran pendaftaran pengajian dan yuran asrama kini ada yang mengenakan caj puluhan ribu ringgit.
Tak cukup dengan itu, sistem pondok dipecahkan kepada pelbagai kategori.
Pondok yang asalnya untuk kaum lelaki kini dibuka kepada semua dan tiada had umur. Pondok hari ini di panggil maahad tahfiz, pusat tahfiz, madrasah dan ada yang tambah jadi pusat tahfiz dan asrama anak yatim.
Kelantan dan Kedah merupakan negeri yang mempunyai banyak sekolah pondok. Sekolah pondok yang kelihatan cantik biasanya mempunyai sistem pentadbiran yang teratur dan mendapat sokongan serta bantuan kewangan daripada pihak kerajaan negeri dengan syarat madrasah atau pondok itu berdaftar secara sah dan mematuhi semua syarat yang ditetapkan.
Namun banyak juga yang bersifat sendirian berhad kerana tidak mahu campur tangan pihak berkuasa, untuk pemantauan dan kawalan. Mereka mahu bebas untuk mengenakan yuran mengikut kehendak mereka, bebas daripada peraturan dan prosedur keselamatan yang ditetapkan oleh PBT.
Sepanjang tahun 2016 hingga Julai tahun ini terdapat 15 kes kebakaran membabitkan sekolah pondok dan asrama, sekolah agama dan pusat tahfiz.
- 22 Sep 1989 Pondok Pak Ya Guar Chempedak Kedah
- 15 Jun 2013 Maahad tahfiz Al Baraqah Tikam Batu Kedah
- 08 Ogos 2015 Maahad tahfiz Tanjung Karang Selangor
- 18 Januari 2016 maahad tahfiz di Dengkil Selangor
- 14 Februari 2016 asrama SMA di Kuala Nerang Kedah.
- 04 Mac 2016 di asrama pusat tahfiz Penampang Sabah
- Dll.
Justeru, satu langkah drastik perlu diambil oleh kerajaan untuk mengawal pusat tahfiz, asrama anak yatim, madrasah dan sebagainya yang tumbuh bagai cendawan.
Bukanlah kerana kes kebakaran yang melibatkan 27 nyawa di Pondok Pak Ya dan Datuk Keramat baru baru ini, tetapi lebih tepat lagi untuk mencegah kewujudan pusat pusat pengajian yang banyak melanggar peraturan dan menggunakan undang-undang sendiri.
Ada juga pusat tahfiz yang menggunakan pelajar nya untuk meminta sedekah di pusat membeli belah, stesen-stesen minyak dan depan pintu bank terutama bank islam.
Ada sebuah masjid di Kamunting setiap hari Jumaat, pemilik pusat tahfiz dan anak yatim meletakkan tong kutipan wang di pintu masjid walaupun perbuatan telah ditegur oleh pihak jawatankuasa masjid. Pernah ada rakan saya menjemput pelajar tersebut untuk buat majlis tahlil dalam majlis kenduri kesyukuran tetapi gagal untuk menyempurnakan majlis. Yang menghairankan tidak pernah pula nampak pengusaha membawa anak didiknya hadir ke masjid untuk solat Jumaat.
Ada sebuah lagi pusat tahfiz di Kedah, pengetua hidup senang lenang joli katak sepanjang masa, pelajar tahfiz jual ubat dari Utara sampai ke Johor.
Seterusnya bab keselamatan dan keselesaan penghuni asrama tidak dititik berat. Ada pusat pengajian yang menyumbat pelajarnya dalam dorm yang kecil, pelajar menggunakan racun nyamuk jenis lingkaran yang dibakar sepanjang malam, pakaian digantung merata rata yang akan menjadi bahan bakar jika berlaku kebakaran kecil.
Pintu dan tingkap dipasang jeriji yang akan menghalang penghuni melarikan diri jika berlaku sebarang situasi kecemasan.
Jika dahulu sekolah dan asrama dibina ditempatkan yang lapang kini ada yang menggunakan lot perumahan untuk jadikan pusat tahfiz.
Suasana yang tidak kondusif menyebabkan tekanan perasaan dan pergaduhan mudah berlaku. Ada yang menyewa rumah teres untuk dijadikan asrama dan kelas.
Sudah tentulah pemilik pusat tahfiz seperti ini tidak berani untuk mendaftarkan institusi mereka kerana mereka tahu apa yang mereka lakukan menyalahi undang undang.
Kebakaran pusat tahfiz di Kuala Lumpur baru baru ini mula membuka mata semua pihak.
Hari raya haji lalu, kita bercakap soal permit dan kebenaran menyembelih, setakat hari ini belum ada nyawa yang melayang akibat makan daging korban yang tidak diperiksa oleh jabatan haiwan. Jika ada kematian barulah semua pihak akan melompat.
Jadi sebelum menjadi barah tahap 4, eloklah pihak kerajaan mula membuat pemeriksaan dan menutup mana mana pusat tahfiz yang hidup secara haram.