Rabu, 18 Jun 2008

Gaji CEO TNB

Kenaikan 100% gaji CEO TNB melampau, tidak berhati perut, kata Mahfuz
Salmiyah Harun
Wed | Jun 18, 08 | 5:27:30 pm MYT

KUALA LUMPUR, 18 Jun (Hrkh) - Kenaikan gaji 100 peratus bagi CEO Tenaga Nasional Berhad (TNB) adalah satu tindakan yang tidak berhati perut pada masa rakyat sedang bergelumbang dengan kenaikan bahan api yang melampau, kata Ahli Parlimen Pokok Sena Mahfuz Omar.

Beliau ketika dihubungi berkata, rakyat yang juga pengguna TNB telah menyumbang keuntungan berganda kepada syarikat GLC itu tidak mendapat apa-apa daripada keuntungan sebaliknya terus dibebani dengan pelbagai kenaikan.

"Rakyat terus terhimpit dengan kenaikan petrol baru-baru ini dan pada Julai nanti pula rakyat akan berdepan dengan kenaikan tarif elektrik, sedangkan CEO mereka mendapat kenaikan gaji sekali ganda di atas beban yang dipikul rakyat.

"Kenaikan gaji CEO itu menyebabkan wujud jurang pendapatan yang terlalu besar antara pegawai GLC dengan pengguna," katanya.

Sehubungan itu katanya, Perdana Menteri selaku Pengerusi Khazanah Nasional Berhad tidak menggunakan kuasanya sebaliknya hanya menyerahkan keputusan kepada Pengarah Urusannya iaitu Tan Sri Azman Mokhtar.

"Abdullah sepatutnya bertanggung jawab dalam hal ini tidak boleh serah bulat-bulat kepada Azman untuk tentukan kenaikan atau pertambahan gaji di kalangan CEO GLC termasuklah CEO TNB," katanya.

Apa yang dikesali kata Mahfuz, pengguna TNB yang membayar tarif elektrik walaupun RM10 setiap bulan, sekurang-kurangnya mereka juga penyumbang kepada keuntungan kepada TNB.

Beliau berkata, sepatutnya keuntungan TNB dikongsi bersama dengan pengguna kerana penggunalah TNB mampu berdiri sebagai syarikat gergasi yang mendapat keuntungan berterusan.

Justeru katanya, pengguna sepatutnya dijadikan salah satu pemegang syer TNB dan sudah sampai masanya syarikat itu membuat kaedah untuk memberi pulangan kepada pengguna.

"Jangan hanya pandai memotong bekalan elektrik sahaja apabila pengguna lewat membayar elektrik," katanya.

Semalam, Tan Sri Azman Mokhtar berkata, Buku Biru (Blue Book) Khazanah, yang memperincikan imbuhan eksekutif, cuba untuk melaksanakan keadaan yang "kami tidak membayar terlalu rendah, kami tidak pula sepatutnya membayar terlalu tinggi, tetapi kami perlu membayar secukupnya dan kami perlu membayar secara adil."

"Ini adalah perkara penting. Ia berasaskan prestasi, dorongan insentif dan pembiayaan sendiri," kata Azman selepas menghadiri majlis perasmian bengkel kerja Program Makmal Keusahawanan MIT Sloan Global yang dikelolakan oleh Khazanah.

Menurut sumber dianggarkan CEO TNB mendapat gaji puluhan ribu setiap bulan setaraf dengan syarikat gergasi yang lain dan jika diberi kenaikan 100 peratus gajinya akan mencecah ratusan ribu sebulan. - mns_


Komen: Sebagai CEO yang berjaya wajarlah gaji naik. Kalau Harakah 20 tahun dahulu edaran nya 10 ribu saja. dan hari ini edaran nya 100 juta. tentu lah ada sesuatu yang menarik. tentulah lembaga pengarah memuji CEO Harakah. dan kalauu gaji nya dahulu 10 ribu sebulan dan dinaikkan 20 ribu ringgit tentu lah tak banyak mana dari segi pendapatan Harakah.