Rabu, 29 Oktober 2008

Berdebat atau tidak berdebat.

Berdebat merupakan satu kemahiran. Kemahiran berdebat bukan ada pada semua orang. Ada orang mahir membuat kertas kerja. mahir menulis tetapi tidak mahir bercakap secara berbahas di depan khalayak.

Ada yang mahir berhujah atau berdebat tetapi bila bab menulis kurang mahir. Bukan sahaja tatabahasa salah malah ejaan pun banyak salah.

Untuk menjadi ahli politik ramai percaya bahwa seseorang itu mesti pandai dan mahir berucap dan berdebat. Telah terbukti ramai ahli politik yang berjaya kerana mempunyai kemahiran bercakap.

Lihat sahaja DSAI kemahiran berdebat dan berhujah memang sukar ditandingi walaupun hujahnya kadang kalau kurang betul, tetapi orang mempercayainya. Beliau bijak menggunkan isi yang sedikit dan membesar-besarkan isu.

Ada setengah ahli politik di peringkat bawahan, langsung tidak mempunyai kemahiran bercakap dan tidak pernah bercakap dalam perjumpaan-perjumpaan politik tetapi berjaya menjadi Naib Ketua Bahagian. Ada yang bijak berdebat tetapi tidak berjaya menjadi AJK Bahagian pun. Tetapi tenaga dan suaranya amat diperlukan dalam kempen-kempen pilihanraya.

Berbalik kepada saranan KJ agar diadakan debat ala Amerika merupa agenda politik beliau untuk meraih undi dalam pemilihan ketua pemuda Mac depan. Beliau tahu beliau amat bijak dan sangat tinggi kebolehan berhujah dan berdebat maka dia mengajak lawan masuk gelanggang untuk berdebat.

Mungkin kepada Dr Khir Toyo tidak menjadi halangan. tetapi kepada Datok Mukhriz mungkin menjadi satu halangan kerana kita belum melihat kebolehan beliau berhujah dan berdebat.

Ini adalah seperti pasukan bola keranjang Amerika mengajak pasukan bola keranjang kita berlawan. Sudah tentu kemenangan berpihak kepada mereka kerana mereka tingginya 7 kaki berbanding pemain kita yang rata-rata dibawah 6 kaki.