Selasa, 10 Jun 2008

LPKP PANTAU MEMANTAU, AMBIL TINDAKAN??

LPKP pantau syarikat pengangkutan awam

KUALA LUMPUR: Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) akan melakukan pemantauan terhadap syarikat pengangkutan awam termasuk bas ekspres dan sekolah di stesen bas utama seluruh negara bagi memastikan orang ramai tidak dikenakan tambang tinggi.

Ia sebagai tindakan susulan LPKP dalam mengawal kadar tambang dikenakan kepada penumpang selepas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bersetuju menambah kuota diesel subsidi sehingga 100 peratus kepada syarikat bas, berbanding 70 peratus sebelum ini bagi meringankan beban sektor itu.

Sebelum ini, syarikat pengangkutan awam termasuk pengusaha bas dilaporkan akan menaikkan bayaran tambang serta perkhidmatan mereka dengan alasan kenaikan harga petrol sebanyak 78 sen seliter, iaitu daripada RM1.92 kepada RM2.70, manakala harga diesel dinaikkan RM1 daripada RM1.58 kepada RM2.58, berkuatkuasa Khamis lalu.

Pengerusi LPKP, Datuk Markiman Kobiran, berkata pihaknya akan membuat pemeriksaan mengejut terhadap semua pengusaha termasuk bas ekspres dan sekolah bagi melihat sama ada mereka mengekalkan kadar tambang selepas diberikan jaminan tambahan kuota diesel subsidi sehingga 100 peratus kepada syarikat bas.

“LPKP akan menggerakkan anggota penguat kuasanya dengan kerjasama agensi lain dalam masa terdekat dengan fokus memantau kadar tambang dikenakan supaya orang ramai tidak dibebani dengan pertambahan kos,” katanya ketika dihubungi Berita Minggu di sini, semalam.

Semalam, kerajaan bersetuju menambah kuota diesel subsidi sehingga 100 peratus kepada syarikat bas, berbanding 70 peratus sebelum ini bagi meringankan beban sektor itu.

Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Mohd Zain Mohd Dom, dilaporkan berkata, persetujuan itu dicapai selepas kementerian mendapati diesel subsidi yang diperuntukkan sebelum ini tidak digunakan sepenuhnya.

Pengusaha-pengusaha bas hanya perlu menunjukkan bukti penggunaan minyak setiap bulan daripada syarikat minyak kepada KPDNHEP untuk melayakkan mereka mendapat tambahan kuota diesel subsidi berkenaan.

Markiman berkata, pihaknya juga memerlukan bantuan orang ramai dengan melaporkan kepada LPKP sekiranya mereka dikenakan bayaran tambang lebih berbanding sebelum ini.

“Kalau hendak harapkan kami saja, memang tidak boleh kerana jumlah anggota penguat kuasa kami agak terhad dan mungkin ada kawasan yang tidak dapat dilakukan pemantauan secara berterusan.

“Jadi, kami mahu orang ramai membantu dan melaporkan aduan kepada kami dengan menyertakan bukti bagi membolehkan siasatan dijalankan seterusnya hukuman dikenakan terhadap pengusaha terbabit,” katanya.

Beliau turut memberi amaran supaya pengusaha bas tidak menggunakan subsidi diberikan itu untuk mengaut keuntungan sebaliknya menganggapnya sebagai bantuan bagi mengembangkan industri serta mengurangkan beban rakyat.

KOMEN. JIKA KITA SMS PADA NOMBOR 39900 , 50 AKAN DIKENAKAN KE ATAS SMS KITA , DAN ADAKAH TINDAKAN DIAMBIL? SAYA PERNAH SMS MENGENAI BAS EKSPRESS KONSORTIUM YANG DIGANTUNG PERMIT SEBULAN TETAPI MASIH BEROPERASI SEPERTI BIASA ,PUN TAK ADA TINDAKAN, RUGI 50 SEN . BAYANG DALAM SATU HARI BERAPA RAMAI ORANG AKAN SMS KE NOMBOR TERSEBUT DAN TINDAKAN TIDAK DIAMBIL. HAPUSKAN NO SMS LAOR KE LPKP.