Sabtu, 9 Ogos 2008

Model didakwa milik ular

PETALING JAYA: Seorang model sambilan dan rakan kolejnya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Petaling Jaya di sini, semalam, terhadap dua tuduhan berasingan memiliki secara tidak sah seekor ular sawa dan biawak air yang dilindungi mengikut bawah Akta Perlindungan Hidupan Liar 1972.

Isabella Kucha Anak Ganeng, 20, dari Kuching, Sarawak dituduh melakukan kesalahan memiliki ular sawa jenis Blood Phyton di tempat letak kereta SS15/8A, Subang Jaya, jam 7 petang, tiga hari lalu.

Rakannya, Rahul Singh Dhaliwal, 19, pula didakwa memiliki biawak air yang tidak matang di Asia Cafe SS15/8A, Subang Jaya, jam 6.30 petang, juga hari sama.

Isabella didakwa mengikut Seksyen 68 Akta Perlindungan Hidupan Liar 1972 yang membawa hukuman denda RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Rahul didakwa mengikut Seksyen 70 Akta Perlindungan Hidupan Liar 1972 dan boleh dihukum mengikut akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM3,500 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa, Shamsuddin Osman dan kedua-dua tertuduh diwakili peguam Mohd Hakimi Ab Kadir.

Majistret Diana Md Razali membenarkan masing-masing diikat jamin RM1,500 dan menetapkan 11 Ogos ini untuk tarikh sebutan.

===============================================================================

Berita ini cukup menarik minat aku. Persoalan ialah ,Adakah haiwan tersebut untuk dijadikan makanan atau untuk dijual di pasaran gelap. atau ia dijadikan haiwan peliharaan?