Isnin, 22 September 2008

BISIK-BISIK MINGGUAN -- AWANG SELAMAT


WANG MENJALAR LAGI?

BETULKAH wang menjalar kembali dalam sesetengah bahagian UMNO? Dengar-dengar begitulah, sepanjang mesyuarat bahagian walaupun tidak ada pemilihan. Semuanya semata-mata kerana hendak terpilih untuk menjadi perwakilan ke perhimpunan agung nanti.

Hal ini turut berlaku di Kelantan yang sepatutnya menumpukan perhatian kepada agenda merampas negeri itu daripada parti Pas. Kononnya, ada ahli yang sanggup membelanjakan RM20,000 hingga RM30,000 hanya untuk dipilih menjadi perwakilan atau untuk mendapat tempat nombor satu atau dua dalam senarai perwakilan.

Mungkin inilah punca ada bahagian di Kelantan yang terpaksa mengadakan semula mesyuaratnya khusus untuk memilih perwakilan ke perhimpunan agung.

Ada ketua bahagian yang `memilih' sendiri siapa yang dia mahu untuk menjadi perwakilan dengan menyediakan satu senarai terlebih dahulu dan meminta mesyuarat meluluskannya - tidak ada pencalonan atau pencadang; tidak ada pengundian.

Kenapa bersusah payah? Ada yang hendak dapat tempat nombor satu, dua atau tiga dalam senarai perwakilan untuk membuktikan dia masih orang penting dan dengan itu mesti dilantik semula dalam jawatankuasa penaja nanti.

Ada juga yang hendak tunjuk bahawa dialah yang paling popular dan wajar dipertimbangkan sebagai calon pilihan raya nanti.

Ketua-ketua bahagian juga mahu menunjukkan mereka masih berpengaruh dan mesti dikekalkan mengetuai jawatankuasa penaja dan mesti dipilih menjadi calon pilihan raya nanti.

Bayangkan, apa akan berlaku jika ada pemilihan nanti!

BUKAN MELAYU SEMAKIN DEKAT

MAMPUKAH pelajar Melayu bertahan dalam sistem meritokrasi pada tahun-tahun akan datang?

Jika trend semasa berterusan, Awang sangat bimbang. Bukan bimbang kerana semakin ramai pelajar Cina dapat memasuki universiti, tetapi bimbang akan nasib pelajar Melayu secara keseluruhan.

Peningkatan pelajar Melayu ke universiti tahun ini tidak begitu membanggakan jika dibandingkan pelajar Cina. Penambahan pelajar Melayu hanya 625 orang berbanding pelajar Cina seramai 3,256 - kira-kira lima kali ganda.

Adakah ini petanda awal bahawa pelajar-pelajar Melayu sudah `lemas' dalam sistem meritokrasi yang baru masuk tahun kedua pelaksanaan?

Awang berdoa jawapannya tidak, kerana perjalanan kita bukan sahaja masih jauh, tetapi penuh berliku.

Sepatutnya pada tahun ini peratusan pelajar Melayu yang memasuki universiti bertambah. Tetapi nampaknya yang begitu berkobar-kobar untuk mengambil kesempatan daripada sistem meritokrasi ini ialah pelajar Cina dan India.

Pelajar Cina telah berjaya mempertingkatkan bilangan mereka di universiti awam daripada 8,665 orang pada tahun lalu, kepada 11,921 orang tahun ini. Apa akan jadi pada tahun depan bergantung kepada sama ada pelajar Melayu akan bangkit menyahut cabaran meritokrasi.

Awang mendapat tahu, kebanyakan pelajar Cina pula begitu dominan di fakulti-fakulti penting dan kritikal seperti Perubatan, Ekonomi, Farmasi dan Pergigian.

Seperti biasa, pelajar-pelajar Melayu terus memenuhi fakulti-fakulti Sastera dan Ilmu Kemanusiaan yang kurang dipohon oleh pelajar bukan Melayu. Malah, untuk jalan selamat, pelajar Melayu memohon untuk mengikuti program-program pengajian di universiti-universiti yang tidak memerlukan mereka bersaing dengan pelajar bukan Melayu.

Universiti pilihan mereka ialah Universiti Teknologi Mara (UiTM), Kolej Universiti Islam Malaysia (KUIM), Fakulti Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Malaya (UM) yang menawarkan hampir 10,000 tempat khusus untuk pelajar Melayu.

Awang risau jika masih ramai antara pelajar kita yang terus mengambil sikap tidak peduli dan menaruh harapan akan muncul `tongkat sakti' yang akan menyelamatkan mereka.

Sedarlah, sistem meritokrasi tidak akan dan tidak boleh ditarik balik. Jika ditarik, universiti-universiti awam tidak akan dapat menghasilkan tenaga kerja kelas satu. Tentunya kita tidak mahu ijazah universiti awam dinilai seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Dan tentunya kita tidak mahu pasaran kerja memberi keutamaan kepada lulusan universiti swasta.

Awang tidak berhasrat memperlekehkan pelajar Melayu, tetapi sekadar mahu menyedarkan mereka, kemungkinan bukan Melayu menguasai universiti awam dalam masa terdekat bukan lagi mustahil.

MTUC DAN SABOTAJ EKONOMI

BAHAWA MTUC memilih untuk berpiket bagi membantah kadar dividen KWSP pada hari kerajaan mengumumkan pakej ekonomi tentunya bukan satu kebetulan, tapi suatu yang dirancang. Dividen 4.5 peratus itu diumumkan bulan lalu, kenapa baru sekarang hendak berpiket?

Tindakan itu langsung tidak mencerminkan kefahaman serta rasa tanggungjawab terhadap negara semasa kerajaan memerlukan sokongan rakyat untuk menangani keadaan ekonomi. MTUC gagal menunjukkan budi baiknya.

Maka sangat tepat apabila Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri, Abdullah Ahmad Badawi menyifatkan tindakan tersebut sebagai satu sabotaj ekonomi.

Awang harap kepimpinan MTUC tidak memandang ringan pandangan beliau. Jangan lupa perumpamaan Melayu, `ingat sebelum kena, jimat sebelum habis.'

Sedang kerajaan berhempas pulas menguruskan ekonomi negara yang berada dalam keadaan sukar akibat perang Iraq dan serangan SARS termasuk mengadakan pakej ekonomi bernilai RM7.3 bilion, dengan pelbagai habuan untuk golongan berpendapatan rendah, MTUC menyimbah air sejuk ke atas semua usaha itu.

Sepatutnya MTUC memahami keadaan ekonomi negara dan menghargai apa yang telah kerajaan lakukan. Presidennya, Zainal Rampak bukan sahaja seorang senator, tetapi juga merupakan ahli lembaga KWSP. Beliau berada dalam kedudukan untuk mengetahui keadaan sebenar kenapa KWSP hanya dapat membayar dividen 4.5 peratus sahaja.

Awang tidak tahu sama ada Zainal benar-benar tidak tahu atau sengaja tidak mahu tahu atau terlalu sibuk dengan urusan lain. Awang mempunyai maklumat bahawa beliau jarang menghadiri mesyuarat lembaga KWSP dan tidak hadir pada mesyuarat yang membuat keputusan untuk membayar dividen 4.5 peratus.

Sepatutnya beliau membantu kerajaan dengan menjelaskan kepada ahli-ahli MTUC kenapa KWSP tidak mampu membayar lebih, bukannya berpiket. Adalah tidak adil berpiket jika beliau tidak menghadiri mesyuarat. Zainal boleh memberi seribu satu macam alasan, tapi beliau kena tahu urusan mana yang perlu diberi keutamaan.

Sebagai Presiden MTUC, Zainal boleh menghalang piket itu daripada diadakan, jika beliau mahu. Tapi nampaknya beliau sendiri yang beria-ia sangat hendak mengadakannya.

Sedikit sebanyak tindakan MTUC itu telah merosakkan usaha kerajaan.

Semua pencarum, termasuk Awang, mahu dividen tinggi. Namun begitu, kita perlu realistik. Semua ekonomi melalui keadaan pasang surut dan ekonomi Malaysia tidak terkecuali.

Kita sepatutnya bersyukur kerana KWSP masih mampu membayar 4.5 peratus dalam keadaan ekonomi yang sukar. Masalahnya, kita sering terlupa untuk bersyukur.

Semasa KWSP membayar dividen 8 peratus, teringatkah kita untuk berterima kasih?

TAUKE CINA, MESIN SLOT

CERITA tentang tauke Cina mengambil kesempatan daripada `kabel' atau hubungan rapat mereka dengan orang Melayu yang berkedudukan serta berpengaruh bukan cerita baru. Ada yang sampai menjadi bongkak dan berani membelakangkan undang-undang.

Mereka bergerak dan menjalankan perniagaan dengan pegangan bahawa semuanya `boleh dikira' dan orang Melayu boleh dibeli.

Ada juga tauke Cina yang sudah kaya-raya, tetapi masih tamak dan berani pula mengguna nama pemimpin negara untuk mendapatkan apa yang mereka mahu. Sebab itu Awang tidak terkejut apabila heboh tentang `kasino baru' di Bukit Tinggi, Pahang.

Cerita ini mengingatkan Awang tentang satu kejadian dua tahun lalu yang melibatkan tauke Country Heights, Lee Kim Yew. Syarikatnya tidak membayar cukai taksiran berjumlah RM9 juta. Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) berkali-kali memberi peringatan, tetapi tidak dipedulikannya. Apabila majlis itu hendak menyita premis perniagaannya, Lee `menyerang' pihak berkuasa itu sebagai tidak efisien dan tidak bertimbang rasa.

Inilah masalahnya apabila ada yang merasakan mereka sudah terlalu besar dan boleh `mengatur' segala-galanya kerana sudah menjadi kaya dan berpengaruh.

Awang sangat berharap tauke mesin slot di Bukit Tinggi tidak menyalahgunakan lesen yang diberikan kepadanya kerana merasakan ada orang yang akan melindunginya, membuat dia berani melanggar undang-undang.

Perdana Menteri sendiri menegaskan bahawa beliau percaya pengusaha mesin slot di Bukit Tinggi telah menyalahgunakan lesen yang diberikan.

Pada hemat Awang, mereka berani berbuat demikian kerana pegangan `buat dulu, belakang kira.'

Bagaimanapun pendirian tegas Perdana Menteri telah mendorong mereka serta-merta menutup premis mesin slot itu buat sementara.

Dalam pada itu, terdengar pula khabar kononnya Resort World di Genting Highlands akan membeli mesin slot baru dan bercadang menjual mesin slotnya yang lama kepada Bukit Tinggi Resort.

Pada masa yang sama Bukit Tinggi Resort telah mendapat lesen untuk 250 lagi mesin slot sebagai tambahan kepada 200 lesen sedia ada. Ini bermakna Bukit Tinggi Resort bakal mempunyai 450 buah mesin slot iaitu yang kedua terbanyak di Malaysia selepas Genting Highlands.

Jika sudah banyak sangat, tentulah nampak macam kasino walaupun ia sebenarnya cuma untuk kegunaan ahli-ahli kelab sahaja.

Macam mana semua ini boleh berlaku? Apakah kerana taukenya merasakan dia lebih besar daripada undang-undang? Atau kerana ada Melayu di belakang?

Apa pun, pihak berkuasa perlu bertindak tanpa rasa takut.