Jumaat, 30 Mei 2008

2,000 pelajar dapat biasiswa JPA


KUALA LUMPUR: Agihan biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi Program Ijazah Luar Negara (PILN) kepada pelajar bukan Bumiputera dinaikkan kepada 45 peratus daripada 10 peratus mulai tahun ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohomed Nazri Aziz.

Beliau berkata, sebanyak 2,000 biasiswa disediakan oleh JPA iaitu 1,100 untuk pelajar Bumiputera dan 900 untuk pelajar bukan Bumiputera.
"Pecahannya ialah 55 peratus untuk Bumiputera dan 45 peratus kepada bukan Bumiputera berbanding sebelum ini hanya 10 peratus saja diberikan kepada bukan Bumiputera," katanya ketika menggulung perbahasan mengenai Rang Undang-undang Pembekalan Tambahan 2008 (2007) membabitkan RM60 juta kepada JPA di Dewan Rakyat, semalam.

Beliau berkata, pemberian biasiswa oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) secara adil supaya semua pelajar cemerlang mendapat pembiayaan.

Katanya, penawaran biasiswa JPA kepada pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2007 untuk PILN dibuat berdasarkan kriteria kelulusan akademik (70 peratus), kokurikulum (10 peratus), latar belakang keluarga (10 peratus) dan prestasi temu duga (10 peratus).

"Kerajaan tidak boleh mengambil tindakan 'menghukum' pelajar cemerlang hanya kerana ibu bapa mereka berpendapatan tinggi dengan tidak memberikan kemudahan meneruskan pelajaran semata-mata kerana mereka daripada keluarga berada.

"Sebaliknya peluang diberikan kepada mereka berdasarkan kriteria yang ditetapkan," katanya.

Beliau berkata, pada tahun ini seramai 15,220 pelajar lepasan SPM 2007 yang cemerlang memohon biasiswa untuk PILN dan daripada jumlah itu hanya 7,282 pelajar dipanggil untuk temu duga.

"Berdasarkan kemampuan kerajaan, hanya 2,000 biasiswa disediakan untuk PILN tahun ini. Oleh kerana bilangan biasiswa yang ditawarkan adalah terhad, sedangkan bilangan pelajar yang cemerlang adalah terlalu ramai, maka tidak semua pelajar cemerlang termasuk yang memperoleh 11 A1 atau 12 A1 berjaya memperoleh biasiswa JPA," katanya.
Nazri berkata, untuk pelajar cemerlang SPM meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi, kerajaan memutuskan mulai tahun ini semua pelajar lepasan SPM 2007 yang memperoleh 9A dan ke atas akan ditaja oleh kerajaan melalui JPA ke tingkatan 6 Sekolah Bantuan Penuh Kerajaan dan di Pusat Matrikulasi di bawah Kementerian Pelajaran termasuk Pusat Asasi di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

Katanya, kerajaan juga bersetuju supaya JPA memberikan tajaan kepada pelajar yang mendapat tempat mulai tahun satu di universiti bertaraf Ivy League dan setara di luar negara.

Pelajar lepasan SPM yang mendapat tawaran tahun satu untuk kursus yang diiktiraf di kampus cawangan Monash University, Notingham University, Swimburne University dan Curtain University of Technology di Malaysia akan juga ditawarkan biasiswa untuk pengajian ijazah pertama.

Beliau turut bersetuju cadangan Mohamed Azmin Ali (PKR-Gombak) supaya kerajaan menetapkan satu definisi pelajar cemerlang dan semua yang termasuk dalam kategori itu diberikan biasiswa atau bantuan pendidikan sewajarnya.