Selasa, 27 Mac 2018

SKANDAL TANAH DI IJOK SELANGOR








AZMIN CUBA ALIH ISU TANAH IJOK


Kenyataan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang menuduh UMNO cemburu berikutan beliau berjaya menyelesaikan isu tanah di Ijok dalam tempoh dua tahun dianggap tidak relevan dan sengaja untuk mengalihkan perhatian rakyat yang mahu penjelasan lanjut berkenaan skandal itu.
BERITA HARIAN


Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim, berkata tuduhan itu tidak berasas dan dilihat sengaja bermain dengan emosi bagi mengelirukan rakyat.


"Ini bukan mengenai UMNO. Perkara ini membabitkan kerugian besar yang mana rakyat berhak diberi penjelasan lebih lanjut secara terperinci mengenai skandal tanah di Ijok, bukan bermain dengan emosi dalam menjawab persoalan itu.

"Saya pelik mengapa perlu Mohamed Azmin menuduh sedemikian. Saya hanya memperjuangkan masa depan peneroka dan rakyat Parlimen Kuala Selangor yang mengadu masalah mereka kepada saya.

"Kalau Kerajaan Selangor nyatakan tiada isu, mengapa wujud golongan peneroka tampil memohon keadilan. Ini yang menjadi tanda tanya kepada rakyat memandangkan Ijok berada dalam Parlimen Kuala Selangor," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan dimuat naik Mohamed Azmin di akaun laman sosial Facebook miliknya, semalam.

Dalam kenyataan itu, Mohamed Azmin dilapor memuat naik mesej 'Saya beri jaminan, tanggungjawab saya di Ijok adalah menyelamatkan peneroka, bukan syarikat besar'.

Beliau turut menulis 'Selepas 20 tahun membisu sekarang UMNO cemburu sebab dalam masa dua tahun saya telah menyelesaikan masalah peneroka Ijok. Bayangkanlah apa yang kita boleh lakukan untuk peneroka di seluruh Malaysia selepas kita di Putrajaya'.

Terdahulu, Irmohizam turut menegaskan bayaran pampasan Kerajaan Selangor kepada peneroka di Ijok tidak mencerminkan penyelesaian sebenar, malah menimbulkan lagi tanda tanya selepas ke mana lagi baki wang RM758.6 juta.

Beliau berkata, pembayaran itu mungkin boleh meredakan sebahagian kemarahan rakyat, namun sejauh mana ketulusan dalam penyelesaian isu berkenaan.

"Apa yang menjadi tanda tanya, mana perginya baki wang RM758.6 juta selepas Mohamed Azmin mengumumkan pembayaran pampasan kepada semua 980 peneroka.

"Mereka dibayar pampasan tunai RM180,000 dan sebuah rumah bernilai RM250,000 setiap seorang.

"Apakah status 404 hektar tanah berbaki yang sepatutnya dimiliki pihak peneroka," katanya.

Beliau berkata, Mohamed Azmin masih tidak mahu mengakui kegagalannya menguruskan isu tanah di Ijok.

"Tindakan tergesa-gesa yang dianggap selesai oleh Mohamed Azmin dengan menyerahkan kembali (tanah itu) kepada dua syarikat sehingga menimbulkan kontroversi itu perlu diperjelaskan kepada rakyat.

"Kita tidak pernah membela mana-mata pihak tetapi kita harus menuntut penjelasan sewajarnya daripada pihak Kerajaan Selangor terhadap apa yang sudah dibangkitkan," katanya.

Pada 15 Februari lalu, bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, menuntut pihak berkuasa menyiasat dalang yang memulangkan tanah dirampas Kerajaan Selangor daripada pemaju perumahan di Ijok pada 2009, yang kemudian dijual kepada pihak lain.

Abdul Khalid mempersoalkan kenapa tanah seluas 880 hektar itu yang dirampas secara sah ketika beliau menjadi Menteri Besar, dipulangkan kepada syarikat sama selepas itu sebelum kawasan terbabit dijual kepada syarikat awam lain.