Dakwaan Penasihat DAP Perak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sitiawan, Datuk Ngeh Koo Ham, kononnya Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir melakukan salah laku dan perlu meletakkan jawatan adalah berniat jahat.
Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri, Datuk Mohamad Zahir Abdul Khalid, berkata semua perkara dibangkitkan Koo Ham sudah dijawab ketika sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada November lalu dan jelas pembangkang kini ketandusan isu hingga terpaksa mengitar semua isu lama yang sudah dijawab kerajaan.
Katanya, isu berkaitan Perak Corporation Bhd (PCB) yang juga anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP), isu pembelian kereta Audi Q7 untuk kegunaan syarikat yang didakwa untuk kepentingan Menteri Besar dan isu pembayaran bonus kepada Menteri Besar semuanya sudah dijelaskan sebelum ini.
"Saya ingin menarik perhatian tujuan sidang akhbar (pembangkang semalam) tidak lebih daripada satu permainan oleh pakatan pembangkang untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) kali ini.
"Mereka sebenarnya sudah kehabisan idea dan tidak ada isu untuk dibangkitkan, sebaliknya menayangkan semula filem lama bagi menarik perhatian rakyat, yang kini sudah tidak lagi terpedaya dengan taktik serta strategi mereka.
"Mereka terdesak dan terpaksa mengulangi tohmahan serta tuduhan lapuk yang dijawab bersama bukti jelas bahawa mereka bukan saja menipu dan berbohong di pentas ceramah tetapi juga berbohong dan memanupulasi isu di dalam DUN ketika ia bersidang," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Pusat Khidmat DUN Kamunting di sini hari ini.
Koo Ham pada sidang medianya di Ibu Pejabat DAP Perak semalam antara lain membangkitkan isu siasatan ke atas beberapa kakitangan PKNP dan mengesahkan dirinya dan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang turut dipanggil memberi keterangan berhubung apa yang didakwa sebagai kebocoran maklumat kerajaan selepas mereka membangkitkan isu pemberian bonus dan pembelian kereta mewah itu kepada Zambry.
Beliau mendesak Zambry meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar kerana didakwa menganiaya penjawat awam yang mendedahkan skandal dan salah lakunya dengan kebocoran maklumat sulit kerajaan Perak.
Koo Ham turut mendesak polis supaya tidak campur tangan dalam tugas wakil rakyat yang sudah dipilih secara demokrasi, selain tidak menjadi ejen kepada Barisan Nasional (BN) dan Menteri Besar.
Malam tadi, Ketua Polis negeri, Datuk Hasnan Hassan dalam kenyataannya mengesahkan pihaknya memanggil Koo Ham bagi dirakam percakapan bagi melengkapkan siasatan kes membabitkan kebocoran maklumat fail kerajaan negeri yang dikategorikan sulit.
Beliau dilaporkan berkata, polis sedang berusaha melengkapkan siasatan bagi tujuan menyemak sama ada kes berkenaan mempunyai keterangan mencukupi atau tidak untuk disiasat mengikut Akta Hasutan 1948.
Polis turut mengakui siasatan kes itu juga tertumpu kepada isu jenayah yang lain sebagaimana yang dilaporkan PKNP.
Mohamad Zahir berkata, pembangkang mungkin tidak faham apa yang dijelaskan pada sidang DUN kerana hati dan minda hitam mereka ditutup oleh rasa benci yang cuba ditanamkan.
"Pembangkang tiada isu bagi menghadapi pilihan raya yang semakin hampir dan kita cukup faham mereka cukup gentar dan risau dengan kepemimpinan Zambry.
"Ini termasuk program pemukiman yang dilaksanakan kerajaan negeri melalui kaedah turun padang mendengar permasalahan rakyat. Kita tak sempurna tetapi rakyat boleh menilai," katanya.
Beliau berkata, pembangkang melihat Zambry dalam keadaan yang baik dan sebab itulah isu ditimbulkan sekali lagi bagi menghilangkan kepercayaan rakyat terhadap Zambry.
Katanya, sebelum ini isu berkaitan dakwan kerajaan negeri membayar sejumlah wang bagi membeli anugerah dari The Brandlaureate juga sudah dijawab dan pembangkang hingga ke hari ini gagal mengemukakan sebarang bukti.