Rabu, 11 Jun 2008

ANGKARA IDEA SYARIKAT INSURANS

MTUC terus bantah skim insurans KWSP

KUALA LUMPUR 10 Jun - Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menggesa kerajaan menghalang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) daripada melaksanakan skim insurans untuk penyakit-penyakit kritikal.

Setiausaha Agungnya, G. Rajasekaran berkata, MTUC meminta Menteri Kewangan yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi agar membatalkan pelaksanaan skim insurans itu.

Menurutnya, ia gagal memberikan pulangan yang setimpal kepada pelabur-pelabur kerana caj perkhidmatan yang dikenakan adalah tinggi.

Kata Rajasekaran, beliau terkejut apabila syarikat-syarikat insurans mengumumkan skim insurans baru itu selepas mendapat kelulusan daripada KWSP.

''Perkembangan terbaru itu jelas bercanggah dengan jaminan Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Azlan Zainol bahawa pihaknya tidak akan melaksanakan skim itu tanpa persetujuan MTUC pada satu pertemuan 7 Mei lalu,'' katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris hari ini, yang mendakwa syarikat insurans mampu mengaut keuntungan sebanyak RM3 bilion ekoran langkah KWSP itu.

Menurut Rajasekaran, dalam pertemuan MTUC dengan KWSP itu, pegawai-pegawai KWSP telah memberikan penerangan selama dua jam tentang mekanisme dan faedah-faedah skim tersebut yang diuruskan syarikat insurans terpilih.

Beliau berkata, unjuran keuntungan syarikat insurans tersebut tidak membayangkan penyumbang KWSP turut mendapat 'habuan' yang setimpal.

Beliau mendakwa 10 tahun lalu, KWSP telah membuat satu 'kesilapan serius' dengan melaburkan wang simpanan pencarum lebih RM6 bilion kepada enam syarikat insurans untuk satu skim anuiti.

''Ketika itu, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad secara peribadi telah campur tangan mengarahkan KWSP untuk menghentikan skim itu.

''Walaupun skim itu diberhentikan, ribuan pencarum KWSP kehilangan jutaan ringgit ekoran tindakan syarikat insurans mengenakan caj perkhidmatan sebanyak tujuh peratus,'' ujarnya.

KOMEN:Ini adalah gara-gara idea CEO syarikat insurans ingin untung cepat, bawa idea ke KWSP. Kalau berjaya besar lah komisen agent tu, makan tak habis sampai ke anak cucu.