Saturday, 2 February 2019
Perlantikan Azmin Ali sebagai Pengerusi Majlis Tindakan Negeri Kelantan tidak dinafikan telah mencetuskan satu lagi tanggapan wujudnya cubaan Tun Mahathir Mohamad untuk menafikan kedudukan Anwar Ibrahim sebagai pengganti Perdana Menteri.
Tindakan terbaru ini dilihat sebagai lorongan seterusnya yang dilakukan oleh Tun Mahathir untuk melonjakkan kedudukan Azmin dari segi politik dan meluaskan pengaruhnya.
Sekaligus, melalui perlantikan ini akan menjadikan hubungan Azmin dengan Anwar akan terus merenggang lagi.
Dengan kedudukan Kelantan sebagai negeri yang diketuai oleh Amanah, di samping Azmin sendiri sudah banyak tanggungjawab menjaga berpuluh agensi, GLC dan perbadanan di bawah Kementerian Hal Ehwal Ekonomi yang dimenterikannya, logiknya tiada keperluan sama sekali meletakkan Timbalan Presiden PKR itu sebagai Pengerusi Majlis Tindakan Negeri Kelantan.
Lagi pula, Azmin adalah pemimpin Selangor dan berjawatan pula sebagai Pengerusi PH Negeri Selangor.
Maka itu, tidak menghairankanlah apabila Amanah Negeri Kelantan dilaporkan menolak perlantikan Azmin itu serta mahu Tun Mahathir mengkajinya semula.
Husam Musa adalah pemimpin yang paling layak dilantik ke jawatan itu kerana beliau lebih memahami Kelantan dengan lebih mendalam berbanding Azmin.
Sesuai dengan beliau sudah pun dilantik sebagai Ahli Dewan Negara tidak lama sebelum ini, bermakna jika PH mahu mengukuhkan lagi kedudukannya dengan tujuan akhir mahu menawan Kelantan daripada Pas, tidak lain bahawa Husamlah yang selayaknya dilantik sebagai Pengerusi Majlis Tindakan Negeri Kelantan.
Tidak dapat tidak, perlantikan Azmin ini tentu saja akan menimbulkan masalah baru dan tidak perlu antara PKR dengan Amanah serta Azmin dengan Husam, selain sebagaimana yang disebut pada awal tadi ia juga menambahkan lagi kerenggangan hubungan Anwar dengan Azmin serta pergolakan dalam PKR.
Habis, jika begitu banyak polemik dan masalah akan timbul daripadanya, mengapakah Azmin dilantik juga ke jawatan tersebut oleh Tun Mahathir?
Sejak awal lagi sebaik saja berjaya menubuhkan kerajaan, Tun Mahathir sebenarnya sudah pun memulakan usaha merenggangkan hubungan Azmin dengan Anwar serta menjadikan PH berkocak dari segi politiknya.
Azmin tidak pernah pun dicalonkan oleh PKR untuk mengisi jawatan menteri kerana ketika itu beliau sudah pun mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Selangor.
Apabila Tun Mahathir melantik Azmin sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi, sebuah kementerian kanan yang banyak agensi, GLC dan perbadanan di bawah tanggungjawabnya, sejak itulah bermulanya PH berkocak dengan tanggapan bahawa Ahli Parlimen Gombak itu sedang dipersiapkan untuk menjadi Perdana Menteri.
Bersama lantikan lain sebagai Timbalan Pengerusi Khazanah Nasional dan pihak-pihak tertentu dalam Bersatu serta mereka yang rapat Tun Mahathir kemudiannya tidak henti-henti mempromosi Azmin sebagai bakal PM ke-8 dan mereka-reka pelbagai cerita mengenai keburukan Anwar, tampaknya seolah-olah ada perancangan halus di sebalik semua yang dilakukan itu.
Sejak itu dan sehinggalah ke hari ini, hanya keraja perlantikan itu,selain hubungan Anwar dan Azmin jadi renggang dan PKR bergolak,myang nyatanya PH terus tidak stabil, terutamanya hubungan antara Bersatu dengan PKR.
Kini, dengan Azmin diberi satu lagi lonjakan kedudukan sebagai Pengerusi Majlis Tindakan Negeri Kelantan, selain PKR dan Bersatu terus tidak sebulu dan PKR macam menunggu masa untuk terpecah dua, masalah baru pula tercetus yang melibatkan Amanah.
Apakah kedudukan PH yang terus tambah bergolak ini sesuatu yang baik?
Sebagai sebuah kerajaan, kedudukan bergolak ini memang bukan sesuatu yang baik dan memperlihatkan kelemahan PH itu sendiri, tetapi di sinilah Tun Mahathir selalu mengaut laba politiknya.
Selama berkuasa dalam UMNO, kecenderungan Tun Mahathir ialah menjadikan parti itu tidak stabil dan berpecah di mana melaluinyalah beliau mampu bertahan sehingga 22 memimpin parti itu serta negara.
Seringkali disebut oleh mereka yang rapat dengannya bahawa Tun Mahathir adalah seorang yang "suka bergaduh" dan apabila dalam keadaan itulah beliau selalu kelihatan cergas dan mukanya jadi kemerah-merahan, berbanding jika tiada apa-apa krisis politik yang berlaku akan menyebabkannya tampak layu serta keletihan.
Lihat saja, sejak beberapa bulan sebelum musim kempen PRU14 sehinggalah sekarang beliau sentiasa saja kelihatan sihat dan cergas, sedangkan sebelum itu beberapa kali terpaksa menerima rawatan di IJN.
Melihat kepada apa yang dilakukan oleh Tun Mahathir kepada PH sekarang, beliau nampaknya sedang mengulangi apa yang pernah dilakukannya dalam UMNO dahulu demi mencapai cita-cita politik yang hanya beliau saja yang tahu mengenainya.
Bergaduh, mewujudkan pergolakan dan menjadikannya terus sihat, akhirnya semua itu akan memberi peluang kepada Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri lebih daripada dua tahun.
Selepas berjaya melepasi tempoh dua tahun itu, siapa jadi bakal Perdana Menteri seterusnya tidak siapa akan tahu akhirnya. Mungkin Tun Mahathir benar-benar jadi Perdana Menteri sehingga mati.
Impian bekerja sampai mati seperti yang dicita-citakan oleh Tun Mahathir memang sesuatu yang baik kerana kerja adalah ibadah dan boleh mendatangkan pahala.
Tetapi jika sampai ke mati mahu bermain politik, mewujudkan kecelaruan, menganiaya dan cuba main-main dengan janji, takut-takut bukannya pahala, sebaliknya bala yang akan menimpa akhirnya. (ShahbudinHusin 02/02/2019).